Alena bertemu cinta di Malaysia - Utusan Malaysia

Alena bertemu cinta di Malaysia

Bersama anaknya, Almer Fabian Khairaan yang berusia tiga tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kadang-kala kita mungkin agak keterlaluan dalam mengkritik dan membandingkan negara kita dengan negara orang. Disebabkan sikap negatif seperti inilah membuatkan mata kita terhalang daripada melihat kelebihan dan kebaikan negara sendiri.

Bertambah aneh lagi apabila kebanyakan warga asing yang menetap di tanah air kita berpendapat, Malaysia sebagai destinasi yang sempurna dari pelbagai segi. Pandangan ini turut dipersetujui seorang warga Rusia, Alena Rebrova atau lebih dikenali sebagai AlenaMalaysia dalam media sosial.

Wanita berusia 35 tahun ini menceritakan kepada saya, sebelum ini, dia tidak pernah terfikir mahupun mengetahui apa-apa tentang Malaysia. Namun, segala-galanya berubah apabila dia diajak rakannya melawat Malaysia selama seminggu.

“Ternyata Malaysia tidak seperti apa yang saya gambarkan. Bangunan-bangunan pencakar langit ada di mana-mana, ditambah kemodenan teknologi yang tinggi membuatkan saya terfikir bahawa Malaysia ini pro kepada Barat.

“Bagaimanapun, sikap dan mentaliti rakyat Malaysia sangat berbeza daripada Barat. Inilah antara faktor yang menyebabkan saya jatuh cinta dengan Malaysia,” katanya, baru-baru ini.

Alena merupakan seorang pakar penggaya rambut dan memiliki salun di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.

Menurutnya, secara umum, rakyat Malaysia lebih sopan, baik dan sensitif.

“Masyarakat di sini sentiasa tersenyum kepada saya tanpa apa-apa agenda. Di Rusia, kami tidak akan senyum kepada seseorang yang tidak dikenali kerana ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak sopan.

“Atau dalam erti kata lain, seperti orang gila dan mereka akan mula rasa takut kerana beranggapan anda mahu mengambil kesempatan ke atas mereka,” ujarnya.

SENYUMAN MANIS

Seawal berkelana di Malaysia, wajah Alena masih ‘ketat’ terhadap orang asing tetapi setelah ditegur oleh rakan-rakannya, dia mula mempraktikkan tabiat baharunya, iaitu sentiasa menghadiahkan sekelumit senyuman manis kepada orang-orang yang berselisih dengannya.

Dari kaca mata Alena, dia melihat rakyat Malaysia terutama orang Melayu sangat mengambil berat antara satu sama lain. Contohnya, bertanya sama ada sudah makan atau belum.

“Pertanyaan seperti ini mungkin tidak mempunyai apa-apa makna tetapi bagi saya, ia cukup besar.

“Di Rusia, mereka tidak akan mengambil kisah sama sekali sekiranya anda sudah makan atau belum, ia adalah masalah anda sendiri,” katanya.

Sewaktu ditemu bual, Alena menceritakan tentang kehidupan warga Rusia yang hidup di bawah tekanan khususnya di kota-kota besar di sana dan begitu sukar berjumpa dengan orang yang jujur.

Salah seorang rakannya turut meluahkan perasaan untuk berhijrah ke Amerika Syarikat kerana dia melihat Rusia tidak lagi selamat dari pelbagai aspek. Namun, di Malaysia, dia melihat rakyatnya sentiasa tenang sekalipun perkara buruk berlaku. Mungkin mereka tidak begitu memfokuskan kepada masalah sebaliknya mengutamakan kelangsungan hidup.

Perbezaan lain antara Malaysia dan Rusia ialah gaya hidup orang yang berkeluarga. Tempat berhibur, taman atau restoran di Rusia tidak begitu mesra kanak-kanak. Oleh itu, kebanyakan golongan ibu di Rusia hanya sekadar duduk di rumah sehinggalah diyakini anaknya sudah mampu berdikari.

Alena beragama Islam. Perjalanannya memeluk Islam juga sangat menarik.

“Saya datang dari salah sebuah bandar di Siberia yang terdapat kurang 500,000 penduduk. Namun, orang Islam di situ sekitar 500 orang sahaja.

“Saya tidak mengetahui apa-apa tentang Islam sehinggalah saya bertemu suami tercinta, Abd. Hafriz Azim Abd. Latif di sini. Sehingga kini saya masih mempelajari tentang Islam. Pada saya, Islam semuanya tentang pendidikan dan merupakan sebuah jalan hidup bagi manusia,” katanya.

Sekalipun Alena melafazkan dua kalimah syahadah di Malaysia pada bulan Ramadan, namun, dia sudah belajar berpuasa sebelum memeluk Islam lagi.

Pandangannya tentang negara Islam ternyata jauh daripada kenyataan. Dia mulanya menyangka orang Muslim secara umumnya tidak melakukan jenayah, berbohong, menghormati satu sama lain dan sentiasa bahagia. Ternyata ia sekadar imaginasi yang mungkin terbentuk disebabkan dirinya yang ingin lari diri daripada hakikat kehidupan di Rusia yang teruk. Masih banyak kisah dan pandangan menarik Alena yang boleh dikongsikan.

Sebelum mengakhiri pertemuan, Alena berpesan kepada rakyat Malaysia supaya sentiasa menerapkan rasa kesyukuran ke atas kelebihan dan keistimewaan negara kita yang tidak ada di negara-negara lain.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN