Kita tidak banyak masa lagi... - Utusan Malaysia

Kita tidak banyak masa lagi…

KEADAAN lengang di Stesen Sentral Kuala Lumpur berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 4 Februari ini. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak 13 Januari lalu, kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri kemudian ditambah dan diluaskan kepada semua negeri kecuali Sarawak.

Cuma kali ini kerajaan tidak mengenakan peraturan PKP yang ketat seperti pertama kali pada 18 Mac tahun lalu. Ya, kita dibelenggu di rumah. Kita tidak boleh beriadah kecuali joging. Tetapi lebih ramai yang boleh bekerja berbanding yang pertama dahulu.  Jadi, apabila kita ke pusat beli-belah misalnya, masih banyak kedai yang dibuka meskipun jumlah pelanggan sangat berkurangan.

Ini selaras dengan kehendak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang tidak menggalakkan penutupan penuh (full lockdown). Maka kita kena cari pertimbangan yang sesuai dalam keadaan ini.

Bagaimanapun, jumlah kes baharu kita masih meningkat. 3,048, 3,585 dan 3,680. Ini adalah angka jangkitan Covid-19 harian berturut-turut. Sungguh tinggi. Walaupun terlalu awal untuk merumuskan kesan PKP, kemungkinan besar jumlah kes harian untuk minggu akan datang tidak akan kurang daripada angka-angka ini.

Dengan jumlah pesakit yang ada sekarang, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sudahpun mengatakan kemudahan perubatan telah penuh sarat (overloaded). Pelbagai cerita kita dengar. Pesakit terpaksa menunggu giliran terlalu lama untuk mendapat katil di hospital dan ambulans untuk membawa mereka ke hospital. Hospital Sungai Buloh yang dikhaskan untuk Covid-19 sudah pun penuh dengan pesakit.

Ekonomi kita pula makin teruk dan terjejas. Hotel dan tempat riadah lengang. Kebanyakan pusat beli-belah sepi dan kedai tidak berpelanggan. Makin ramai pula yang tidak bekerja selepas ini.
Kita pun boleh melihat sendiri begitu banyak yang berniaga di tepi jalan kerana pendapatan yang terjejas akibat Covid-19. Masjid-masjid pula hanya menerima jumlah jemaah yang minimum termasuk sembahyang Jumaat. Ini menyebabkan ramai yang sudah lama tidak boleh mengerjakan sembahyang Jumaat.

Pendidikan anak-anak kita pun turut terkesan dengan teruknya. Sekolah tidak dapat dibuka seperti biasa. Kelas terganggu. Ujian dan penilaian tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Yang tiada kemudahan internet pula terus terbantut. Sebenarnya sudah lama mereka tidak mendapat pendidikan yang sempurna.

Walaupun demikian, Alhamdulillah, rata-rata rakyat kita cekal. Meskipun politik kita bercelaru, tetapi nampaknya mereka masih tabah mengharungi musibah kesihatan dan ekonomi tidak menentu. Tetapi berapa lamakah lagi kita perlu mengharungi keadaan ini? Bolehkah kita berterusan sebegini sehingga Ogos? Atau hingga hujung tahun setelah vaksin diedarkan kepada orang ramai? Apakah akan jadi kalau PKP diperketatkan, ia masih juga mencatatkan peningkatan kes baharu?

KHUATIR

Saya sangat khuatir dengan keadaan ini. Saya percaya kalau ini berterusan, banyak lagi perniagaan akan ditutup. Jika ini berpanjangan, lebih ramai akan hilang pendapatan akibat dibuang kerja. Jika berterusan, kita akan melahirkan satu generasi anak-anak yang tidak mendapat pendidikan yang baik. Jika berlarutan juga, saya percaya gejala sosial, seperti kadar kecurian akan terus meningkat disebabkan himpitan hidup yang teruk.

Jadi, kena jelas keutamaan tentang masa hadapan. Kita mesti jelaskan apakah yang kita mahu dan apa yang kerajaan perlu lakukan. Yang sudah berlaku, kita terima takdir itu tetapi untuk ke hadapan, kita mahu kerajaan mengusahakan bersungguh-sungguh, berlipat kali ganda. Jangan terikut-ikut dengan keutamaan politik yang langsung tidak menguntungkan kita.

Kita kena jelas apakah penyelesaiannya. Kita mahu negara kita dibuka dengan segera dan Covid-19 dapat dibendung. Kita bebas bergerak dan bekerja. Kita bebas ke luar negara untuk berniaga dan menerima pelancong untuk menghidupkan sektor pelancongan. Kita mahu ekonomi pulih dan peluang pekerjaan meningkat, anak-anak kita dapat pergi ke sekolah tanpa risau akan dijangkiti Covid-19, dan kita sudah boleh sembahyang Jumaat serta berjemaah di masjid seperti biasa.

Kita mahu perkara-perkara yang disebutkan ini dengan segera. Kita kena ada sasarannya. Kita mahu negara kita dibuka pertengahan tahun ini. Tidak mahu lewat dari itu. Untuk mencapai ini, kita tiada pilihan kecuali divaksin dan Covid-19 dibendung dalam masa enam bulan.

SONGLAP

Kita tiada pilihan lain saudara-saudaraku. Hujahlah macam manapun, ini sahajalah penyelesaian yang ada untuk mencapai apa yang kita mahu.

Jadi untuk itu, kita menuntut kerajaan melipatgandakan usaha mendapat vaksin bagi sebahagian besar rakyat dalam enam bulan ini. Ini mesti menjadi keutamaan kerajaan. Maka berbelanjalah seberapa banyak sekalipun untuk menjamin bekalan vaksin. Kita setuju dan sokong.

Peningkatan perbelanjaan untuk ini yang mungkin mencapai hingga berbilion ringgit adalah jauh lebih kecil daripada kerugian beratus bilion ringgit jika kerajaan gagal membuka ekonomi negara. Walau apapun, ini tidak bermakna perbelanjaan berkenaan boleh disonglap untuk manfaat peribadi.

Kita juga mahu kerajaan pintaskan prosedur kelulusan vaksin tanpa kompromi risiko kesihatan sepertimana dilakukan di negara-negara Barat. Terangkan rancangan vaksinasi. Untuk membendung Covid-19, sekiranya prosedur operasi standard (SOP) perlu diperketatkan lagipun kita akan menyokongnya dengan syarat negara dapat dibuka pertengahan tahun ini.

Inilah yang kita tuntut daripada kerajaan. Kita mahu negara dan ekonomi dibuka pertengahan tahun ini. Kita akan sokong usaha ini tanpa mengira pegangan politik kita. Ayuh saudaraku, kita bersatu hati. Kita tidak banyak masa lagi sebelum ramai yang tersungkur.

PENULIS ialah peguambela dan peguamcara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN