Wanita berdikari, bukan masak kari - Utusan Malaysia

Wanita berdikari, bukan masak kari

Wanita berdikari bukan sahaja menarik dari segi personaliti tetapi juga sudut kewangan. – Utusan/Amir Irsyad Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHIDUPAN wanita pada alaf ke-21 jauh berbeza dengan kehidupan di zaman ibu dan nenek kita. Ini kerana faktor pendidikan dan kerjaya menjadi taruhan.

Jika dahulu, wanita amat risau jika masih tidak berkahwin pada usia 25 tahun, namun hari ini ramai memilih untuk menamatkan zaman bujang pada usia 30-an. Sesetengahnya pula tidak ambil pusing perkara ini kerana sudah memiliki kerjaya yang kukuh serta mampu berdikari.

Wanita tidak lagi mahu digambarkan dengan imej memakai baju kelawar dan berada di dapur, sebaliknya mahu dilihat sebagai golongan berdikari. Tidak menumpang senang suami atau ahli keluarga walaupun memilih untuk menjadi suri rumah.

Pun begitu, ada sahaja cakap-cakap belakang mengenai wanita yang terlalu berdikari hingga sering dicop sebagai salah satu punca peningkatan kes wanita bujang dan cerai kerana gaya hidup mereka seperti tidak memerlukan lelaki, malah berani pula mengambil alih tugas suami.

Berdikari bukan hanya pada wang ringgit dan materialistik, sebaliknya perlu dilihat dalam skop lebih luas seperti mampu ke pasar raya, hospital atau bengkel sendiri, mampu pam atau tukar tayar bila pancit dan bijak buat keputusan sendiri.

Sebagai wanita, tidak perlu takut untuk menjadi diri sendiri, menonjolkan kelebihan dan kekuatan kita. Jangan disebabkan stigma masyarakat yang negatif menyebabkan kita terpaksa akur dengan keadaan.

TAKHTA

Walaupun sudah berumah tangga sekali pun, kita masih boleh terus berdikari. Bukanlah bermaksud sehingga ‘merampas’ takhta suami sebagai ketua keluarga, namun lebih kepada membantu meringankan beban. Maklumlah, serba serbinya mahal sekarang. Kelebihan itu tidak bermakna memberi lampu hijau untuk suami culas dengan tanggungjawab sehingga meletakkan segala peranan mengurus anak, makan, minum dan bayar bil di bahu isteri.

Maaf jika saya katakan, ramai isteri yang memilih untuk berdikari atas faktor terpaksa kerana beberapa sebab. Antaranya, tidak diberikan nafkah dan suami lepas tangan dalam soal rumah tangga sehingga menyebabkan hilang rasa hormat dan kebergantunggan kepada suami menjadi longgar.

Jodoh, ajal dan rezeki di tangan Tuhan. Justeru, seorang wanita juga diajar untuk berdikari dan mengumpul aset atau simpanan untuk masa depan. Kita boleh merancang tetapi Allah SWT menentukan. Sekurang-kurangnya apabila jodoh tidak panjang, seorang wanita tidak tersepit dibebani hutang atau kesukaran meneruskan kehidupan.

Begitu juga ketika di pejabat, sikap berdikari atau mampu berdiri di kaki sendiri perlu diterapkan agar mampu melaksanakan tanggungjawab tanpa bergantung kepada orang lain. Jika lelaki boleh, wanita juga mampu lakukan.

SUMBER INSPIRASI

Malah, sifat tersebut dapat membentuk seseorang untuk berfikir secara rasional dan mengambil tindakan serta keputusan terbaik dalam memastikan tugasan yang diberikan dapat disempurnakan dengan baik.

Apa jua situasi dan alasan, hidup berdikari bukanlah sesuatu yang buruk, malah anda mungkin menjadi sumber inspirasi buat orang ramai dalam berdepan cabaran hidup yang sama.

Ini kerana wanita berdikari bukan sahaja menarik dari segi personaliti tetapi juga dari sudut kewangan kerana memiliki peluang untuk menjana pendapatan dan menyara hidup selain mampu memiliki kerjaya hebat setanding lelaki. Pada masa sama juga dapat membentuk keseimbangan antara fizikal dan mental. Ini kerana wanita yang berdikari akan sentiasa bersikap sedia, tidak teragak-agak dan mampu menyahut cabaran, selain menjadikan dirinya kreatif sekali gus mampu menghasilkan kerja berkualiti.

Kajian oleh Universal Networks International bersama Synovate pada 2011 terhadap wanita Malaysia mendapati, wanita berdikari tergolong dalam 10 ciri wanita menarik, bijak serta penuh pesona.

Jadi, mengapa perlu menjadi lembik dan bergantung kepada lelaki hanya dengan alasan untuk menarik perhatian golongan tersebut?

AURA

Bersyukurlah jika anda memiliki kelebihan untuk berdikari kerana tidak semua wanita mempunyai keberanian tersebut, sekali gus membentuk aura dalam diri yang menjadi tarikan buat kaum Adam.

Ini kerana anda bersikap terbuka dan mudah untuk dibawa berbincang kerana mempunyai matlamat yang jelas tanpa perlu mengikut telunjuk lelaki.

Dengan semangat tersebut, golongan lelaki akan melihat anda sebagai seorang yang tidak mengenal erti putus asa serta akan mendapatkan apa yang diinginkan.

Keinginan tersebut bukan sahaja menolak stigma wanita sebagai golongan yang lemah, sebaliknya berani menyahut cabaran. Sikap yakin tersebut akan menambat hati lelaki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN