Isu siasatan pengendali laman sesawang Sugarbook mendapat reaksi pelbagai dalam masyarakat. Lantas diperkatakan tentang kawalan undang-undang moral. Kembali ada yang menyuarakan pandangan agar moral manusia tidak boleh dikawal oleh undang-undang. Moral merupakan hak individu yang tidak boleh dikongkong oleh undang-undang. Terpulanglah kepada individu itu sendiri untuk memilih jalannya sendiri walaupun melanggar batasan moral masyarakat. Laungan menyahjenayahkan pelanggaran moral kedengaran kembali dan menjadi agenda yang lebih besar sejak kebelakangan ini.
Golongan ini melihat undang-undang semata-mata dari kaca mata Barat dan tidak diadunkan dengan budaya masyarakat tempatan yang disulami dengan tekapan agama. Mereka menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu, menentang penggunaan undang-undang bagi memaksa mengikuti nilai-nilai tertentu. Mereka mengatakan undang-undang tidak boleh mengawal salah laku moral. Jika seseorang itu berdosa, hanya Tuhan yang layak menghukum mereka. Ia merupakan pekerjaan Tuhan dan manusia tidak harus mencampuri urusan tersebut.
Isu dosa adalah isu antara seorang hamba dengan Tuhannya dan kerajaan tidak harus campur tangan, ujar golongan ini.
Oleh demikian, undang-undang dikatakan tidak boleh menghalang perbuatan bersekedudukan antara lelaki dan wanita, berzina, hubungan sesama jenis ataupun melakukan apa-apa maksiat.
Apatah lagi hanya ‘berdating’ yang merupakan hak individu itu sendiri. Ia tidak boleh dipertikaikan selagi mana kedua-dua pihak memberi keizinan.
Di manakah konsep amar maaruf nahi mungkar? Kawalan moral masyarakat telah begitu longgar kerana tentangan yang diberikan terhadap undang-undang kawalan moral. Natijahnya, kita dapat lihat saban hari bukan sahaja muda-mudi bahkan yang sudah lanjut usia tidak segan silu melakukan maksiat walaupun di khalayak umum.
Dari kaca mata Islam, sering hujah yang dikeluarkan ialah kerajaan tidak boleh mengintip perlakuan salah masyarakat. Kisah Saidina Umar r.a sering didamba sebagai autoriti ini. Namun, mereka lupa konsep amar maaruf nahi mungkar dalam agama Islam yang banyak diriwayatkan dalam hadis-hadis nabi.
SEKECIL ZARAH
Gejala pembuangan bayi begitu menjadi-jadi dewasa ini. Ia bukan berlaku sekali sahaja tetapi tidak putus-putus diulangi. Tanpa naluri kemanusiaan, bayi yang dilahirkan dan baru sahaja melihat dunia dibunuh dengan kejam semata-mata bagi menutup dosa yang dilakukan oleh ibu bapanya. Bayi yang tidak berdosa itu menjadi mangsa dan hak mereka untuk hidup di dunia telah dihakis oleh ibu bapa yang tidak berperikemanusiaan. Hal ini disebabkan konsep amar maaruf nahi mungkar itu tidak dapat dilaksana dengan berkesan.
Mungkin di dunia ini mereka boleh terlepas daripada hukuman kerana pihak berkuasa tidak dapat mengesan orang yang membunuh bayi tersebut, namun sudah pasti di akhirat kelak perbuatan mereka akan dibalas dengan azab seksaan Allah. Di akhirat nanti, kita sudah pasti tidak akan terlepas daripada hukuman Allah walau sekecil zarah.
Gejala membunuh bayi umpamanya begitu berleluasa kerana masyarakat sudah tidak lagi memandang aspek akhlak dan moral sebagai suatu yang begitu perlu dipertahankan. Sudah tidak ada perasaan malu lagi berdua-duaan ataupun melakukan perkara sumbang dalam kalangan masyarakat. Sudah sering kita lihat muda-mudi terkinja-kinja di dalam parti dan disko tanpa segan silu, meminum arak dan berpelukan sudah menjadi norma di sesetengah tempat.
