Industri kreatif merupakan salah satu sumber penting dalam pertumbuhan ekonomi dan percambahan budaya bagi negara-negara maju yang holistik, futuris dan bertaraf antarabangsa.
Malaysia juga tidak terkecuali perlu menyedari rakyatnya mampu menjadikan industri kreatif sebagai sumber pekerjaan dan pendapatan negara walaupun pada 2020, ramai penggiat seni kreatif terjejas dan berhadapan masalah akibat pandemik Covid-19.
Industri kreatif perlu menunjukkan perkembangan memberangsangkan dan memainkan peranan utama bagi meningkatkan ruang dan peluang kepada kelompok masyarakat yang berbakat terutama generasi muda dan pelajar untuk berkarya sama ada dalam aspek multimedia, seni budaya atau warisan budaya kreatif.
Usaha memperkasakan bakat-bakat muda ini secara tidak langsung membantu Malaysia apabila berjaya menangani dan bebas daripada pandemik Covid-19 untuk meningkatkan produk-produk yang mampu memberi pulangan pendapatan lebih tinggi pada masa depan melalui produktiviti bakat dalam melahirkan karyawan kreatif negara ke pasaran antarabangsa.
Hasil penelitian industri kreatif di negara-negara maju seperti United Kingdom (UK), Singapura, Korea Selatan, New Zealand, Australia dan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), industri kreatif dalam konteks Malaysia memerlukan penggemblengan dan penghasilan kebolehan dan bakat individu atau berkumpulan berasaskan kreativiti, inovasi dan teknologi.
KDNK
Dengan kata lain, industri kreatif merujuk kepada seni kreatif untuk ekonomi melibatkan individu berbakat, korporat seterusnya memberi implikasi kepada negara dari segi pendapatan dan imej melibatkan beberapa kategori seperti industri kreatif multimedia. Industri ini mengaplikasikan kemajuan teknologi terkini dalam menghasilkan produk-produk kreatif termasuk penerbitan filem dan televisyen, pengiklanan, seni reka, animasi dan kandungan digital.
Perkembangan ini meletakkan industri kreatif mampu berdaya saing dan dinamik untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan mampu menyediakan satu pelan hala tuju pembangunan industri kreatif komprehensif yang dapat meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seterusnya menyumbang kepada ekonomi berpendapatan tinggi.
Selain menyasar pembangunan teknologi sebagai pemangkin, industri kreatif berupaya mencambah sumber maklumat dan mengetengahkan perlambangan budaya tempatan serta identiti kebangsaan ke peringkat global.
Hasil percambahan itu, hari ini perkembangan semasa ekonomi global menunjukkan industri kreatif adalah salah satu sumber penting pertumbuhan ekonomi dan percambahan budaya di negara-negara maju. Contohnya, industri ini menyumbang sebanyak USD$3 trilion kepada KDNK Amerika Syarikat (AS) (KPKK, 2008) dan £112.5 billion kepada ekonomi United Kingdom (DCMS Creative Industries Mapping Document, 2001). Industri kreatif juga mewujudkan peluang pekerjaan yang luas, berdasarkan statistik guna tenaga di negara-negara maju seperti UK 4.5 peratus, Hong Kong (5.3), AS (5.9), Taiwan (3.6), Australia (3.8) dan Singapura (3.4) (Baseline Study on Hong Kong Creative Industries, 2003).
MSC MALAYSIA
Di Malaysia pula, Kajian Asas Industri Kreatif oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada 2008 menunjukkan industri kreatif menyumbang sebanyak 5.8 peratus kepada KDNK, mewakili 1.0 peratus daripada eksport negara dan 7.5 peratus peluang pekerjaan di seluruh negara. Peluang pekerjaan dalam industri kreatif mendaftarkan pertumbuhan sebanyak 10.7 peratus, lebih tiga kali pertumbuhan penggajian kebangsaan iaitu 3.3 peratus. Kajian ini turut mendedahkan, industri kreatif menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 11.1 peratus, melampaui kadar pertumbuhan negara, 6.6 peratus.
Dari perspektif ekonomi dan sosiobudaya pula, industri kreatif sehingga 31 Mac 2019 menyumbang sebanyak RM7.69 bilion kepada KDNK. Penjanaan ekonomi itu melibatkan 345 syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster kandungan kreatif dan teknologi daripada jumlah keseluruhan 2,986 yang aktif.
Pada 2018, syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster ini mencatatkan nilai jualan RM7.69 bilion dengan nilai eksport RM1.4 bilion dan menyediakan 11,471 peluang pekerjaan. Walaupun baru muncul, bidang ini berpotensi besar menjana pendapatan tinggi dan menjadikan ekonomi negara lebih dinamik.
Justeru, amat penting industri ini dibangunkan secara bersepadu dan komprehensif. Menyedari kepentingan industri ini, usaha memperkasakannya melibatkan hala tuju dan pembangunan diharapkan dapat menjurus dan memacu segala kegiatan kreatif secara lebih produktif dan ekonomik melalui sinergi sektor awam dan swasta termasuk di institusi pengajian tinggi.
FORMAL
Negara-negara maju turut mengakui latihan dan galakan seni kreatif sama ada secara formal mahupun galakan lain dalam kalangan masyarakat adalah penting dalam pembinaan negara.
Pencapaian, kualiti dan kemudahan industri kreatif sering dikaitkan dengan taraf hidup dan turut dijadikan antara kayu ukur antarabangsa dalam penentuan tahap kemajuan sesebuah negara yang mengkehendaki belia dan pelajar dalam bidang seni kreatif mampu memberi sumbangan dalam industri kreatif yang merupakan sektor sedang berkembang maju di Malaysia.
TAN Sri Profesor Emeritus Dr. Lim Kok Wing ialah Presiden Universiti Lim Kok Wing.










