MUKADIMAH
TINDAKAN tegas termasuk membeku, menyita atau melucutkan hak harta yang diperoleh daripada aktiviti penipuan Macau Scam, perjudian dan penyeludupan serta pengedaran dadah akan dilakukan secara lebih agresif dalam membendung perlakuan sindiket jenayah terancang tersebut.
Penegasan itu disuarakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman dengan kemampuan dan kuasa penguatkuasaan sedia ada. Antaranya menerusi peruntukan-peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Buktinya, dalam tempoh dua tahun sejak 2019 sehingga November lalu, sebanyak 301 kertas siasatan dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana hampir RM1.8 bilion harta disita dan dibekukan. Lebih mengejutkan, sebahagian besar penyitaan dan pembekuan berkenaan melibatkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MASZUREEN HADZMAN, Pengarah JSJK Bukit Aman, DATUK ZAINUDDIN YAACOB mengulas lanjut berhubung keberkesanan AMLATFPUAA 2001 di negara ini.
UTUSAN: Apakah tindakan di bawah AMLATFPUAAA 2001?
ZAINUDDIN: Akta ini mula dikuatkuasakan pada 15 Januari 2002 yang memperuntukkan kesalahan pengubahan wang haram, langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencegah selain mengadakan peruntukan bagi pelucuthakan harta yang terlibat.
Secara umumnya, akta ini dilihat sebagai alat untuk agensi penguat kuasa menghalang penjenayah-penjenayah menikmati hasil haram diperoleh selain mampu menghapuskan motivasi seseorang untuk melakukan sesuatu jenayah.
Jabatan mana melaksanakan akta ini?
Berkuat kuasa 12 Disember 2004, Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (BSJPWH ) yang bernaung di bawah JSJK. Kemudian pada Mac 2008, BSJPWH diletakkan di bawah Jabatan Pasukan Petugas Khas Operasi dan Counter Terrorism yang mana langkah ini diambil bertujuan memberi pengkhususan bagi menangani dan mencegah jenayah pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.
Namun, pada 16 Februari 2014, pasukan ini dibubarkan dan diserapkan semula di bawah JSJK bagi memenuhi kehendak Financial Action Task Force (FATF) sebelum pada Jun 2016, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan BSJPWH diletakkan di bawah Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) dan dipindah butiran kepada Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia KPN.
Bagaimanapun, pada 1 April 2020, Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia KPN diletakkan semula di bawah JSJK dan dinamakan sebagai Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram.
Apa fungsi BSJPWH?
Tiga fungsi teras yang dipegang BSJPWH, JSJK Bukit Aman iaitu pertama, melaksanakan siasatan berkualiti ke atas kes-kes kesalahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan yang mana akta tersebut mengandungi 425 seksyen kesalahan berat daripada 51 peruntukan undang-undang.
Kedua, menguatkuasakan tindakan pembekuan, penyitaan, seterusnya pelucuthakan harta yang merupakan hal atau perkara dalam sesuatu siasatan di bawah AMLATFPUAA 2001 yang mana harta tersebut diperoleh hasil daripada akitiviti haram.
Seterusnya ketiga, melaksanakan program pematuhan bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan dalam sistem pentadbiran pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan di mata dunia selain melakukan risikan kewangan, analisis, pengesanan aset dan bantuan siasatan kewangan bagi kes-kes seperti arahan pucuk pimpinan.
Kekuatan pegawai dan anggota BSJPWH?
Kita kini mempunyai 107 pegawai dan anggota. Mereka terdiri daripada 46 pegawai kanan, 59 pegawai rendah dan dua pegawai awam.
Adakah JSJK sahaja yang akan membuka kertas siasatan di bawah AMLATFPUAA 2021?
Tidak. Dua lagi jabatan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) juga boleh membuka siasatan di bawah akta ini. Bagaimanapun, tahun lalu sehingga November, JSJK adalah penyumbang utama dalam pembukaan kertas siasatan apabila sebanyak 222 kes disiasat di bawah akta ini, diikuti JSJ (73) dan JSJN (1).
Fokus kes siasatan JSJK?
Pada tahun ini, fokus banyak diberikan kepada kes-kes berskala besar seperti serbuan calling centre, kes-kes jenayah terancang (SOSMA), Op Khazanah, judi dalam talian dan lain-lain kes yang menarik perhatian. Selain itu, BSJPWH turut membantu agensi lain dalam menjalankan siasatan.
Dalam pada itu, kita juga membuka sebanyak 301 kertas siasatan dalam tempoh sama.
Apakah tindakan BSJPWH terhadap mereka?
