Siapa pemilik sebenar Nagorno-Karabakh? - Utusan Malaysia

Siapa pemilik sebenar Nagorno-Karabakh?

Perbarisan sempena kejayaan pasukan tentera Azerbaijan menguasai semula bandar-bandar yang diceroboh Armenia di Baku, 10 Disember lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada September lalu, dunia dikejutkan dengan konflik bersenjata antara Azerbaijan dan Armenia yang berlangsung selama lebih sebulan di wilayah Nagorno-Karabakh. Konflik atau lebih tepatnya peperangan itu mengorbankan nyawa ribuan tentera dan orang awam di kedua-dua belah pihak.

Peperangan yang tercetus sewaktu Covid-19 melanda itu berpihak kepada Azerbaijan apabila mereka berjaya menguasai semula lima bandar dan 286 kampung sekali gus menamatkan 30 tahun penjajahan haram Armenia ke atas wilayah Azerbaijan.

Namun, saya yakin ramai dalam kalangan kita masih tidak memahami tentang pergolakan itu dan tertanya-tanya, siapa pemilik sebenar wilayah Nagorno-Karabakh?

Sebelum itu, kita perlu ketahui sedikit sejarah negara dua benua ini. Azerbaijan merupakan sebuah negara yang majoriti penduduknya umat Islam. Terletak di selatan Kaukasus antara Eropah Timur dan Asia Barat. Republik yang mempunyai 10 juta penduduk itu bersempadan Laut Caspian, Rusia, Georgia, Armenia dan Iran. Sekalipun sekadar berkeluasan 86,000 kilometer persegi, namun ia mempunyai sejarah panjang dan pernah mendapat dua kali kemerdekaan pada 1918 dan 1991.

Konflik antara Armenia dan Azerbaijan seputar wilayah Nagorno-Karabakh bermula sejak lewat 1980 apabila Armenia mendakwa Karabakh sebagai wilayah mereka. Dakwaan tanpa fakta tersebut menyebabkan tercetusnya pertumpahan darah. Warga Azerbaijan yang berada di Armenia dan Karabakh dihalau keluar dalam skala besar. Bukan itu sahaja, Armenia melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas lebih 600 penduduk di Khojaly pada 26 Februari 1992.

MERDEKA

Armenia mengambil kesempatan ke atas Karabakh pada lewat 1991 dan awal 1992 ketika Azerbaijan masih baru merdeka dan berjuang untuk membangunkan negara mereka setelah berpisah daripada Kesatuan Soviet. Sejak itu, Armenia menakluki wilayah Karabakh secara haram meskipun pihak antarabangsa dengan jelas memasukkan wilayah bergolak itu ke dalam peta Azerbaijan.

Konflik yang tidak sepatutnya berlaku itu menyebabkan kira-kira sejuta warga Azerbaijan menjadi pelarian, lebih 20,000 terbunuh, 50,000 cedera atau cacat dan 4,000 orang hilang tanpa diketahui nasib mereka.

Kerajaan Malaysia merupakan antara negara terawal menunjukkan reaksi sewaktu peperangan Karabakh yang berlaku baru-baru ini dan Azerbaijan sangat menghargai pendirian Kuala Lumpur yang adil selama konflik tersebut berlangsung. Kerajaan Malaysia juga menyokong empat resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika konflik sedang berlangsung dengan menegaskan integriti wilayah Azerbaijan. Bahkan sokongan Malaysia turut dilontarkan dalam forum-forum antarabangsa besar dunia seperti di Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sebaik sahaja peperangan tamat pada 10 November lalu, Turki dan Rusia menghantar pasukan tentera pengaman mereka ke Karabakh bagi memastikan keamanan.

GAMBARAN

Baru-baru ini, saya menemu bual Duta Besar Republik Azerbaijan di Malaysia, Dr. Qaley Allahverdiyev bagi mendapatkan gambaran sebenar.

“Pertama sekali, saya perlu memaklumkan bahawa menjaga hubungan baik dengan negara-negara jiran merupakan salah satu perkara terpenting dalam polisi hubungan luar kami.

“Azerbaijan menikmati hubungan yang akrab dengan Turki dan Rusia. Kedua-dua negara ini turut menjadi rakan utama Azerbaijan sejak dari dahulu lagi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Sejak dari awal peperangan meletus, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev beberapa kali menyatakan dengan jelas, konflik akan berakhir sekiranya Armenia meninggalkan wilayah Azerbaijan yang ditakluki mereka tanpa sebarang syarat. Pada 9 November lalu, Presiden Azerbaijan, Presiden Rusia dan Perdana Menteri Armenia menandatangani perjanjian gencatan senjata Nagorno-Karabakh berkuat kuasa 10 November 2020.

Sekalipun perdamaian termeterai, namun masih terdapat saki-baki tentera Armenia bersembunyi di dalam hutan di wilayah Azerbaijan dengan niat untuk melakukan sabotaj dan provokasi.

Namun, operasi antipengganas yang dilancarkan Azerbaijan berjaya menghalang niat jahat mereka. Kini, Azerbaijan sedang bertungkus lumus membersihkan kawasan mereka daripada periuk api yang ditanam di merata tempat dan membina semula segala infrastruktur yang telah musnah.

Rakyat Malaysia perlu peka dengan konflik ini kerana ia melibatkan integriti dan penjajahan haram ke atas wilayah berdaulat. Armenia begitu agresif dalam mengeluarkan propaganda jahat untuk menghalalkan tindakan mereka ke atas Azerbaijan sekalipun mereka tahu Azerbaijan mempunyai hak yang jelas menurut perspektif undang-undang antarabangsa. Menerusi prinsip undang-undang antarabangsa, utipossidetis juris, semua negara baharu yang keluar dari Kesatuan Soviet berhak mendapatkan semula bekas wilayah mereka.

Resolusi 822, 853, 874 dan 884 Majlis Keselamatan PBB dengan jelas menyatakan, wilayah Nagorno-Karabakh sebagai sebahagian daripada Azerbaijan, bahkan hakikat tersebut turut terdapat dalam dokumen-dokumen rasmi pertubuhan antarabangsa dunia seperti Majlis Eropah dan NAM.

“Sebagai wakil kepada kerajaan Azerbaijan, saya menjemput semua syarikat Malaysia untuk turut serta dalam projek-projek pembangunan semula di wilayah Azerbaijan kami,” katanya mengakhiri perbualan.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN