Sejak pandemik Covid-19 menawan dunia, kita dapat lihat pelbagai perkara yang perlahan usaha jayanya berlaku dalam sekelip mata. Lihat sahaja rasa mustahil dan lambatnya gerak usaha untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dengan menyeluruh di segenap peringkat pendidikan.
‘Berkat’ pandemik, ia berlaku sekelip mata. Menjadi, walau masih perlukan tambah baik di sana sini. Lihat juga bagaimana kuatnya solidariti dalam kalangan masyarakat yang membantu dengan keringat dan tulang empat kerat untuk melawan pandemik dan membantu kesukaran hidup orang lain dengan limitasi masing-masing. Menjadi, golongan terkesan pandemik punyai sokongan sana sini.
Kita syukuri ini. Maka, ia perlu dilihat bukan dengan pandangan kosong. Maknanya begitu mendalam maka tidak harus kita nilai hanya dari permukaan. Makna sebenar daripada pandemik ini hakikatnya menjangkau fikiran yang seharusnya dimaknai dan dihayati. Cabaran kepada solidariti ini hakikatnya memberi kesan kepada segenap kelompok masyarakat termasuk para sarjana baik di dalam mahupun di luar negara.
PROFESOR
Golongan sarjana perlu menjadi tumpuan ketika ini kerana inilah masanya untuk mereka mula memberi balik kepada masyarakat, tanpa syarat. Saya melihat keperluan ini wujud malah amat penting terutama dalam era mendesak hari ini meletakkan sarjana sebagai golongan intelek yang diperlukan, sekali gus membuktikan merekalah ‘hero’ zaman moden yang serba kompleks dan mencabar.
Sarjana ialah golongan pakar dalam sesuatu bidang tertentu. Sarjana boleh jadi mereka yang melibatkan diri dalam bidang pendidikan seperti profesor, penyelidik atau pendidik di pusat pengajian tinggi. Dalam dunia serba canggih hari ini, golongan inilah sebenarnya yang perlu menggerakkan dunia ke arah penambahbaikan dan pemulihan.
Namun, tidak mudah juga untuk menggerakkan golongan intelek ini. Antara cabarannya ialah perbezaan pendapat dalam bidang yang kadang kala membawa kepada perasaan dan tindakan yang menafikan kepentingan meraikan kepelbagaian disiplin. Ada sarjana yakin bidangnya lebih baik daripada bidang lain. Ini menafikan kebarangkalian menyelesaikan masalah dengan duduk semeja secara intelek tanpa sengketa. Ada sarjana pula tidak meyakini kebolehan seseorang pakar untuk mengintegrasikan kepakarannya dengan ilmu lain, misalnya ilmu agama. Ini juga menafikan kebarangkalian meraikan intelektual yang boleh memberi balik kepada masyarakat, dunia dan akhirat.
STEPHEN HAWKING
Mengapakah perlunya kita bercakap soal ini sekarang? Percaturannya mudah. Kita dapat rasai betapa kompleks kehidupan hari ini, maka keperluan untuk menyelesaikan masalah juga semakin kompleks dan tidak akan lebih mudah. Sungguhpun manusia sudah berupaya untuk menyelesaikan banyak masalah dalam perkembangan Revolusi Industri (IR) 4.0, banyak pula masalah lain muncul yang tidak semuanya boleh diselesaikan dengan kecanggihan teknologi. Misalnya, amaran bahayanya tersilap langkah dengan keterhadapan Artificial Intelligence (AI) oleh mendiang saintis terkenal, Stephen Hawking yang mengisyaratkan kepentingan manusia untuk menitikberatkan etika, agama dan keberertian ilmu dengan lebih mendalam. Ilmu bukan hanya diaplikasi untuk tujuan material seperti kemajuan tetapi juga perkembangan intelektual yang memberi makna lebih mendalam terhadap spiritual.
Dengan kefahaman inilah, maka golongan sarjana perlu bersatu dari segi meraikan ilmu dalam bidang berbeza serta mendalami kepentingan kerjasama ilmu dalam kepelbagaian kepakaran.
Kerjasama bukan hanya dari segi penyelidikan tetapi juga dalam erti kata lebih luwes dalam segenap perspektif kepentingan dan keberhargaan ilmu selama ia boleh memanfaatkan masyarakat.
Tiada gunanya jika golongan sarjana sendiri hanya mengkritik tetapi tidak berbuat apa-apa. Tiada gunanya jika golongan intelek yang diperlukan ini tiada upaya menitik dakwat pen dan keringatnya sebagai usaha ‘memberi balik’ kepada masyarakat yang ‘menghidupkannya.’
DR. Siti Suriani Othman ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.










