Kolum seram
Ketika mata menyaksikan berita kemalangan jalan raya di kaca televisyen sebentar tadi, memori saya bersama Arif kembali menjengah. Sahabat saya itu juga meninggal dunia dengan cara sama, terlibat kemalangan.
Masih segar dalam ingatan kejadian berlaku hampir 10 tahun lalu. Ketika itu kami tinggal berjiran. Saya terkejut sebaik mendapat berita tersebut, Manakan tidak, orang yang mati itu sahabat karib sendiri. Lagipun, baru sekejap kami melepak bersama sebelum menerima khabar kematiannya.
Sebaik sampai di tempat kejadian saya terkejut. Baru saya tahu, rupanya sahabat saya itu mati selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori balak.
Suasana ketika itu amat hiba dan menyayat hati. Ibunya meraung sebelum jatuh pengsan.
Menurut cerita yang saya dengar, Arif dikatakan menunggang motosikalnya dengan laju. Apabila melalui selekoh itu, motornya gagal dikawal lalu terbabas ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan lori balak.
Apa yang mengerikan adalah keadaan mayat Arif. Tubuhnya terperosok di bawah tayar. Lori yang sarat dengan muatan kayu balak itu dikatakan gagal berhenti lalu menggilis tubuhnya.
Melihat keadaan jasad Arif, lutut saya menggeletar. Jasadnya berkecai. Penyek akibat digilis. Kepalanya pecah hingga tersembur otak. Segala isi perutnya berjejeran terburai. Darah memercik di segenap jalan. Cukup mengerikan!
Hanya baju, seluar dan motosikalnya sahaja mengesahkan identiti yang mati itu ialah Arif. Mayat berserta cebisan jasad dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Keesokan petang, jenazah sahabat saya itu selamat dikebumikan. Keluarga serta rakan-rakan memang bersedih dengan pemergian Arif yang tidak disangka-sangka itu.
Yang lebih terasa, sudah pasti ibu arwah berbanding ayahnya atau adik-adiknya lain. Kenapa saya kata begitu? Inilah yang hendak saya ceritakan.
Sebenarnya, sebelum terlibat dalam kemalangan, berlaku pertengkaran antara Arif dan ibunya. Perkara ini tidak diketahui sesiapa kecuali saya. Saya tahu mengenainya kerana saya turut menyaksikan pertengkaran antara ibu dan anak itu. Sebab itu apabila saya fikir semula mungkin balasan Allah SWT terhadapnya.
Bukan niat hendak mengaibkan atau menjatuhkan hukum sendiri. Cuma, bila teringat kejadian itu, mungkin ada benarnya. Saya anggap ia sebagai satu pengajaran untuk kita yang masih hidup. Begini ceritanya…
Lebih kurang pukul 3 petang pada hari kejadian, saya duduk di pangkin di bawah sebatang pohon mempelam di depan rumah. Ketika itu, saya baru pulang dari sekolah.
Tidak sampai lima minit melabuhkan punggung, Arif datang dan duduk di sebelah saya.
“Tak kerja ke?” tanya saya padanya.
“Tak. Cuti. Badan penat,” jawab Arif sambil mengeluarkan sebatang rokok. Sejak berhenti sekolah di tingkatan satu, Arif sudah bekerja Macam-macam kerja dilakukannya sehinggalah kerja terakhir sebagai buruh binaan.
Petang itu, kami duduk bersembang. Macam-macam topik kami bualkan. Bertambah rancak bila kami berbual tentang ‘awek’. Dialah yang paling galak bercerita. Maklumlah, sudah ada teman wanita. Tidak seperti saya yang masih solo.
Macam-macam Arif ceritakan. Cara nak pikat awek, sikap teman wanitanya yang manja. Malahan kisah mengaibkan juga disampaikan di telinga saya, walaupun saya kurang berkenan.
Memang perangai Arif banyak berubah sejak bekerja dan ada duit sendiri. Hidupnya mula liar. Rokok dan arak sudah jadi perkara wajib.
Sebab sikap nakal dan gemar bersosial itu jugalah, Arif tidak tamat persekolahan. Ibu bapanya pun susah hendak mengawalnya. Bila ibunya menegur, dia melawan. Tak pasal-pasal orang tua itu disergahnya kembali.
Pernah saya dengar Arif menyumpah ibunya, “Orang tua ini sibuk betul. Kalau mati kan senang!”
Sebagai kawan dan jiran, pernah juga saya menegur sikapnya. Tapi ibarat mencurah air ke daun keladi. Kalau nasihat ibunya langsung tak dihiraukan, inikan pula saya yang hanya sebagai rakan. Seolah-olah masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Selepas berbual-bual hampir satu jam, Arif bangun. Katanya, mahu ke pekan berjumpa teman wanitanya.
Lantas dia berjalan pulang ke rumah mengambil motosikal miliknya. Tiba-tiba telinga saya menangkap suara bising dari arah rumahnya. Rupa-rupanya, ibunya yang saya panggil Mak Mah, melarang Arif keluar kerana hari sudah lewat.
Saya yang duduk di pangkin hanya memerhati sambil memasang telinga.
“Arif, jangan bawa anak orang naik motor. Tak elok. Dia belum jadi isteri kau lagi. Tuhan marah. Berdosa!” Bebel ibunya jelas kedengaran.
Mendengar bebelan ibunya yang tidak henti-henti itu, Arif jadi marah. Maklumlah orang muda. Darah cepat mendidih. Tanpa rasa bersalah, dia mengherdik ibunya kembali.
“Dosa! Dosa! Mana Tuhan? Kalau ada, tunjuk! Aku nak tengok, antara aku dengan Tuhan mana lebih kuat!” pekiknya seakan mencabar.
Sebaik menghidupkan enjin motor, dia menunggang sambil berlegar-legar di halaman rumah sambil matanya tajam merenung ibunya.
Sesekali, dia berdiri di atas motor dan menggoyang-goyangkan punggung ke arah ibunya, seolah-olah mengejek.
Selepas beberapa kali membuat aksi begitu, dia berteriak sekali lagi. “Mana Tuhan? Kalau ada tunjuk. Cepat tunjuk lah,” pekiknya sambil memulas minyak dengan sekuat hati.
Ketika lalu di hadapan saya, Arif tersengih dan berkata,
“Tengok itu, orang tua gila!” katanya sebelum memecut meninggalkan saya yang terkulat-kulat memerhati.
Saya hanya mampu menggeleng kepala melihat gelagatnya. Tak sangka, tergamak dia berkata begitu pada ibunya. Kalau tak boleh terima teguran pun, tak perlulah berkata begitu. Apatah lagi mencabar kuasa Tuhan. Takut saya mendengarnya.
Selepas berpisah itulah, tidak sampai setengah jam, saya menerima khabar kemalangan yang menimpanya. Mungkin akibat keceluparannya yang mencabar kuasa Tuhan, sekelip mata Allah tunjukkan kuasanya dalam kemalangan yang begitu dahsyat hingga menghancurkan jasadnya.
Sungguh! Apa yang berlaku pada sahabat saya itu benar-benar menginsafkan saya. Saya jadi takut! Sekelip mata Allah bayar tunai di dunia ini juga.
Nasihat saya kepada pembaca, jadikanlah musibah yang menimpa sahabat saya ini sebagai pengajaran. Jangan kita melawan cakap ibu bapa. Cuba bayangkan keadaan kita yang mati selepas menyakiti hati ibu tanpa sempat memohon ampun? Apa nasib kita di sana kelak?
Jangan juga kita cuba mencabar kekuasaan Allah. Jauh sekali mempersendakanya. Sesungguhnya sebagai orang Islam, kita perlu percaya pada Allah kerana Dia berkuasa atas sesuatu seperti firman-Nya dalam surah Al-An’am, ayat 17 yang bermaksud: “Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
Kejadian ini diceritakan oleh wartawan Kairul Anuar Yusof kepada penulis. Saya dalam cerita tersebut ialah Hasriman, berusia 29 tahun yang berasal dari Sarawak. Lokasi kejadian ini terpaksa dirahsiakan atas beberapa faktor. – Mingguan Malaysia










