Bukan keberanian tapi kebiadaban - Utusan Malaysia

Bukan keberanian tapi kebiadaban

Mohamed Apandi Ali (kanan) dan peguamnya, Datuk Baljit Singh membuat laporan polis terhadap Tommy Thomas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini. – Utusan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Barangkali apabila bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menulis memoirnya, My Story: Judiciary in Wilderness, dia tidak menyangka buku itu boleh mengundang bantahan serta kontroversi seperti yang kita lihat sekarang.

Apa pengajaran yang boleh kita ambil daripadanya? Pada saya, andainya kita berani menerbitkan karya cetusan minda kita (bentuk khayalan, cereka atau fakta) untuk tatapan umum, kita mesti bersedia menerima apa sahaja reaksi pembaca – pujian atau celaan.

Sebagaimana kita penulis mengamalkan kebebasan bersuara, pembaca juga ada hak sama. Jika kita berani baling batu kepada orang lain, bersedialah dibaling batu oleh orang lain kepada kita.

Buku Tommy mengandungi 48 bab, selain prakata, epilog, nota akhir dan indeks, setebal 532 halaman. Beberapa individu (termasuk figura awam) merakamkan pujian mereka di bahagian awal dan akhir buku. Kini giliran orang awam (pembacanya) membuat penilaian.

Antara beberapa bab yang dijangka menarik perhatian pembaca adalah pemecatan Ketua Hakim Negara (bab 15), perbicaraan kes SRC (27), kes 1MDB (28), kedudukan raja-raja Melayu (34), kes Altantuya (42), kes Adib dan LTTE (47) serta kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (49).

Dalam halaman 236, Tommy menulis, pegawai-pegawai di Jabatan Peguam Negara tidak ada commitment, passion and drive to succeed as their counterparts in the Bar. Tommy melihat mereka selesa menerima gaji tetap, menunggu pencen apabila bersara, langsung tidak punyai incentive to distinguish themselves.
Kalau boleh saya simpulkan dalam bahasa pasar, Tommy menyindir pegawai-pegawai di Jabatan Peguam Negara sebagai makan gaji buta sahaja.

KARUT

Maka tidak hairanlah saya, kenapa Peguamcara Negara III, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria segera membuat laporan polis terhadap Tommy. Polis mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (iaitu kesalahan fitnah jenayah). Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membuat laporan polis.

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan (yang juga seorang peguam), tulisan Tommy adalah karut dan mala fide, mencemar maruah institusi perundangan negara dan pegawai-pegawai undang-undang.

Tan Sri Idrus Harun (Peguam Negara sekarang) menyelar karya sebagai satu penghinaan kepada institusi undang-undang. Katanya, kandungan buku itu memberikan impak negatif khususnya dari kaca mata orang luar dan secara langsung memberi kesan kepada moral dan semangat pegawai undang-undang.

Idrus berkata, selama hampir 35 tahun bertugas dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan, beliau tiada keraguan mengenai kemampuan pegawai undang-undang dalam menjalankan tugas mereka.

Saya kira ramai sahabat saya (dan bekas pelajar saya) yang pernah berkhidmat di Jabatan Peguam Negara (seperti saya, lima dekad lalu) tergores hati dengan tulisan Tommy. Kata pepatah Melayu, cubit paha kiri, paha kanan terasa sakitnya juga.

Pengamal undang-undang, Haniff Khatri menyatakan dalam satu posting: “Sebagai pengamal undang-undang swasta, saya perlu nyatakan di sini kepada semua saudara dan rakan kami di Pejabat Peguam Negara… ramai dalam kalangan kami di luar sini, tidak langsung setuju malah membantah dan menyelar tulisan… yang terkandung dalam buku memoir Tommy itu.”

Tidak lama selepas buku itu diterbitkan, peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengeluarkan surat rasmi (letter of demand) kepada Tommy memintanya memohon maaf kepada Najib dan sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.

Adik kandung Najib, Datuk Seri Nazir, juga amat kecewa dan kesal dengan tulisan Tommy. Dalam halaman 28, Tommy membuat tohmahan amat serius terhadap Tun Abdul Razak – “So why did hundreds of Malay youths brandishing parang, krises and knives turn on their fellow citizens, the Chinese… the Indians on the evening of Tuesday, May 13th, 1969? The evidence points to a coup by Tun Razak… Who benefitted from the riots? The principal beneficiary was Tun Razak..”

Pada 3 Februari lalu, Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) membantah keras buku Tommy. Dalam kenyataannya, JALSOA menegaskan, ahli-ahlinya tidak bekerja untuk mengejar populariti individu, sebaliknya mematuhi dasar kerahsiaan, mengamalkan integriti dan profesionalisme.

DANGKAL

JALSOA menganggap persepsi negatif Tommy dalam bukunya sebagai sesuatu yang amat tidak bertamadun dan mencerminkan kedangkalan pemikirannya.

Bagi Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim, Tommy melanggar sumpah rahsia sebagai bekas Peguam Negara. Katanya, Tommy sewajarnya memegang teguh kepada sumpah setia jawatan serta sumpah simpan rahsia yang dilafazkannya ketika dilantik sebagai Peguam Negara.

Bagi Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam, Aminuddin Yahaya, buku tersebut mengandungi naratif palsu dan penghinaan terhadap institusi raja-raja Melayu. Tambahnya, tulisan Tommy mengenai kematian Adib adalah satu penipuan kerana gagal menghormati keputusan inkues dan Mahkamah Koroner yang mengatakan mangsa tidak dilanggar.

Selain laporan polis yang dibuat beberapa pihak terhadap Tommy, ada juga cadangan-cadangan lain sebagai tempias kepada penerbitan buku itu. Antaranya penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat, menarik balik gelarannya, serta buku itu diharamkan.

Ada juga yang memuji Thomas kerana ‘keberaniannya’ mendedahkan banyak perkara yang sepatutnya kekal rahsia.

Maaf, saya tidak melihatnya sebagai keberanian. Ia adalah satu kebiadaban (jika disengajakan) atau kekhilafan (jika tidak disengajakan).

DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN