SELAMA lebih 10 tahun, penduduk Johor khususnya di bahagian selatan negeri itu ‘berbangga’ kerana dapat menerima 45 saluran televisyen (TV) daripada tiga negara berbeza. Enam saluran Singapura dipancarkan dari Bukit Batok di republik tersebut serta 22 saluran lagi dari Indonesia melalui menara pemancar penyiaran di Sekupang, Pulau Batam. Tidak ketinggalan 17 saluran tempatan dari stesen telekomunikasi Gunung Pulai.
Namun kini, penduduk di empat negeri turut ‘bertuah’ apabila dilaporkan mampu menerima 45 saluran TV dari negara tetangga, Thailand. Ia susulan langkah Suruhanjaya Telekomunikasi dan Penyiaran Nasional (NBTC) meluluskan puluhan saluran digital terrestrial television (DTT) baharu di seluruh negara ‘gajah putih’ itu. Tindakan drastik tersebut juga ekoran pemansuhan format analog atau analogue switch off (ASO) sejajar usaha peralihan kepada DTT di kesemua 10 negara ASEAN.
TANGKAP
Di Malaysia, kira-kira 6.2 juta isi rumah daripada kumpulan B40 yang tidak mampu melanggan siaran berbayar satelit atau kabel meraih manfaat DTT melalui sistem dekoder MYTV.
Uniknya, ramai pengguna di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan teruja apabila platform DTT percuma itu yang juga dikenali MyFreeview pun dapat ‘tangkap’ banyak saluran Thailand. Menurut sumber industri, keadaan itu disebabkan liputan pemancar di selatan Thailand mampu ‘merentasi’ sempadan antarabangsa dalam radius 100 kilometer persegi. Isyarat yang dipancarkan dari Thailand itu begitu ‘kuat’ hingga utara Pulau Pinang, malah sampai Pulau Perhentian dan Pulau Redang di Terengganu.
Terdapat sembilan menara pemancar NBTC di wilayah selatan Thai berhampiran Malaysia iaitu Satun, Betong, Sungai Padi, Pattani, Narathiwat, Songkhla, Yala, Hatyai dan Na Thawi.
Situasi ini sudah pun membolehkan bukan sahaja siaran TV, bahkan beberapa radio FM dari Thailand dapat diikuti dengan jelas hingga Taiping, Perak.
Malaysia sudah pun melaksanakan sepenuhnya ASO sejak 1 November 2019, setelah lebih dua tahun MyFreeview dilancarkan.
Jenama ini tiada caj langganan dan sebahagian Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional bagi merapatkan jurang digital kelompok B40 yang tidak mampu menikmati siaran TV berbayar.
Inisiatif khas itu bermatlamat membolehkan 80 saluran televisyen dan 40 saluran radio tempatan dalam jangka masa panjang dipancarkan secara digital setanding standard global.