Malah orang yang menegur pula dikatakan sebagai ketinggalan zaman, ekstrem dan fanatik agama. Sebarang tindakan yang diambil dianggap sebagai melanggar hak asasi dan privasi seseorang.
Walaupun salah satu Rukun Negara adalah kesopanan dan kesusilaan, namun permasalahan moral ini seringkali diketepikan dalam konteks Rukun Negara. Keruntuhan akhlak inilah yang kita hadapi pada hari ini.
Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan daripada undang-undang. Pada masa ini dengan perundangan yang ada pun. akhlak masyarakat adalah amat menyedihkan. Apa akan jadi jika kesemua perundangan ini dihapuskan?
Bagi orang Islam, kita berada dalam suatu sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian tetapi suatu cara hidup merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah kawalan moral ataupun akhlak Islamiah. Malahan bagi agama lain juga mementingkan aspek akhlak atau moral ini. Hanya mereka yang teruja dengan nilai-nilai Barat mengenepikan nilai moral dan mengagungkan hak asasi manusia tanpa batasan.
ANJING
Jika diteliti dengan mendalam gejala pembuangan bayi ini, ia merupakan isyarat jelas daripada Allah kepada orang yang menentang agama-Nya. Musibah yang melanda negara ini perlu difikirkan dengan fikiran terbuka dan penuh keinsafan. Petanda ini seharusnya kita akur dan bertindak segera sebelum negara menjadi hancur musnah dengan muda-mudi yang tidak keruan dan menyimpang daripada ajaran agama.
Sudah terbukti akibat daripada melonggarkan kawalan moral ini telah mengakibatkan gejala-gejala yang begitu menyedihkan saban hari berlaku. Yang peliknya pula, di mana perginya pejuang-pejuang hak asasi apabila bayi yang tidak berdosa dibunuh, dibakar, mayatnya dijinjing anjing dan sebagainya? Sepatutnya mereka perlu menggarap formula yang berkesan bagi menangani gejala yang berleluasa ini dengan segera. Namun apa yang berlaku ialah sehingga hari ini jalan penyelesaian gagal dicari bagi menangani gejala sosial ini.
Pada pendapat saya, jalan penyelesaiannya memang telah lama wujud cuma ia sengaja dipinggirkan. Berbaliklah kepada Islam bagi menemui jalan penyelesaian. Kawalan moral perlu diperketatkan bagi membanteras gejala sosial ini dan dengan sendirinya akan melahirkan generasi yang mantap berteraskan al-Quran dan sunnah, seterusnya dapat memacu pembangunan negara dengan kualiti tersebut.
Saya hairan kenapa masih ramai yang tidak melihat Islam sebagai jalan penyelesaiannya walaupun telah dibuktikan dalam banyak keadaan pendekatan Islam merupakan jalan terbaik dalam menyelesaikan banyak isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang semakin meruncing akhir-akhir ini. Mereka hanya perlu membezakan antara kelakuan umat Islam dan agama Islam itu sendiri. Kelakuan umat Islam mungkin tidak menggambarkan agama Islam itu sendiri.
Sementara masa masih lagi menyebelahi kita, kita harus segera bertindak menyelesaikan kemelut sosial ini mengikut lunas-lunas Islam. Apabila sudah terlambat nanti, sudah tidak ada gunanya mencari penyelesaian tersebut. Bahang masalah sosial ini amat dirasai ketika ini, penyelesaian yang dicari hendaklah bukan bersifat sementara sahaja tetapi kekal bagi membentuk generasi gemilang dan mempunyai daya bersaing di peringkat global.
Berbalik kepada siasatan yang dijalankan terhadap pengendali Sugarbook ini, saya mengucapkan syabas kepada kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berani mengambil tindakan memulakan siasatan. Pertahankanlah nilai akhlak melalui undang-undang.
Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).