Pembekuan harta adalah tindakan yang diambil oleh pegawai penyiasat di bawah peruntukan Seksyen 44 AMLATFPUAA 2001 apabila sesuatu harta itu disyaki merupakan hasil aktiviti haram.
Tindakan pembekuan ini bertujuan menghalang penjenayah daripada melakukan apa-apa transaksi terhadap harta tersebut. Tempoh pembekuan ini berkuat kuasa selama 90 hari dari tarikh perintah pembekuan dikeluarkan.
Jumlah pembekuan oleh BSJPWH bagi 2019 sehingga November tahun lalu ialah RM463.9 juta. Daripada jumlah itu, sebanyak RM378.2 juta melibatkan akaun bank diikuti kenderaan (RM14.9 juta) dan hartanah (RM100.7 juta).
Bila proses penyitaan harta dilakukan?
Selain pembekuan, kita juga boleh lakukan penyitaan harta dan tindakan itu diambil di bawah Seksyen 45, 50 dan 51 AMLATFPUAA 2001 mengikut jenis harta.
Ingin ditekankan di sini, kuasa menyita adalah tertakluk kepada timbalan pendakwa raya dan pegawai penyiasat kanan yang mana penyitaan bermula setelah tempoh pembekuan tamat.
Tempoh penyitaan berkuat kuasa selama 12 bulan dari tarikh perintah penyitaan dan tindakan ini adalah mengambil alih, merampas dan mengawal harta berkaitan.
Dalam tempoh ini, harta berkenaan adalah di bawah kawalan dan disimpan oleh agensi penguat kuasa. Jumlah nilai penyitaan yang telah dilakukan oleh BSJPWH bagi 2019 dan sehingga November tahun lalu adalah RM1.35 bilion.
Apa lagi tindakan BSJPWH?
Proses seterusnya adalah pendakwaan, pelucuthakan harta dan pelepasan harta sebaik siasatan selesai.
Proses dan tindakan ini adalah menerusi proses perbicaraan di mahkamah. Jadi, mana-mana individu atau penjenayah atas kesalahan pengubahan wang haram akan dilucuthakkan harta yang mereka peroleh hasil aktiviti haram itu kepada kerajaan atau pelepasan semula kepada pihak ketiga.
Sehingga November tahun lalu, sebanyak 10 kes pengubahan wang haram berjaya didakwa di mahkamah dan kesemua pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001.
Kesalahan di bawah seksyen tersebut melibatkan mana-mana orang yang memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar, membawa, melupuskan atau menggunakan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan.
Kesemua kes tersebut masih lagi di peringkat perbicaraan dan jika disabitkan kesalahan, hukuman yang boleh dikenakan adalah penjara selama tempoh tidak melebihi (15) tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta.
Dalam pada itu, sejak 2019 sehingga November tahun lalu, sebanyak 27 kertas siasatan didaftarkan untuk tindakan pelucuthakan harta dan sebahagiannya hasil daripada 1MDB.
Adakah BSJPWH ada menjalankan kerjasama dengan agensi lain?
Ya, kita sentiasa menjalin kerjasama dengan lain-lain agensi penguat kuasa yang menguatkankuasakan AMLATFPUAA 2001.
Kerjasama ini bertujuan membendung pengubahan wang haram yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan penjenayah ini.
Antara agensi lain yang menguatkuasakan AMLATFPUAA 2001 adalah Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan.
Turut menjalinkan kerjasama ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Kewangan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Pendaftaran Pertubuhan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
BIMBANG PELABUR HILANG KEPERCAYAAN
Apakah kebimbangan Datuk?
Jenayah pengubahan wang haram memberi implikasi yang buruk kepada kestabilan dan sistem ekonomi negara. Ini kerana jenayah sebegini akan memberi kuasa ekonomi kepada penjenayah untuk menggunakan wang yang dikumpulkan daripada aktiviti haram untuk tujuan mengukuhkan kedudukan mereka dalam kalangan masyarakat.
Akibatnya lebih banyak perusahaan berteraskan jenayah akan berkembang di pasaran domestik sesebuah negara menyebabkan hilang kepercayaan pelabur asing. Yang paling menggerunkan apabila penjenayah mula menguasai sesebuah negara melalui pelaburan dalam syarikat-syarikat milik kerajaan yang beroperasi secara sah pada asalnya menggunakan wang haram ini.
Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan agar tidak terlibat atau membantu aktiviti jenayah pengubahan wang haram dan sesiapa sahaja yang terlibat akan dikenakan tindakan di bawah AMLATFPUAA 2001.
Haruslah diingatkan, hukuman di bawah akta ini adalah sangat berat dan melibatkan denda yang tinggi.










