Rasuah perlu dos vaksin - Utusan Malaysia

Rasuah perlu dos vaksin

New Zealand disenaraikan negara paling Islamik kerana nilai dan akhlak Islami yang diterjemahkan dalam kehidupan dari sudut ekonomi, undang-undang, tadbir urus, kemanusiaan, politik dan hubungan antarabangsa. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selain Covid-19, negara juga dilanda gelombang ‘pandemik’ rohani yang meruncing. Adakah gelombang ini menggambarkan penghayatan agama sedang tenat dan sejauh mana Islam memberi jalan penyelesaiannya? Dari aspek sejarah, rasuah, pengkhianatan dan penyalahgunaan kuasa terbukti menjadi virus yang memusnahkan banyak pemerintahan sepanjang tamadun manusia.

Kebelakangan ini, beberapa laporan tangkapan dan dakwaan menggambarkan betapa rasuah berlaku di pelbagai peringkat sama ada dalam talian, pejabat, sempadan atau jalanan. Hubungan ‘rapat’ antara projek dan kuasa politik bukan perkara asing terutama dalam kes rasuah berprofil tinggi. Warga asing tanpa dokumen dan barangan import dengan prosedur operasi standard (SOP) ‘karpet merah’ bolos sempadan negara. Di penempatan pendatang pula, ada pelawat yang mengutip ‘cukai’ ketika membuat rondaan berkala. Seolah-olah, ketelusan sudah menjadi spesies nadir yang sukar ditemui sekarang ini.

Rasuah bukan sekadar sogokan atau suapan, tetapi satu pengkhianatan dan penyalahgunaan. Amanah datang dengan kepercayaan, kuasa diberi kerana kemampuan. Mereka yang mengambil rasuah sebenarnya bukan sahaja mengambil hak orang lain tetapi menghilangkan dua ciri utama perlantikannya seperti yang disebutkan dalam al-Quran iaitu qawiy (mampu) dan amīn (dipercayai). Dalam al-Quran juga, rasuah ialah al-suht iaitu perolehan secara batil (al-Mā’idah; 42). Rasuah adalah pengkhianatan dan salah guna yang tidak boleh dimaafkan.

Lebih menyedihkan, pengkhianatan sebegini berlaku dalam kalangan mereka yang berprofil tinggi dan melibatkan orang Islam. Instrumen undang-undang rasuah dan agensi semata-mata tidak menjamin penghapusan rasuah seperti Filipina yang memiliki tujuh undang-undang dan 19 agensi penguat kuasa rasuah. Apakah rasuah di Malaysia telah dirasionalisasikan seperti Filipina sebagai tiada pilihan atau tidak melakukannya dianggap lurus bendul dan kurang bijak?

Rasuah atau korupsi dikategorikan sebagai syarakah (curi), ghazab (guna hak orang lain), ghulul (penyelewengan harta negara), khianah (pengkhianatan) dan harobah (perampasan harta orang). Dalam kitab Sahih Muslim berkaitan tahrim hadayat ul-ummali (haram pemberian kepada petugas), Nabi SAW menganggap sogokan sebagai ghulul (penyelewengan) yang disepakati sebagai haram oleh ulama sebagaimana yang dicatat dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah.

PIAWAIAN IMAN

Berat kesalahan rasuah dibayangkan dalam sebuah hadith, “Allah melaknat pemberi dan penerima rasuah” (hadis riwayat Imam Ahmad). Tidak berganjak kaki anak Adam kecuali setelah ditanya tentang hartanya bagaimana diperoleh dan dibelanjakan. Perolehan, pendapatan dan perbelanjaan akan dihisab. Rasulullah SAW dalam satu peristiwa membuat satu acid test perolehan mereka yang berjawatan, iaitu adakah mereka akan mendapatnya jika mereka tidak memegang jawatan tersebut? Jika Rasulullah SAW cukup berhati-hati dalam hal ini dan sekeras itu Islam melaknat rasuah, piawaian iman mana yang tinggal kepada perasuah? Pengkhianat sanggup kepalanya dipancung atau dihukum gantung jika mengambil risiko khianat semasa keagungan pemerintahan kerajaan Islam Uthmaniah.

New Zealand disenaraikan negara paling Islamik diikuti Sweden, Iceland, Belanda dan Switzerland bukan kerana masjidnya cantik, ramai orang Islam atau menekuni ritual Islam tetapi kerana nilai dan akhlak Islami yang diterjemahkan dalam kehidupan dari sudut ekonomi, undang-undang, tadbir urus, kemanusiaan, politik dan hubungan antarabangsa.

Psikologi perasuah berkadar songsang dengan tahap keimanan. Hakikat sebenar Islam terjelma dalam nilai, prinsip dan tingkah laku, bukan pada bangunan, bilangan umpama buih atau ritual agama. Fikrah Islami, celik syariat dan takwa merupakan nadi jiwa yang akan membuka jalan pembimbing berkesan.

Asas kukuh perubahan sikap dalam agama bertunjangkan kekuatan akidah yang bakal mendukung sistem nilai. Masalah yang kita hadapi bukan sahaja korupsi peribadi tetapi korupsi ilmu. Ilmu Islam bukan sekadar memahirkan diri dalam ibadah tetapi membenihkan kefahaman, keyakinan dan ketakwaan. “Sesungguhnya, orang yang paling mulia dalam kalangan kamu adalah orang yang paling bertakwa.” (al-Hujarat: 13).

Kenapa Allah mengiktiraf takwa sebagai ukuran kemuliaan seseorang dan bolehkah takwa dijadikan ‘vaksin pandemik’ rasuah? Menurut Hujjatul Islam Imam Ghazali, takwa bermaksud takut, gerun dan taat. Takwa itu suci hati membentengi cela dosa dan maksiat.

Sabda Nabi Muhammad SAW, “Taqwa itu di sini,” sambil menunjukkan pada dada baginda tiga kali (Hadith riwayat Muslim). Rasulullah juga nisbahkan kepada seketul darah yakni hati, jika baik maka baiklah seluruhnya. Dengan hati kita merasa, takwa kepada Allah yang menyelinap dari akal mendarat di hati. Dalam al-Quran, perkataan takwa yang disandarkan kepada Allah ittaqullah! anittaqullah! disertai jaminan, panduan, hidayah, jalan keluar (makhraja) yang tidak terjangkakan. Tiada ketakwaan atau nipis keimanan terhadap Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha

Mengetahui merupakan punca pelaku rasuah merasionalisasikan dan melakukan rasuah.

Kesimpulannya, takwa menghubungkan dimensi hubungan dengan Allah, dan perasuah terputus dimensi ini ketika memberi atau mengambil rasuah. Penghayatan ilmu dan iman mampu menterjemahkan takwa kepada penzahiran nilai dan akhlak yang tinggi. Manakala pembudayaan amar ma’ruf nahi munkar pula merupakan syarat sampai ke matlamat khairu ummah agar ramuan ini menjadi ‘vaksin’ yang mampu menghadapi pandemik rasuah.

PENULIS ialah Felow Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN