Islam, liberalisasi dan Rukun Negara - Utusan Malaysia

Islam, liberalisasi dan Rukun Negara

GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini, ada beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) terutama yang dulu-dulu pakai uniform UMNO tetapi kini sudah jadi lain. Ada juga yang masih pakai lencana UMNO bertempik merata-rata menuduh Pakatan Harapan (PH) adalah terlalu liberal dan bakal menghancurkan Islam di Malaysia. Dalam tulisan ini, saya ingin menjawab mereka ini dengan menurunkan dokumentasi Rukun Negara dan analisis terhadap suatu ucapan yang diberikan oleh salah seorang pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan cendekiawan tersohor, Profesor Dr. Siddiq Fadzil.

Pertama sekali, mari kita sama-sama merenung ungkapan dokumentasi Rukun Negara:
Bahawasanya negara kita, Malaysia mendukung cita-cita hendak:
Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;
Memelihara cara hidup demokratik;
Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;
Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak;
Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Maka kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
Kepercayaan kepada Tuhan.
Kesetiaan kepada raja dan negara.
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan undang-undang.
Kesopanan dan kesusilaan.

Jelas dalam kata-kata pendahuluan bahawa Malaysia diasaskan daripada pemikiran liberal dalam menginterpretasi kepelbagaian budaya di negara kita ini. Kebudayaan sesuatu kaum di negara ini berasaskan daripada nilai-nilai agama, karakter sejarah dan adat turun temurun. Pemikiran liberal di sini saya tafsirkan sebagai suatu keluasan, kelapangan dan pemikiran kritis untuk mentafsirkan kehidupan moden berasaskan nilai agama yang terperangkap dalam konteks zaman, politik serta demografi sesebuah kawasan ketika zaman dahulu. Kita tidak boleh ambil hukum-hakam bulat-bulat daripada kitab yang ditulis oleh seorang daripada suatu kaum yang hidup 800 tahun dahulu di sebuah negara yang komunitinya berbeza serta sistem pendidikan, ekonomi, politik dan sains tidak ada kesamaan langsung dengan era kini di Malaysia.

Sekarang, setelah saya menggunakan aspek antropologi, sains sosial dan sains tulen dalam menafsirkan keperluan pemikiran liberal dalam konsep negara kita, saya berubah kepada aspek liberal dalam agama Islam itu sendiri.

BERDIALOG

Saya ajak pembaca meneliti syarahan Profesor Datuk Dr. Siddiq Fadzil bertajuk Hidup Bersama dalam Kepelbagaian: Islam dan Budaya Damai yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor sejurus selepas kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 dan selepas beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah.

Siddiq memberi takrifan ‘berdialog’ yang amat mengagumkan saya. Beliau mengungkap bahawa berdialog haruslah mempunyai kelapangan untuk menerima pandangan orang yang amat beza sekali dengan kita. Kita selalu beranggapan berdialog itu sebagai menyuruh atau memerintah kaum lain mengikut sahaja kehendak kita kerana kononnya kita ini Islam dan betul-betul belaka.

Ternyata sifat rendah diri tokoh ini menjelaskan apa sebenarnya kesediaan berdialog dengan erti makna yang lebih menyeluruh dan adil.

Menerusi dialog yang intensif dan ekstensif, semua pihak dapat saling memahami dan seterusnya saling menghormati. Dialog yang sihat dan produktif hanya mungkin terlaksana jika didasari kesediaan menerima orang lain, dan bukan hanya orang lain, tetapi orang lain yang berbeza…Dialog dalam masyarakat berbeza kaum, agama dan budaya akan mempertemukan pelbagai sudut pandangan dan seterusnya menghasilkan rumusan yang mantap untuk menangani masalah bersama.’

Saya nak tanya, adakah ini sikap liberal Islam yang dianggap negatif?

Antara nilai unggul yang harus sentiasa dijunjung tinggi ialah nilai kemuliaan insan. Manusia adalah makhluk mulia, terlepas daripada persoalan bangsa, agama dan budayanya. Kemuliaan insan adalah kurnia Tuhan yang bererti Tuhan sendiri yang memuliakan manusia dan kerana itu tidak siapa pun yang berhak menghina manusia dengan cara apa pun. Sebagai makhluk mulia, maruahnya harus dilindungi dan kebebasannya harus dijamin. Manusia tidak boleh diaibkan dan tidak boleh dibelenggu atau dipenjara tanpa dasar undang-undang yang adil.

