SEPANJANG pandemik Covid-19 melanda negara, semua lapisan masyarakat terkesan dengan wabak ini, apatah lagi golongan wanita. Banyak perkara tergalas di bahu mereka sudah hampir setahun lamanya terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dahulu, iaitu 18 Mac tahun lepas. Semua itu terpaksa dipikul dalam jangka masa panjang kerana sehingga sekarang, negara masih dengan pelbagai jenis PKP yang tidak diketahui bila sudahnya.
Maka bagi golongan wanita yang sudah berkahwin, tugas mereka sepanjang wabak ini melanda seolah-olah mengalahkan ketua keluarga. Setiap hari mereka sering terbeban dengan pelbagai masalah dan ia bergantung pula pada jenis perintah kawalan. Sama ada PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dan sebagainya.
Ketika PKP pertama tahun lepas, memang ramai yang gelabah kerana kita sebenarnya tidak mempunyai pengalaman. Mungkin kerana ramai yang menganggap wabak ini boleh dikawal dalam jangka masa singkat, kesannya tidak begitu terasa.
Bagaimanapun, apabila pandemik ini terus berlangsung, diikuti pelbagai jenis kawalan pergerakan, sekolah lebih banyak ditutup di sesetengah negeri, ia menimbulkan pelbagai masalah kepada setiap isi keluarga yang mempunyai anak-anak masih bersekolah. Ternyata wanitalah yang menanggung beban sangat berat terutama dalam soal menjaga anak-anak di rumah. Ada yang terpaksa bercuti kerana anak-anak yang bercuti sekolah ini tidak ada yang hendak menjaga mereka memandangkan pusat jagaan kanak-kanak juga terpaksa ditutup.
CELIK, BUTA
Bagi yang bekerja dan kerjanya boleh dilakukan di rumah, mereka juga terpaksa mengagih-agihkan tugas pejabat dengan kerja anak-anak. Anak-anak yang belajar secara dalam talian perlu diambil perhatian dan dibantu. Tugas ini memang menjadi mudah jika seorang ibu itu ‘celik’ teknologi tetapi bagi yang ‘buta’ teknologi, semuanya menjadi lebih rumit.
Ini termasuklah mendepani kerenah anak-anak yang memang malas belajar, tidak berada semasa kelas dalam talian diadakan malah capaian internet yang lemah turut menjadi rungutan ramai.
Bagi mereka yang tinggal di kawasan-kawasan kampung yang memang lemah dalam penguasaan teknologi, bebannya terlalu berat dirasakan. Ini termasuklah menyediakan peralatan supaya anak-anak dapat belajar seperti rakan-rakan lain.
Ternyata tugas wanita sepanjang Covid-19 sangat rumit. Apabila anak-anak berada di rumah, memang ramai yang boleh membantu jika anak-anaknya perempuan tetapi jika kesemua anaknya lelaki atau lebih ramai lelaki, pelbagai kerenah lain terpaksa dihadapi. Dalam soal masak-memasak mungkin ada dalam kalangan anak-anak yang sudah boleh bergelar cef kerana sudah lama di rumah. Kalau yang jenis tidak pandai dan tidak tahu memasak, mahu tidak mahu, ibulah yang terpaksa menyediakan segala jenis makanan dari pagi sampai malam.
SUAMI
Itu belum lagi dicampur masalah anak-anak yang ‘buta’ PKP dan segala macam perintah kawalan pergerakan yang dikenakan. Ada anak-anak yang jenis memang suka berkawan atau hendak ‘beramai’, ibu bapalah yang memikul beban mengawal pergerakan anak-anak. Anak-anak yang ‘buta’ PKP dan segala jenis kawalan pergerakan ini memang sukar dipantau kerana sebelum ini mereka bebas berjumpa, berbincang, belajar bersama, ke hulu ke hilir bersama, bersembang dan sebagainya.
Tidak kurang pula wanita yang terpaksa membantu mencari rezeki kerana pendapatan suami terjejas akibat Covid-19. Ada pula suami yang diberhentikan kerja atau kerja menjadi tidak menentu kerana pandemik ini ternyata menghendaki orang lebih berada di rumah, bukan di luar.
Maka pelbagai ikhtiar dilakukan untuk membantu suami termasuk berniaga secara kecil-kecilan terutama makanan segera, buka tempahan menerusi WhatsApp dan sebagainya. Maka terpaksalah mereka bersaing dengan rakan-rakan dan mereka yang senasib untuk meneruskan kehidupan menyara keluarga.
Ternyata pandemik ini menjadi masalah jangka panjang bagi yang tidak berpendapatan tetap. Kita berharap golongan wanita tidak kira peringkat usia tabah menghadapi dugaan ini.
PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.










