Jangan sampai anak kita tercicir - Utusan Malaysia

Jangan sampai anak kita tercicir

Pasangan guru, Zulhazmi Awang Kechik dan Nur Adilah Yusof membuat rakaman video bagi melengkapi modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) manakala tiga anak mereka mengikuti kelas dalam talian di Kuala Nerang, Kedah, kelmarin. – Utusan/Shahir Noordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun kita baru sahaja memulakan sesi persekolahan tahun ini, sudah mula kedengaran pelbagai isu berkaitan pembelajaran melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Serangan pandemik Covid-19 yang dilihat semakin membimbangkan menyebabkan Kementerian Pendidikan hanya membenarkan calon yang bakal menduduki peperiksaan awam 2020 hadir ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka, manakala majoriti murid lain terpaksa meneruskan sesi pembelajaran dari rumah.

Jujurnya, kita perlu akui kaedah PdPR mula mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. Pelbagai laporan, komen, rintihan dan rungutan tentang pelaksanaan PdPR oleh ibu bapa baik di media cetak mahupun platform digital memberi gambaran menyeluruh tentang kegusaran mereka. Ironinya, PdPR memberikan cabaran besar kepada semua pihak terlibat iaitu ibu bapa, murid dan guru.

Antara cabaran paling nyata kepada murid ialah masalah capaian internet yang lemah atau tiada di sesuatu kawasan serta kekangan menggunakan gajet bersesuaian. Sedih bila kita membaca beberapa laporan, ada murid menumpang WiFi di kedai makan, belajar dalam khemah beramai-ramai kerana tiada kemudahan internet serta adik-beradik terpaksa berkongsi telefon pintar atau komputer riba. Walaupun PdPR boleh dilaksanakan secara luar talian (offline), namun isu capaian internet yang lemah dan ketiadaan peranti bersesuaian tetap menjadi halangan besar dan boleh menyumbang kepada keciciran pelajaran.

Harus diingat, dalam hal ini kita belum lagi membincangkan soal kediaman tidak kondusif, murid cepat bosan belajar dalam talian, soal siapa pula memantau murid di rumah tatkala ibu bapa sudah mula bekerja seperti biasa. Akhirnya, sudah tentu motivasi anak-anak yang mengikuti PdPR akan menjadi sangat rendah seterusnya menjejaskan pembelajaran mereka.

TERTEKAN

Dalam konteks ini, sudah tentu golongan ibu bapa terutama dalam kalangan kurang berkemampuan rasa cukup bimbang dan tertekan. Rata-rata semua bimbang tentang pelajaran anak-anak yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan halangan untuk mengikuti sesi PdPR. Golongan ibu bapa berpendapatan rendah dan sederhana dengan jumlah anak yang ramai dilihat cukup tertekan kerana tidak dapat menyediakan keperluan seperti data internet dan peranti diperlukan oleh anak-anak. Harus diingat, golongan ini hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, jadi agak sukar untuk menyediakan kemudahan tersebut kerana kos sara hidup mereka semakin meningkat. Jujurnya, golongan ini bergelut untuk menampung kos data internet serta pembelian peranti yang diperlukan.

Bagi guru pula, walaupun berusaha keras dengan pelbagai kaedah pengajaran yang kreatif dan berinovasi, namun masalah capaian internet serta ketiadaan peranti dalam kalangan anak murid menjejaskan segala kerja keras mereka. Jadi secara prinsipnya, kemudahan capaian internet dan keperluan peranti bersesuaian menjadi halangan besar dalam kita melaksanakan sesi PdPR.

Justeru, kita memohon Kementerian Pendidikan segera meneliti secara serius segala rungutan murid, ibu bapa dan guru berkaitan pelaksanaan PdPR. Kita akui kementerian juga agak pening untuk tampil dengan satu kaedah atau formula yang sesuai, praktikal dan berkesan kepada semua murid. Malah percayalah, tidak ada satu kaedah yang boleh memuaskan hati semua orang. Namun, itu tidak boleh menjadi kekangan untuk kita menambah baik sistem pembelajaran sedia ada. Jadi, sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan membuka lebih banyak pilihan kepada anak-anak dan guru dalam melaksanakan PdPR. Misalnya, cadangan beberapa pihak agar memperkasakan pembelajaran melalui saluran televisyen (TV) wajar diteliti secara objektif dan rasional. Kaedah ini mungkin boleh menjadi alternatif yang praktikal kerana hampir setiap rumah ada kemudahan TV.

PKP

Pada masa sama, sebagai penyelesaian jangka panjang, kita berharap kerajaan akan terus menyediakan peruntukan mencukupi untuk menambah baik kemudahan capaian internet di seluruh pelosok negara. Kemudahan internet sudah menjadi keperluan asas pada zaman sekarang terutama sesi pembelajaran. Jadi, kita tidak mahu ada lagi anak-anak yang tercicir pelajaran kerana tiada akses internet mahupun peranti bersesuaian.

Secara prinsipnya, kita tidak menentang pelaksanaan PdPR kerana wabak ini menghalang pembelajaran secara bersemuka dan kita juga tersepit antara krisis kesihatan dan masa depan pelajaran anak-anak. Namun, kita juga perlu akui PdPR ada kelemahan yang perlu ditangani segera. Hal ini penting kerana trend turun naik kes Covid-19 semakin membimbangkan dan kita tidak tahu bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh ditamatkan, sekali gus anak-anak boleh kembali ke sekolah secara fizikal seperti biasa. Jadi, kita khuatir jika PKP dilanjutkan lagi, ada anak-anak yang terus tercicir pelajaran mereka dek pelbagai kekangan dalam mengikuti PdPR. Apa pun, kita berharap ibu bapa dan guru akan terus tabah dan bersemangat dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing demi masa depan anak-anak sementara kita menunggu berita gembira daripada Kementerian Pendidikan.

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN