MUKADIMAH
NAMA pakar radiasi perubatan, PROFESOR DR. NG KWAN HOONG dari Universiti Malaya (UM) bukan asing di peringkat antarabangsa kerana telah memberi sumbangan besar bagi memperkenalkan kaedah pantas mengesan barah payu dara pada peringkat awal.
Dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM di Kuala Lumpur, baru-baru ini, Kwan Hoong yang menjadi salah seorang penerima Anugerah Merdeka 2020, mengakui wujud ‘ketakutan’ masyarakat terhadap radiasi yang berpunca daripada salah maklumat disebarkan ahli politik tertentu dan media sosial.
Ini terbukti apabila terdapat bantahan terhadap operasi kilang memproses unsur nadir bumi (REE) dari Australia, Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) di Pahang dan terbaharu, penentangan terhadap cadangan kerajaan Kedah untuk melombong logam yang mempunyai sifat konduktif elektrik tinggi itu.
Beliau menegaskan, kebimbangan rakyat itu boleh dikurangkan jika Lynas dan kerajaan Kedah mendedahkan fakta sebenar, Beliau turut mencadangkan dipasang lebih banyak panel penunjuk paras radiasi di tempat awam.
UTUSAN: Tahniah kerana diumumkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Merdeka 2020?
NG KWAN HOONG: Ya, terima kasih. Ini kerana sumbangan saya dalam bidang pendidikan sebagai pensyarah di UM dan perintis dalam memajukan bidang fizik perubatan dan perubatan menggunakan radiasi di Malaysia. Ia adalah anugerah terbaharu selepas menjadi saintis pertama dari negara membangun yang menerima Anugerah Marie Sklodowska-Curie pada 2018.
Anugerah yang dianjurkan oleh Pertubuhan Antarabangsa Fizik Perubatan (IOMP) adalah bagi mengiktiraf pelbagai sumbangan yang telah diberikan khusus kajian saya 10 tahun lepas bagi menambah baik kaedah pengimejan diagnostik menggunakan mamogram (sinar-X) bagi mengesan barah payu dara pada tahap awal supaya rawatan segera boleh diberikan.
Kaedah ini menggunakan algoritma komputer bagi mengira isi padu tisu secara automatik. Kalau ada banyak tisu, kebarangkalian untuk mendapat kanser adalah tinggi.
Teknik ramalan lebih baik ini yang telah digunakan banyak hospital seluruh dunia mempunyai ketepatan lebih 95 peratus berbanding kaedah sebelum ini adalah diagnosis secara visual setelah doktor melihat hasil imbasan daripada pelbagai peralatan seperti mamogram, CT-scan, ultrasonografi dan pengimejan resonans magnetik (MRI).
Kenapa wujud persepsi negatif rakyat terhadap radiasi?
Persepsi ini memang wujud dan isteri saya pun dulu risau saya terlibat dalam bidang ini. Dia juga bimbang akan keselamatan diri saya apabila memberitahu akan melawat kawasan berhampiran loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi yang rosak teruk selepas gempa bumi melanda Jepun pada 2011.
Saya ke sana pada 2013 dan secara rutin ke Fukushima setiap tahun selepas itu setelah diminta menjadi salah seorang perunding Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi mengkaji kesan kebocoran radiasi terhadap biologi dan psikologi penduduk.
Persepsi negatif ini timbul kerana orang tidak faham mengenai ciri-ciri radiasi. Saya telah menjelaskan bahawa kita mempunyai peralatan yang menunjukkan ada radiasi atau tidak bagi memastikan kita sentiasa selamat. Awak boleh lihat saya masih sihat walaupun berusia 66 tahun.
Ini juga ada kaitan dengan kes kilang Asian Rare Earth (ARE) Sdn. Bhd. di Bukit Merah, Perak yang menamatkan operasi pada 1992. Setahu saya, lokasi berkenaan adalah di bawah pemantauan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan kerajaan Perak. Pihak berkaitan telah membina kemudahan simpanan jangka panjang (LTSF) untuk menyimpan sisa mengandungi radiasi.
Kos untuk membina tempat penyimpanan yang boleh bertahan beribu-ribu tahun adalah mahal kerana sisa mengandungi radiasi perlu disimpan di tempat besar yang berbentuk seperti lombong dan mempunyai binaan konkrit, bukan ditempatkan dalam tong-tong bersifat sementara sahaja yang boleh bocor.
Selain penerangan, adakah kaedah lain yang boleh dicuba?
Berdasarkan pengalaman saya yang telah melawat Fukushima, di mana-mana pun ada panel penunjuk paras radiasi sama ada stesen kereta api dan bas, sekolah, tadika serta hospital bagi menyenangkan rakyat mengetahui tahap radiasi sama seperti maklumat cuaca dan suhu.
Di kawasan yang jauh termasuk Tokyo juga ada kemudahan sama. Ia adalah satu cara untuk mengurangkan persepsi negatif. Dalam kes Lynas, mereka perlu mewujudkan lebih banyak panel penunjuk paras radiasi dan juga menggunakan internet bagi berkomunikasi dengan rakyat termasuk menyebarkan maklumat mengenai tahap radiasi di sesuatu kawasan. Kalau rakyat mudah mendapat maklumat, orang akan lebih percaya dan senang hati. Ini menunjukkan Lynas bersikap telus dan bertanggungjawab.
Bagi saya, ini adalah tanggungjawab Lynas dan bukannya AELB. Sekarang saya lihat jarang ada (berkomunikasi). Lebih baik tiap-tiap bulan, syarikat buat ukuran dan mengesahkan tahap radiasi adalah selamat dan turut mendedahkan maklumat dalam laporan tahunan.
Kalau selamat, tidak perlu takut, jadi kenapa hendak sorok maklumat? Kalau kurang maklumat, persepsi negatif rakyat akan kian bertambah kerana radiasi tidak boleh nampak dan kesannya bukan serta-merta.
Kenapa tidak terima tawaran gaji lebih lumayan di luar negara dan apakah prinsip yang selalu dipegang?
Saya sukakan suasana di Malaysia. Saya juga menganggap ini adalah perjuangan selama 30 tahun. Ketika mula-mula pulang ke tanah air dan memulakan tugas, bidang radiasi perubatan yang disertai ini adalah baharu di negara kita dan saya perlu menjadi perintis dalam bidang ini.
Kita mesti mempunyai impian dan mengikut gerak hati dalam memilih bidang yang mahu diceburi. Sungguhpun perjalanan tidak lancar dan ada halangan, kita boleh berjaya jika bekerja kuat.
MUSTAHIL RISIKO SIFAR
Bagaimana untuk memastikan rakyat tidak bimbang?
Pihak berkenaan dengan sokongan ahli sains perlu memainkan peranan untuk memberikan penerangan berasaskan fakta. Saya sendiri terlibat dalam memberi penerangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) yang ditubuhkan Parlimen pada 2012.
Antara syor saya adalah mewujudkan kaedah komunikasi efektif secara dua hala melibatkan pelbagai peringkat umur supaya orang awam faham apakah itu radiasi dan boleh memahami kaedah pengukuran seperti becquerel (Bq) dan sievert (Sv).
Kita jangan takut dengan radiasi tetapi kita mesti menggunakannya dengan bijaksana.
Kita hendak mendapatkan manfaat daripada kegunaan radiasi tetapi pada masa sama hendak memastikan risikonya adalah serendah-rendahnya tetapi mustahil akan mencapai risiko sifar. Perlu diingat, undang-undang Malaysia memang bagus kerana kita mengikut standard antarabangsa dan ia boleh mengawal keselamatan supaya tidak berlaku yang buruk.
Kita juga mempunyai AELB yang melakukan kawalan dan mengeluarkan lesen. Dalam isu Lynas, cadangan pihak antarabangsa ialah mereka membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) dan membuat pemantauan yang betul-betul.
Berhubung kes untuk meneroka dan mengekstrak REE di Kedah. Kita perlu tahu REE adalah selamat, cuma terdapat radiasi pada tahap rendah pada sisa yang terhasil selepas itu.
Pihak berkenaan, mesti membuat laporan penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) terlebih dahulu bagi menjaga alam sekeliling kita supaya terus kekal terpelihara untuk generasi akan datang. Perlu juga kajian mengenai impak sosial kepada penduduk dan dapatkan pandangan orang ramai dan pihak berkaitan melalui sesi perundingan dan pendengaran awam.










