Darurat: Masa untuk ‘cuti politik’ - Utusan Malaysia

Darurat: Masa untuk ‘cuti politik’

Di kala rakyat sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 dan banjir teruk, adakah fokus kita masih terarah kepada kertas dan peti undi? – Gambar hiasan/Zulfadhli Zaki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setakat ini, jumlah mangsa banjir yang direkodkan sudah mencecah lebih 43,000 orang di seluruh negara. Jumlah kes aktif virus maut Covid-19 pula setakat ini sudah berganjak ke angka lebih 30,000 kes.

Walaupun Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mampu menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) yang cukup untuk mangsa banjir, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga bergerak membantu membina hospital medan untuk rawatan Covid-19. Kementerian Kesihatan setakat ini berjaya menyediakan jumlah fasiliti kesihatan untuk rawatan Covid-19, namun semakin hari jumlah pesakitnya semakin penuh hingga tidak tertampung.

Sudah menghampiri setahun barisan hadapan kita bertungkus lumus melawan virus Covid-19, hari ini tugas mereka terpaksa ditambah, mengurus rakyat yang ditimpa banjir pula. Bukan minta, tidak pula cuba lepas tangan daripada tugas, namun mereka terpaksa menggalas amanah dan sumpah taat setia kepada perkhidmatan. Selaku orang awam, jika tidak mampu bantu lebih, cukup sekadar jiwa dan raga mereka diselami kita bersama.

Dalam senario sebegini, adakah cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilihat sesuai dan mampu memihak kepada mereka yang memberi saranan atau rakyat? Jika ditanya pada hati yang luhur dan ikhlas, memang pelaksanaan ini akan membawa padah.

Benarkah cadangan untuk menukar perdana menteri pada saat genting ini boleh dianggap sebagai keperluan?

Tak kiralah sejauh mana alasan kita dalam menjulang erti demokrasi, namun pada situasi serba genting ini jika kita masih mahu menafikan hakikat yang sedang berlegar di fikiran rakyat, maka yang memberi cadangan itu berhadapan penolakan yang teruk daripada rakyat.

WIN-WIN SITUATION

Tidak kira siapa yang memberi cadangan, ia tetap perlu diperhalusi agar win-win situation dapat dicapai kepada banyak pihak. Ini termasuklah isu kesihatan, keselamatan, kewangan tenaga kerja dan sebagainya.

Situasi sedikit berbeza sekiranya baki tempoh mandat ini sudah menghampiri tarikh luput. Sebaliknya semua rakyat tahu kuasa pemerintahan kerajaan yang ada sekarang masih banyak masa lagi.

Soalnya sekarang, adakah kita tiada pilihan lain? Di kala rakyat dan kita semua bergelut dengan pandemik Covid-19 dan bencana alam yang cukup teruk, fokus kita masih terarah kepada kertas dan peti undi?

Sebenarnya, andai ahli politik cuba bangkit mencadangkan ‘cuti politik’ dalam masa genting sebegini, ia jauh lebih mulia dan diterima rakyat berbanding kita memberi cadangan yang bukan sedap didengar pada telinga rakyat.

Justeru, pandangan beberapa parti politik khususnya di bawah payung Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional dirasakan yang paling relevan pada pilihan rakyat kebanyakan.

Mereka mencadangkan agar PRU-15 diadakan sejurus selepas perintah darurat berakhir. Kita semua sedia maklum, tarikh akhir perintah darurat adalah selepas kes Covid-19 dapat dilandaikan lengkuknya.

PANGKAH

Kita harus insaf, pangkah yang ingin kita buru pada kertas undi adalah daripada tangan-tangan rakyat. Sorakan kejayaan atau kemenangan yang ingin kita dengar adalah daripada mulut-mulut rakyat, dan kerjasama yang ingin kita dambakan adalah daripada keringat-keringat rakyat. Justeru, kenapa kita masih mahu mengikut telunjuk sendiri?

Bagi sesetengah pihak, mungkin cadangan ini tidak masuk akal atau sukar untuk diterima. Namun, apa pilihan yang tinggal untuk kita dikenang oleh rakyat sebagai pembela mereka? Jika PRU-15 hanya berlegar sekitar ahli parti semata-mata, mungkin cadangan ini perlu diendahkan, namun apa yang kita sedang bicarakan sekarang adalah soal undi daripada rakyat.

Terpulanglah, bagi ahli sesebuah parti ingin menjadi parti mereka pilihan majoriti rakyat, maka ikutlah selera rakyat. Jika mahu menjadi parti yang dicemuh serta ditolak rakyat, mungkin tiada istilah ‘cuti politik’ walau ketika pandemik Covid-19 membunuh 1,000 nyawa setiap hari dan bencana banjir menenggelamkan bangunan setinggi 10 tingkat.

PENULIS ialah Timbalan Ketua Lajnah, Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Islami), Cawangan Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN