Seronok sangat dapat ‘buluh’ - Utusan Malaysia

Seronok sangat dapat ‘buluh’

PENULIS mengukur tebu yang disangkanya buluh. Gambar ini dirakam pada 2011.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Arwah ayah sedang membuat kerja di mejanya apabila telefon berdering. Sambil memandang ke arah saya, ayah memberitahu, Uncle Dollah dalam perjalanan ke rumah kami. Kata ayah lagi, Uncle Dollah ada hadiah istimewa untuk saya.

Dengan perasaan teruja, saya berlari ke tingkap. Sebaik sahaja nampak kereta Uncle Dollah di depan rumah, saya terus memberitahu ayah. Kami turun menyambutnya. Uncle Dollah mengeluarkan hadiah istimewa yang dijanjikan.

Terkejut melihat hadiah yang menyamai tinggi saya. Kata Uncle Dollah, saya harus membukanya di dapur. Dengan berhati-hati, saya membawa masuk hadiah yang tinggi dan agak berat itu dengan penuh tanda tanya. Tidak boleh dibayangkan apa di dalamnya.

Kakak saya, Anisah turut mengikut saya ke dapur. Saya meletakkan hadiah itu di atas helaian surat khabar seperti diarahkan oleh Uncle Dollah. Sebaik sahaja saya membuka bungkusan hadiah itu, saya terkejut.

BERUAS-RUAS

Saya dan kakak meneliti batang beruas-ruas yang panjang berwarna kuning keperangan itu. Kami sepakat mengatakan ia buluh.

Sedang asyik meneliti batang ‘buluh’ itu, Uncle Dollah memanggil saya dan bertanya jika saya suka hadiah dibawanya. Dengan gembira saya menjawab sangat seronok. Tambahan, itulah kali pertama saya melihat ‘buluh’ secara dekat.

Uncle Dollah ketawa besar mendengar jawapan spontan saya. Sebelum pulang, dia berpesan supaya saya menikmati ‘buluh’ itu sementara masih segar. Melihat saya kehairanan, ibu memberitahu saya, ‘buluh’ itu sebenarnya tebu!

Arwah ayah menunjukkan cara memakan tebu. Terpegun saya dan kakak-kakak melihat ayah mengoyakkan kulit tebu menggunakan giginya, lantas menggigit dan mengunyah isinya yang manis.

Saya gagal meniru aksi ayah, lalu ibu memotong kecil-kecil tebu supaya kami dapat menikmatinya dengan lebih mudah. Barulah saya tahu, tebu boleh dimakan begitu sahaja tanpa perlu diperah dengan mesin untuk mendapatkan airnya. Malah, menikmati isi tebu yang segar adalah jauh lebih nikmat daripada meminum segelas air tebu yang dimesin.

Peristiwa lucu itu berlaku 10 tahun lalu. Sebagai anak yang dilahirkan dan dibesarkan di kota raya dikelilingi hutan konkrit, pada usia tujuh tahun, saya masih tidak dapat membezakan antara tebu dan buluh.

PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN