Cabaran baharu dua’t siber - Utusan Malaysia

Cabaran baharu dua’t siber

Pendakwah mesti tangkas bertindak dengan serangan terhadap fikrah dan akidah umat Islam termasuk menerusi alam siber. – GAMBAR HIASAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

slam dan penganutnya terus menjadi sasaran. Gerakan terancang dan licik bagi membelah kesatuan umat Islam sedang giat dilakukan. Mereka guna kaedah pecah dan perintah bagi melemahkan kekuatan umat Islam.

Senjata api mungkin dilihat tidak berkesan bagi mereka setelah menilai ‘jarak peluru boleh sampai’ dan ‘jumlah sasaran’ dalam satu-satu masa berbanding senjata baharu mereka iaitu ‘jaringan siber.’ Ia mampu membunuh fikrah dan akidah serta jumlah sasaran boleh meningkat kepada jutaan dalam satu-satu masa serangan.

Ini menjadi cabaran terbaharu kepada para dua’t (pendakwah). Mereka mesti tangkas bertindak dengan strategi pertahan dan serang balas yang seimbang dan sepadu.

Tangkas membina firewall pada diri setiap Muslim dan pada masa sama membina cybernet yang luas untuk menyampaikan risalah Islam, sekali gus memberi pencerahan, jua menyediakan ‘vaksin’ bagi merawat fikrah dan akidah yang telah dijangkiti virus berbahaya seperti liberalisme dan pluralisme melalui ‘jaringan beralas Islam’ atas nama Jaringan Islam Liberal.

Pada nama kumpulan atau gerakan mereka sahaja sudah kelihatan ganjil. Mereka menyandarkan nama kumpulan kepada Islam tetapi banyak tindakan bertentangan dengan Islam. Inilah modus operandi Jaringan Islam Liberal.

Umat Islam perlu berhati-hati. Rujuk alim ulama dan fahami syariat Islam secara mendalam. Gerakan mereka halus dan menyerap tanpa sedar. Bagai tempias air hujan, tidak terasa di awalnya tetapi sedar atau tidak sedar, pakaian sudah basah.

LEMAS

Begitulah fahaman liberalisme ini menyerap dan menyusup masuk melalui aliran dan gerakan pemikiran. Asasnya bermula dengan kebebasan berfikir dan akhirnya lemas dalam kekeliruan dan kejahilan sendiri.

Awasi fitnah yang mengelirukan ini. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Aku (Huzayfah) bertanya, adakah selepas kebaikan itu akan datang pula keburukan? Sabda Rasulullah SAW, ya. Fitnah buta, penyeru kepada pintu-pintu api neraka. Sesiapa yang menyahut seruan mereka akan dicampakkan ke dalamnya. Kata Huzayfah, wahai Rasulullah, nyatakan sifat mereka kepada kami. Sabda Rasulullah SAW, mereka daripada kalangan bangsa kita dan bercakap menggunakan bahasa kita.

Pendakwah adalah institusi penting buat ummah. Berfungsi untuk memberi pedoman dan menunjuk jalan ke arah reda Allah. Menyambung risalah an nubuwwah dalam memimpin, membimbing dan menyelamatkan ummah daripada kegelapan jahiliah kuno atau moden.

Sementelah dilihat dewasa kini, ummah sedang berhadapan ancaman berbisa daripada musuhnya yang memangsakan akidah, fikrah dan syakhsiyyah tanpa simpati. Lebih malang apabila sebahagian besar daripada mereka terperangkap dalam kejahilan yang tebal dan kelalaian melampau .

Dunia dan ummah kini memerlukan pendakwah yang ikhlas dan gigih meredah segala rintangan, membelah segala halangan demi menyelamatkan mereka agar tidak musnah dan binasa lantaran pengaruh nafsu yang menguasai dan kejahilan melingkari .

Kehadiran pendakwah bukan sebagai badan sukarela atau kebajikan tetapi sesuatu yang bersifat ijbaari (wajib laksana). Justeru, ia adalah perintah Allah SWT ke atas setiap Muslim.

PENULIS ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN