Sudahlah berbalah YB - Utusan Malaysia

Sudahlah berbalah YB

PADA sidang Parlimen 2020, hanya 25 rang undang-undang sempat diperbahaskan berbanding 43 pada 2019. – FACEBOOK PARLIMEN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BERINGAT­LAH semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pada 2019, Parlimen mendengar pembacaan untuk 43 rang undang-undang. Angka ini menjunam pada 2020, hanya 25 rang undang-undang sempat diperbahaskan. Memandangkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang sepanjang tahun dengan kekangan ketat mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) menangani pandemik Covid-19, sudah tentu dianggap munasabah angka perbahasan pindaan dan penggubalan undang-undang dilihat berkurangan.

Contohnya, apabila takwim persidangan Dewan Rakyat pada asalnya dijadualkan bermula 9 Mac hingga 16 April lalu terpaksa ditangguhkan selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bahkan pada 18 Mei, Parlimen hanya bersidang sehari, iaitu bagi urusan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa membahaskan mana-mana usul.

Pada masa sama, tidak dapat dilupakan pertukaran tampuk kepimpinan pada Februari lalu yang merencatkan lagi pergerakan cabang legislatif negara. Pertukaran ini bukan hanya membantutkan proses perbahasan di Parlimen, tetapi juga melambatkan pemakaian dasar yang telah dipersetujui kepimpinan lalu, di setiap aturan cabang eksekutif negara. Sudah tentu secara warasnya, apabila bertukar nakhoda, sudah tentu bertukar juga halu tuju bahtera itu.

Maka amatlah jelas kebenaran yang dititahkan Sultan Perak bahawa sebarang pergolakan politik haruslah dilihat sebagai kegagalan kepemimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat. Setiap kali berlaku kepincangan politik, yang lelah menjadi mangsa adalah rakyat jelata yang nasibnya tidak terbela.

SPEKULASI

Malangnya, desas-desus pertukaran kerajaan masih berlegar-legar menjadi buah mulut orang ramai. Desakan untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 juga masih terus dibincangkan dengan rancak sekali dalam kalangan politikus negara. Walhal sebetulnya rakyat sudah jelak dengan spekulasi sebegini. Perbualan ahli-ahli politikus yang giat mengatur strategi mereka tanpa mempedulikan kebimbangan rakyat seolah-olah memberi isyarat bahawa sesungguhnya mereka wujud dalam satu masyarakat yang berbeza, malah langsung terpinggir di kayangan jauh daripada realiti rakyat.

Atas alasan itu, jika seorang ahli Parlimen merangkap menteri ditimpa kecelakaan kerana jalan raya tidak diturap kemas, gegar gempita seluruh bumi Malaysia membincangkan insiden kemalangan kecil ini. Walhal nyawa rakyat yang banyak melayang atas sebab sama tidak pula menggegarkan hati pak-pak menteri yang mengandar tanggungjawab bagi memelihara keselamatan rakyat.

Rakyat dijanjikan dengan kemakmuran yang dikongsi bersama, di mana kesejahteraan dan keselamatan kononnya dijadikan hala tuju utama negara. Namun, sayang sekali apabila rakyat masih perlu menagih perhatian wakil-wakil rakyat yang dilantik untuk melihat sendiri keperluan, penderitaan dan harapan mereka. Janji-janji dahulu untuk mendulukan beberapa rang undang-undang sudah mula luntur dan gersang. Terasa seperti proses legislatif hanya dilihat sebagai perkara yang remeh bagai hanya berkelahi di ekor alahan di pandangan mata ahli-ahli politikus kayangan ini.

GANGGUAN SEKSUAL

Di mana janji kerajaan yang dulunya bersungguh-sungguh ingin menggubal akta-akta baharu? Contohnya, janji kerajaan untuk mengadakan sebuah akta khusus bagi membasmi gangguan seksual? Dalam negara dilambakkan dengan kes-kes melibatkan gangguan seksual di setiap peringkat masyarakat, Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual masih belum direalisasikan.

Begitu juga dengan RUU Tenaga Atom dan RUU Ombudsman yang juga kononnya diniatkan untuk perbahasan dalam tahun ini. Kedua-dua akta candangan ini masih tergendala tanpa pembelaan dalam pada ahli Parlimen tetap punya banyak masa menjerit maki dan mengherdik sesama sendiri. Ahli politik sungguh gemar berlumba-lumba dengan strategi politik masing-masing dan janji-janji tentang penggubalan akta baharu terkandas terus.

Semasa negara berterusan berperang melawan penularan wabak Covid-19 yang semakin mengganas, diharapkan ada kemakmuran bersama sinar 2021. Didoakan semua yang diniatkan untuk 2020 yang masih terencat dapat disempurnakan dengan lebih baik pada 2021. Yang tentu, harapan ini hanya akan dapat menjadi realiti jika kepimpinan negara di setiap peringkat sedar dengan amanah yang dijanjikan mereka.

Sudahlah berbalah Yang Berhormat (YB) sekalian. Mulalah bekerja.

PENULIS ialah pengamal undang undang; Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (Wafiq); Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN