Sedihnya dari sifar ke zon merah - Utusan Malaysia

Sedihnya dari sifar ke zon merah

Pemantauan prosedur operasi standard sentiasa diperketatkan terutama di lokasi-lokasi tumpuan di sekitar Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAZIMNYA ketika negeri-negeri lain terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 setiap hari khususnya dalam tempoh sebulan kebelakangan ini, Perlis sentiasa maintain sifar kes penularan wabak tersebut.

Status hijau Covid-19 pula sudah sekian berjaya dikekalkan di negeri ini sehingga mencetuskan gurauan hangat di media-media sosial seperti Facebook dan Twitter di mana ramai menyatakan keinginan untuk berpindah atau bekerja di Perlis.

Ramai juga tertanya-tanya, apa ‘rahsia’ Perlis dalam membendung penularan Covid-19 sehingga sentiasa bebas wabak berkenaan?

Namun entah di mana silapnya, sejak minggu lalu, Perlis mula mencatatkan kes baharu Covid-19 dengan kelmarin sahaja sebanyak 16 kes direkodkan iaitu jumlah tertinggi pernah dicatatkan dalam sehari di negeri itu.

Pada Ogos tahun lalu, Perlis pernah mencatatkan 11 kes dalam tempoh sehari iaitu jumlah yang ketika itu sudah cukup mencemaskan penduduknya.

Setakat kelmarin, sebanyak 51 kes aktif direkodkan dan semalam Perlis diisytiharkan sebagai zon merah sekali gus arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dilaksanakan di negeri itu berkuat kuasa Jumaat ini.

Malah, buat pertama kalinya sejak tercetus pandemik Covid-19, kes terkumpul wabak berkenaan di negeri berkenaan mencecah tiga angka iaitu 114 pada Isnin lalu dengan jumlah itu dijangka meningkat.

Difahamkan, kebanyakan kes tersebut melibatkan jangkitan daripada mereka yang datang ke Perlis dari zon merah, bukan disebabkan kegagalan rakyat negeri berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Malah diakui sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man bahawa kemasukan beramai-ramai ke Perlis sebelum ini telah membuka ruang kepada jangkitan kes.

Dengan masih terdapat 153 lagi sampel diuji sedang menunggu keputusan, tidak mustahil jumlah kes positif jangkitan Covid-19 di Perlis akan terus menunjukkan peningkatan.

Dan difahamkan, sebahagian besar daripada sampel tersebut adalah terdiri daripada kontak rapat kepada orang yang datang dari zon merah.

Jika diukur dari segi pematuhan SOP, rakyat Perlis diakui cukup berdisplin dan memandang serius soal tersebut khususnya apabila berada di tempat-tempat awam. Mereka sentiasa lengkap berpelitup muka selain menjaga baik penjarakan sosial.

Daripada warga emas, remaja sehingga kanak-kanak sekali pun, pematuhan SOP sentiasa dititikberatkan dan atas sebab itu juga, jarang kedengaran jangkitan kes tersebut bermula daripada rakyat di negeri tersebut.

Kawalan dan penguatkuasaan SOP di Perlis juga sangat ketat dengan ada sahaja anggota polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan sebagainya mengawal keadaan di lokasi-lokasi tumpuan.

Malah, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad juga menegaskan, pemantauan SOP sentiasa diperketatkan terutamanya di lokasi-lokasi tumpuan.

Dengan keluasan hanya 821 kilometer persegi meliputi jumlah penduduk sekitar 200,000 orang, Perlis perlu sentiasa berwaspada kerana dikhuatiri jika Covid-19 ‘mula mengganas’, penularannya tidak memerlukan masa terlalu lama.

Diharapkan penularan Covid-19 dapat segera dikekang seterusnya memastikan Perlis kembali sifar kes wabak berkenaan.

Perlis diakui antara negeri contoh dan terbaik dalam membendung penularan Covid-19 dan menjadi harapan ia dapat dikekalkan.

Bagi rakyat Perlis, teruskan disiplin dalam menjaga SOP. Hampa nak pi Cmart ka, Kuala Perlis ka, Timah Tasoh ka, pastikan jangan lupa pakai pelitup muka dan jaga jarak.

Kekalkan disiplin itu, Insya-Allah kita mampu kembali menewaskan Covid-19.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN