Kenapa suka cari kontroversi? - Utusan Malaysia

Kenapa suka cari kontroversi?

Sebelum Covid-19, Thaipusam disambut meriah penganut agama Hindu di negara ini. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hujung minggu lalu, seorang sahabat (peguam muda di Kuala Lumpur) menghantar pesanan ringkas kepada saya: “Why is your MB so fond of controversy?” Saya kira apa yang dimaksudkan oleh sahabat saya itu adalah kenyataan Menteri Besar Kedah mengenai isu cuti Thaipusam di negeri berkenaan.

Pada 20 Januari lalu, dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor menyatakan tiada cuti peristiwa Thaipusam di negeri itu pada tahun ini disebabkan pandemik Covid-19.

Saya jawab soalan sahabat saya itu: “Perhaps that is his style of public speaking.”

Mengikut pengalaman saya selama lima dekad (sejak saya berkhidmat di Jabatan Peguam Negara pada 1970 dan kemudian menceburi amalan kepeguaman), figura awam terbahagi kepada dua golongan apabila mereka bercakap dengan rakyat biasa.

Golongan pertama, suka menjawab secara spontan, manakala golongan kedua, lebih suka diam dan berfikir dahulu sebelum memberi jawapan. Golongan pertama jarang berkata dia tak tahu, manakala golongan kedua biasanya berkata: “Saya tak tahu” atau “Saya tak pasti. Nanti saya fikir dulu.”

Risiko yang dihadapi golongan pertama adalah kata-katanya boleh disalah erti oleh orang yang mendengar. Salah erti ini pula boleh memberi peluang kepada pihak lain yang mungkin ada agendanya tertentu, untuk memanipulasi atau menyalah tafsir kata-kata tersebut.

Risiko yang dihadapi golongan kedua, mungkin dia dianggap sebagai ‘tak berapa cerdik’ atau slow. Jarang sekali golongan kedua dilihat sebagai orang yang tawaduk atau merendah diri.

Tindakan Muhammad Sanusi membatalkan cuti Thaipusam dikritik oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk R. Ramanan sebagai keangkuhan dan tidak menghormati agama serta tradisi agama lain.

Tambahnya lagi, Thaipusam merupakan perayaan penting kaum India dan pastinya mereka akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) sewaktu tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, juga tidak boleh menerima keputusan Muhammad Sanusi itu sambil menyifatkannya sebagai memperlihatkan kejahilan serta sikap berat sebelah terhadap kaum Hindu.

Dalam laporan media pada 23 Januari lalu, Setiausaha Agong Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor menggesa Muhammad Sanusi supaya membenarkan penganut Hindu menikmati cuti Thaipusam bagi mengekalkan keharmonian negara.

Saya kira ramai rakyat Kedah yang masih ingat peristiwa pada Disember lalu apabila Muhammad Sanusi dilaporkan mengeluarkan kata-kata yang diertikan sebagai menghina kaum India. Ketika menjawab tuduhan itu, beliau memaklumkan tidak berniat menghina kaum India di negeri ini. Apa yang dikatakan olehnya adalah bahasa kiasan.

SANDIWARA POLITIK

Jelasnya, bahasa bidalan bukan membawa maksud yang sebenar.

Mengikut sebuah portal berita pada 22 Januari lalu, Ketua Pergerakan Pemuda MIC Kedah, J. Jeevabalan menggesa Muhammad Sanusi mengkaji semula keputusannya membatalkan perayaan Thaipusam di Kedah.

Thaipusam merupakan cuti peristiwa bagi tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kedah. Pulau Pinang dan Selangor tidak membatalkan cuti Thaipusam, jadi kenapa Kedah mesti membatalkannya?

Tambah Jeevabalan, walaupun dalam pelaksanaan PKP, tidak bermakna Thaipusam tidak boleh diraikan di rumah bersama keluarga. Thaipusam bukan tertumpu kepada mengunjungi rakan-rakan mahupun ahli keluarga tetapi lebih kepada menunaikan sembahyang dan membayar nazar.

Portal sama juga memetik Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan sebagai berkata, “kami juga ingin meminta penjelasan Menteri Besar Kedah berhubung kenyataannya telah berjumpa tiga kumpulan masyarakat India mewakili penganut Hindu dan menjelaskan mengenai keputusannya. Adakah benar kenyataan tersebut atau semata-mata sandiwara politik?”

Sebuah pertubuhan buykan kerajaan (NGO) menafikan Muhammad Sanusi ada memberi penjelasan sedemikian. Menurut Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan India Daerah Kuala Muda, K. Maniam, perjumpaan tersebut langsung tidak menyentuh perkara itu.

Jelasnya lagi, dia serta Persatuan India Kedah, Persatuan Hindu Sangam Kedah dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kedah ada menghadiri perjumpaan itu. Bagaimanapun, perkara yang dibincangkan hanyalah isu-isu tentang peruntukan sebuah dewan di Sungai Petani, tanah pertanian untuk menternak itik dan lembu dan rumah ibadat Hindu di Kedah.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyatakan dalam posting Facebook, Thaipusam diisytiharkan sebagai cuti peristiwa di Kedah pada 2017. Katanya lagi, cuti Thaipusam tidak berlaku pada tahun-tahun sebelumnya.

Mengikut sebuah portal berita, Thaipusam dijadikan cuti peristiwa di Kedah sejak 2014. Cuti itu diisytiharkan oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dan menerima perkenan Sultan Kedah pada masa itu (Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah). Perisytiharan dibuat bagi memenuhi janji Pilihan Raya Umum 2013 yang dibuat oleh kerajaan BN selepas merampas kembali Kedah daripada Pas dan Pakatan Rakyat.

Selepas itu, Thaipusam terus menjadi cuti peristiwa di Kedah pada 2015, 2016, 2017, 2018 dan 2019.

Pada hemat saya, dua bidalan Melayu lama, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya, dan sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa wajar dijadikan panduan ketika berinteraksi dengan orang lain setiap hari.

Andainya ucapan kita sering mengundang kontroversi walaupun niat bukan begitu, tidak mustahil satu hari nanti kita hilang kredibiliti.

DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia..

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN