Kali pertama saya bertemu muka dengan Tun Salleh (Allahyarham Tun Dr. Mohamed Salleh Abas) adalah pada 1968 sewaktu belajar undang-undang di London. Pada suatu petang, puluhan pelajar undang-undang dikehendaki hadir di Malaysia Hall, Bryanston Square untuk mendengar taklimat oleh seorang tetamu kenamaan (VIP) dari Kuala Lumpur.
Saya dan kawan-kawan pun hadir tanpa mengetahui siapa VIP tersebut. Akhirnya, baru saya tahu, orang itu ialah Datuk (pada masa itu) Mohamed Salleh, Peguamcara Negara di Kuala Lumpur.
Saya tak sangka orang itu menjadi ‘bos’ saya bila pulang ke tanah air.
Saya pun sudah lupa apa yang diperkatakannya sepanjang sejam petang itu. Apa yang saya ingat dan tidak lupa sampai bila-bila adalah soalan cepu emas: “Setelah belajar undang-undang selama ini, apa yang kamu peroleh daripadanya?”
Saya memang tak tahu jawapannya tetapi ada pelajar-pelajar senior memberikan jawapan. Semua jawapan diterima olehnya dengan senyuman sambil geleng kepala. Akhirnya dia beri jawapan (yang hendak didengar olehnya daripada kita). Katanya, “law teaches you to develop an analytical mind (undang-undang mengajar kamu untuk membina pemikiran yang analitikal).”
Kata-kata beliau menjadi pedoman selama saya berkarya sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, kemudian pengamal undang-undang dan kini, konsultan bebas. Tiada masalah sebesar mana pun yang tidak boleh diselesaikan sekiranya kita menggunakan pemikiran analitikal.
Kali kedua saya bertemu Tun Salleh apabila melaporkan diri di pejabatnya pada Julai 1970 setelah menamatkan pengajian di Lincoln’s Inn, London. Saya fikir akan diberi peluang untuk berkhidmat dalam semua jabatan atau bahagian (pendakwaan, penggubalan dan sebagainya). Rupa-rupanya selama lima tahun, saya kekal bertugas di bawahnya secara langsung, iaitu di Bahagian Penasihat dan Antarabangsa. Banyaklah tunjuk ajar yang diberikannya kepada saya selama lima tahun itu.
THE ROCKET
Pada suatu petang, saya dipanggil ke pejabatnya. Tun Salleh menyerahkan akhbar The Rocket mengarahkan saya membacanya, kemudian memberitahu sama ada terdapat apa-apa di dalamnya yang menjadi satu jenayah. Sepanjang malam saya membaca dengan teliti tetapi berasa tiada apa-apa yang menyalahi undang-undang. Keesokan hari, saya serahkan balik akhbar itu kepada Tun Salleh sambil menyatakan, tak jumpa apa-apa yang menyalahi undang-undang. Dia terima akhbar itu tanpa mengatakan sesuatu dan saya pun tidak lagi memikirkan perkara tersebut.
Sebulan kemudian, barulah saya tahu, satu prosiding jenayah di bawah Akta Hasutan akan dimulakan terhadap seorang ahli politik disebabkan ucapannya yang menghasut disiarkan dalam akhbar itu. Insiden itu mengajar bahawa begitu banyak sekali undang-undang negara yang perlu saya terus pelajari. Prosiding jenayah terhadap ahli politik itu berakhir dengan sabitan.
Tun Salleh bukan hanya seorang Peguamcara Negara yang dihormati kawan dan lawan dalam mengendalikan kes-kes jenayah besar terhadap tokoh politik, figura awam dan kerabat diraja, bahkan sebagai pengarang (penulis buku). Antara karyanya yang sekarang masih lagi menjadi buku teks pelajar undang-undang di universiti adalah Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1997 dan diterbitkan semula pada 2015 setelah dikemaskini. Saya diberi peluang oleh DBP untuk mengemaskini kandungan buku tersebut. Ia menjadi legasi kita bersama untuk pelajar undang-undang pada masa depan.
DUNIA KORPORAT
Tun Salleh juga aktif dalam dunia korporat, khususnya bidang perancangan harta berdasarkan Islam (Islamic estate planning). Beliau menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah As-Salihin Trustee Berhad dan Pengerusi Lembaga Penasihat Syariahnya pada 2005. Ditakdirkan Allah SWT, saya diundang oleh Ketua Eksekutif syarikat tersebut, Abdul Aziz Peru Mohamed menjadi salah seorang anggota Lembaga Penasihat Syariah pada awal 2009.
Kecuali pertemuan dengannya pada 1985 sewaktu saya bertugas sebagai Timbalan Dekan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Tun Salleh diundang untuk memberi syarahan perdana kepada pelajar undang-undang di universiti itu, saya tidak bertemu dengannya selama 34 tahun selepas meninggalkan Jabatan Peguam Negara.
Setiap kali habis mesyuarat di As-Salihin Trustee Berhad, kami akan bersembang lama tentang isu undang-undang semasa. Sejak saya bertugas di Jabatan Peguam Negara di bawahnya pada 1970-an sehinggalah kini sama-sama menjadi anggota Lembaga Penasihat Syariah syarikat, hubungan saya dengan Tun Salleh lebih sebagai hubungan ayah dengan anak, bukan bos dengan pegawai bawahan.
Walaupun telah lama meninggalkan badan kehakiman, Tun Salleh masih aktif sebagai peguambela. Pada suatu petang selepas habis mesyuarat, beliau meminta pandangan saya mengenai isu kuasa kerajaan negeri melupuskan tanah kerajaan kepada rakyat. Saya katakan padanya, beliau lebih arif. Sambil tersenyum beliau menjawab, sudah lupa banyak tentang isu tanah, manakala saya masih lagi aktif mengajar dan menulis mengenainya.
Antara beberapa pertemuan saya dengan Tun Salleh pada masa silam paling menyayat hati adalah suatu petang di rumahnya di Kuala Lumpur. Ketika itu, pemecatannya baru berlaku. Hajat saya hendak memberi sokongan moral kepadanya sebagai seorang anak kepada bapa. Setibanya di rumah beliau, saya dimaklumkan oleh ahli keluarganya, Tun Salleh masih belum pulang dari surau untuk solat Asar. Saya pun tunggu di luar rumah sehingga beliau pulang.
Setelah beliau pulang dan mempelawa saya masuk, kami bersembang seperti biasa. Sebelum beredar, saya katakan kepadanya, harap beliau akan terus menulis supaya segala ilmu dan kepakarannya boleh dimanfaatkan oleh generasi masa depan. Tun Salleh menjawab, fikirannya masih lagi ‘belum tenang.’
Tun Salleh meninggalkan kita pada Sabtu lalu buat selama-lamanya. Saya kehilangan seorang guru, mentor, ayah dan sahabat. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya kepada roh Tun Salleh dan menempatkannya bersama orang-orang soleh. Al-fatihah.
DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.










