BILA melihat foto Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong berkenan mendayung sampan meredah banjir serta meranduk air meninjau mangsa banjir di Pekan, Pahang, Khamis 14 Januari lalu, saya menginsafi diri seketika.
Perasaan itu datang tiba-tiba, entah mengapa. Tetapi sebagai pengamal media yang sudah berkecimpung hampir tiga dekad dalam lapangan ini, saya terkesan dengan komen-komen kurang enak di media sosial terhadap pengisytiharan proklamasi Darurat, Selasa lepas.
Untuk orang politik berpolemik, bercakaran, mengatur strategi menambah ratusan, ribuan cawangan parti dalam tempoh lapan bulan darurat itu atau apa sahaja percaturan di kepala, itu soal peribadi masing-masing.
Tetapi bila mana sampai sanggup pula meminta semua ahli Parlimen mengutus warkah kepada baginda bagi membatalkan pengisyiharan darurat itu ketika kes jangkitan Covid-19 mencanak, saya sudah tak terkata apa. Ada sifatkan seruan itu sebagai satu provokasi, tidak kurang nada ‘cemekan.’ “Ah! Biar pihak berkuasa uruskan,” getus hati saya.
Sewajarnya ikutlah resmi buah manggis. Berapa barisnya di luar, sejumlah itulah isinya di dalam. Saya mengatakan, kalau ada individu atau pihak tertentu memperkecilkan raja di khalayak ramai, kita sebagai pendukung institusi raja sekurang-kurangnya boleh dan berhak tegak berdiri mempertahankan institusi ini.
Institusi raja bukan dimiliki oleh mana-mana parti politik. Ia adalah raja kepada seluruh rakyat. Kata-kata adat berbunyi:
Bendang diteroka,
Ruyung dibelah,
Raja bertakhta,
Rakyat menyembah.
Pendita Za’aba pernah menukilkan kata-kata hikmat ini:
Tiada raja,
Tiada takhta, tiada bangsa, hapuslah ia.
MERCU TERTINGGI
Pada masa ini, rakyat masih menghadap raja. Menghadap itu ertinya berdatang sembah. Sembah ialah segala apa yang digerak-geri dan dilafazkan di antara raja dengan warga atau rakyatnya mengikut peraturan yang adab. Rakyat berkata, raja bertitah. Bila bertitah, ia menjadi pegangan.
Braddel, satu-satunya penasihat undang-undang Inggeris menulis pada 1935, dengan menyatakan bahawa titah Raja Melayu itu adalah seperti undang-undang dan dipatuhi oleh rakyatnya. Dia dan Swettenham sependapat bahawa “a Malay is not quite a Malay if he does not adhere to the ways of the sultanate.”
Setiap rakyat terutama orang Melayu harus sedar bahawa Raja Melayu itu adalah mercu tertinggi yang hakiki bagi ketuanan Melayu yang padanya terletak hak-hak keistimewaan Melayu. Jika institusi ini diperkecil, hancurlah hak-hak utama Melayu itu.
Jika ditanya di mana letaknya kedaulatan Raja-Raja Melayu, jawabnya ialah pada sejarah – pada perjanjian-perjanjian yang termeterai semenjak 1874, semenjak Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan pada Perkara 181 bersekali dengan ceraian satu (1) dan ceraian (2) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 181 merupakan satu-satunya saki baki kedaulatan Raja Melayu yang masih unggul. Peruntukan ini adalah kesinambungan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, iaitu selepas rancangan muslihat Malayan Union MacMichael dipatahkan oleh Datuk Onn Jaafar dan UMNO 46.
Yang jelas, kuasa politik hari ini adalah mentadbir negara bagi pihak rakyat dan raja. Mereka bukan unsur kuasa sejati dengan sendirinya.
Raja itu adalah sebahagian daripada institusi legislatif, eksekutif dan segala pemerintahan adalah diperbuat atas dan bagi pihak raja.
Jika kekurangan ditampilkan, semua pihak ada kekurangan dan kelemahan, termasuklah yang terdapat pada pemegang kuasa politik. Jika institusi raja diperlecehkan termasuk dalam isu pengisytiharan darurat, orang politik jua mesti dipertanggungjawabkan.
RAJA BERJIWA RAKYAT
Dan memerhati Yang di-Pertuan Agong meredah banjir Khamis lalu, teringat saya akan kisah Almarhum ayahanda baginda, Sultan Haji Ahmad Shah Almarhum Sultan Abu Bakar.
Pada 2002, sejumlah 11,000 orang penduduk terutama dari daerah Kuantan, terpaksa dipindahkan ke pusat- pusat pemindahan banjir.
Almarhum sanggup meranduk air untuk membantu mangsa-mangsa terlibat. Pada satu ketika, Almarhum berada di kawasan banjir pada pukul 1 pagi dan menitahkan tukang masak istana menyediakan makanan untuk rakyat yang terperangkap dalam banjir.
“Saya fikir itu adalah menjadi tanggungjawab seorang sultan. Kita manusia biasa. Di Pahang, apa juga yang berlaku sama ada orang mati lemas, kebakaran atau kemalangan, kalau dimaklumkan kepada saya, saya akan beri bantuan. Saya diasuh oleh almarhum ayahanda saya supaya bersikap begitu. Satu asas telah dimulakan oleh almarhum ayahanda saya bahawa perhubungan antara rakyat dan raja hendaklah sentiasa ada.
“Sepanjang musim banjir, setiap malam saya melawat kawasan-kawasan banjir. Saya ke satu haluan, Tengku Mahkota anakanda saya (Al-Sultan Abdullah) ke satu haluan.
“Kami mahu menentukan semua rakyat yang terjejas mendapat bantuan,” demikian sedutan temu bual dua sahabat baik saya, Allahyarham Datuk Baharom Mahusin dan Samsor Junet dengan Almarhum di Istana Abu Bakar di bandar diraja, kira-kira 18 tahun lalu itu.
Ke mana tumpahnya kuah…