MUFTI

Tidak lama dahulu rakyat Malaysia dikejutkan dengan ungkapan kasar seorang Mufti Pahang yang menyifatkan rakyat Malaysia yang menentang Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 sebagai golongan kafir harbi.

Sejurus demikian, suatu forum ilmu diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang cuba menguraikan pendapat bagaimana rakyat Malaysia boleh diibunuh dalam keadaan kafir harbi.

Sefaham saya, hanya Dr. Maszlee Malik sebagai salah seorang ahli panel yang menentang sekeras-kerasnya konsep kafir harbi pada konsep kewarganegaraan Malaysia. Siddiq juga tidak bersetuju dengan penggunaan istilah yang mengejikan itu seperti berikut:

Merajut damai dalam kepelbagaian memang memerlukan tahap toleransi yang tinggi. Untuk itu istilah-istilah tertentu dalam sejarah politik silam yang kini sudah tidak relevan dan tidak dapat diterima, seperti istilah kafir harbiy dan kafir dhimmiy seharusnya digantikan dengan istilah lain yang dapat diterima dan lebih menepati realiti hari ini. Sesuai dengan semangat kebersamaan istilah yang realistik ialah al-muwatnun atau warganegara, istilah yang inklusif dan meliputi semua – Muslim dan bukan Muslim.

Jelas, pandangan ini bersetuju dengan ulama Indonesia yang menghalang umat Islam menggunakan ungkapan kafir. Pandangan Siddiq ini jelas bertentangan dengan dua orang mufti di Pahang dan Perak. Soalannya, adakah pandangan Siddiq ini pandangan liberal Islam yang bakal merosakkan ugama?

PERKONGSIAN KUASA

Dalam sejarah pemikiran politik Islam, perkongsian kuasa Muslim-bukan Muslim telah diwacanakan dan dilaksanakan. Al-Mawardiy misalnya, membolehkan orang dhimmiy menjadi wazir al-tunfidh (menteri pelaksana). Dari segi praktiknya pula, Dr. Hamid Abdu Llah Rabi dalam ulasannya terhadap manuskrip Suluk al-Malik fi Tadbir al-Mamalik oleh Shahab al-Din Ahmad ibn Muhammad ibn Abi al-Rabi yang ditulis untuk Khalifah al-M’tasim bi ‘Llah al-’Abbasiy, menyebut bahawa zaman pemerintahan al-Ma’mun dicirikan oleh tahap toleransi yang luar biasa sehingga jawatan perdana menterinya disandang oleh seorang Katolik iaitu Fadl Ibn Marwan (Rabi’ Hamid ‘Abdu ‘Llah, 1983:240-241)’

Nah, apa nak kata lagi? Sejarah Islam mengikut Siddiq melanggar ‘sunnah’ Melayu yang mengatakan hanya orang Islam atau Melayu yang boleh jadi menteri, guru besar, ketua jabatan, naib canselor dan segala kepimpinan kerajaan di Malaysia.

Di akhir ucapan, Siddiq menggariskan pelita konsep hidup berdamai dalam kepelbagaian negara dan dunia dengan mengatakan umat Islam perlu menjalinkan hubungan kasih sayang, kasih mesra dan kasih kepercayaan antara kaum dengan konsep persaudaraan seagama, persaudaraan senegara dan persaudaraan semanusia.

Sikap menghargai perbezaan dan kepelbagaian harus dipupuk berasaskan kefahaman terhadap sunnah penciptaan dan hikmah di sebalik ayat-ayat Tuhan. Sementara itu, nilai persaudaraan perlu difahami dan diamalkan dalam erti yang luas, tidak terbatas hanya dalam lingkaran persaudaraan seagama (ukhuwwah dinniyah), tetapi meliputi persaudaraan setanah air (ukhuwwah wataniyyah) dan seterusnya persaudaraan kemanusiaan (ukhuwwah insaniyyah).

Maka itu, mengikut kepimpinan PN, orang liberal tak ada tempat dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Rukun Negara kita jelas menegakkan prinsip liberal bagi keharmonian kehidupan dan dignity atau kemuliaan setiap insan.

Siddiq pula jelas menunjukkan betapa lapang dan luasnya toleransi dan kecendekiawanan Islam lebih daripada sesetengah pemikiran pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Melayu. Jelas, pembebasan daripada ortodoksi serta dogma agama dan politik sempit adalah tonggak liberalisasi perlembagaan dan asas kewarganegaraan Malaysia.

PROFESOR Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi ialah ahli akademik seni bina dan penganalisis kritis media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN