Dalam artikel-artikel sebelum ini, saya ada menceritakan tentang Islam di Rusia yang mana daripada 146 juta rakyatnya, kira-kira 20 juta orang beragama Islam. Bahkan di Rusia terdapat lapan republik yang didominasi oleh umat Islam iaitu Tatarstan, Bashkortostan, Dagestan, Adygeya, Chechnya, Ingushetia, Kabardino-Balkaria dan Karachay-Cherkessia. Namun, dalam lapan republik itu, hanya Chechnya paling menonjol dan kerap diperbincangkan di tanah air kita.
Chechnya begitu sinonim dan dekat di hati masyarakat Malaysia kerana kita terkesan dengan kisah suka duka mereka sewaktu berkonflik dengan Rusia pada 1994 dan 1999. Ya, kita akur dengan layanan Rusia terhadap umat Islam di negara mereka yang sedikit baik jika dibandingkan layanan diberikan oleh negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Namun, kita juga tidak boleh menafikan jenayah-jenayah Rusia terhadap dunia dan umat Islam seperti perang Chechnya dan penaklukan Afghanistan sewaktu era Kesatuan Soviet.
Pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan yang berlangsung selama 10 tahun dari 24 Disember 1979 hingga 15 Februari 1989 meragut sekurang-kurangnya 250,000 nyawa pejuang Afghanistan. Saya menyarankan anda membaca peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Laghman oleh Kesatuan Soviet yang sangat tidak berperikemanusiaan.
KEJATUHAN
Sekalipun Afghanistan dilihat lemah dari pelbagai aspek, namun mereka tetap berjaya menghalau keluar Soviet dari bumi Afghanistan dengan penuh kehinaan. Bahkan Malaysia sendiri memboikot Sukan Olimpik 1980 di Moscow sebagai bantahan terhadap pencerobohan negara komunis tersebut.
Tidak perlu dibincangkan secara mendalam sama ada perang ini sebagai perang proksi, ideologi atau sebagainya kerana walau apa pun pandangan kita, menceroboh sesebuah negara yang berdaulat itu adalah satu jenayah besar. Kekalahan Kesatuan Soviet yang ketika itu merupakan pengimbang kuasa besar dunia sangat memalukan, bahkan ia juga merupakan salah satu perintis kepada kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991 dan bermulanya konflik antara entiti baharu mereka, Persekutuan Rusia dan Chechnya.
Bagaimana konflik de-ngan Chechnya ini berlaku? Pembubaran Kesatuan Soviet pada Disember 1991 mengakibatkan mereka kehilangan banyak wilayah dan wujudnya negara-negara baharu seperti Kazakhstan, Azerbaijan, Armenia, Georgia, Uzbekistan dan banyak lagi.
Bagi membendung perpecahan ini daripada terus berlaku maka pada Mac 1992, Presiden Persekutuan Rusia pertama, Boris Yeltsin dan Pengerusi Tertinggi Soviet Rusia, Ruslan Khasbulatov menandatangani perjanjian yang memberikan kuasa autonomi lebih luas kepada subjek persekutuan (wilayah dalam Rusia). Perjanjian itu dipersetujui oleh 86 subjek persekutuan tetapi hanya dua yang tidak bersetuju, iaitu Chechnya dan Tatarstan.
PUAK PEMISAH
Segala-galanya berubah pada 1994 apabila Presiden Tatarstan, Mintimer Saymiev akhirnya menandatangani perjanjian tersebut. Maka tinggallah Chechnya sebagai satu-satunya subjek persekutuan yang masih bertegas dengan pendirian mereka untuk berpisah dari Rusia. Republik Chechnya-Ichkeria ditubuhkan oleh puak pemisah tetapi tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada 11 Disember 1994, pertempuran bersenjata antara Chechnya dan Rusia tidak dapat dielakkan lagi.
Kerajaan Rusia akur dengan kemenangan pihak Chechnya setelah dua tahun bertempur dan Dzhokhar Musayevich Dudayev dilantik menjadi Presiden Republik Chechnya-Ichkeria yang pertama.
Pada 1997, Rusia dan Chechnya menandatangani perjanjian perdamaian secara rasmi yang turut dikenali sebagai Perjanjian Perdamaian Moscow.
Malangnya, perdamaian yang dikecapi itu tidak bertahan lama apabila perang sekali lagi meletus pada 26 Ogos 1999. Perang kedua yang berpihak kepada Rusia akhirnya berjaya menubuhkan sebuah kerajaan baharu Chechnya yang taat kepada Persekutuan Rusia.
Kini, impian Rusia untuk menjarah simpanan tenaga dan bahan mentah Chechnya seperti minyak dan gas asli menjadi kenyataan dan itulah motif utama penaklukan ke atas bumi umat Islam tersebut.
PERISIK
Bekas perisik Rusia, Alexander Litvinenko (telah memeluk Islam) dibunuh pada 2006 kerana mendedahkan kezaliman Rusia terhadap Chechnya. Begitu juga Anna Politkovskaya, seorang pejuang hak asasi Rusia yang turut ditamatkan hayatnya pada tahun sama.
Hari ini, Chechnya yang mempunyai kira-kira 1.2 juta penduduk merupakan salah sebuah republik dalam Rusia dengan Grozny sebagai ibu kotanya. Rakyatnya yang berbilang kaum mencakupi bangsa Chechen selaku majoriti (95.3 peratus) diikuti Rusia, Kumyks, Ingush, Avar, Nogay, Ingush, Ukraine, Armenia dan lain-lain.
Selain Grozny, bandar-bandar terbesar mereka termasuk Urus-Martan, Shali dan Gudermes. Sebanyak 95 peratus warga Chechnya beragama Islam dan bermazhab sunni. Menurut Encyclopedia of Global Religion, pada 2011 terdapat sebanyak 465 buah masjid di Chechnya. Masjid Akhmad Kadyrov yang mirip Masjid Sultan Ahmad di Istanbul boleh memuatkan sehingga 10,000 jemaah. Masjid ini siap dibina pada 16 Oktober 2008.
Saya akan sentiasa mengambil pendekatan adil apabila mengutarakan tentang sesebuah isu supaya kita dapat melihatnya dari pelbagai sudut dan aspek. Janganlah kita terlalu ‘menyukai’ sesebuah negara itu menyebabkan kita hanya melihat segala-galanya dari sudut positif tetapi memekakkan telinga, membutakan mata dan membisukan mulut tentang salah dan silap mereka.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.










