Darurat langkah paksaan demi rakyat - Utusan Malaysia

Darurat langkah paksaan demi rakyat

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara secara sidang video bersama menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri di Putrajaya, Sabtu lalu. – FB MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Proklamasi darurat yang diumumkan kerajaan sehingga 1 Ogos ini adalah selari dengan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Proklamasi tersebut diumumkan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang kini berada di tahap amat kritikal. Proklamasi sama juga pernah diputuskan dalam kes darurat di Sarawak pada 1968. Hakim memutuskan perkataan epidemik dalam penghakimannya, bukan pandemik. Jelas epidemik adalah keadaan yang lebih ringan berbanding pandemik.

Maka proklamasi darurat oleh kerajaan pada hari ini adalah tepat kerana pandemik itu sesuatu yang lebih serius sifatnya berbanding epidemik.

Proklamasi darurat ini juga boleh dianggap sebagai moratorium paksaan demi kesejahteraan rakyat. Melalui langkah ini, kerajaan juga mampu mendesak institusi kewangan untuk menangguhkan pembayaran pinjaman. Kerajaan juga boleh membentuk beberapa undang-undang seperti melonggarkan syarat pengeluaran wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta melanjutkan tempoh i-Lestari tanpa perlu melalui proses Parlimen, selari dengan Perkara 150 (7). Undang-undang yang digubal ketika darurat juga tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah.

MANFAAT

Moratorium paksaan ini juga mampu meringankan bebanan kewangan rakyat di samping membolehkan lebih banyak wang secara tunai berada di tangan rakyat yang terkesan dengan proklamasi darurat. Kuasa yang lebih besar diperuntukkan dalam Perlembagaan mampu memberikan pelbagai manfaat kepada kehidupan rakyat di samping mampu menangkis persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan.

Menurut Perlembagaan, pilihan raya umum masih boleh diadakan meskipun negara berada dalam keadaan darurat. Undang-undang sedia ada masih boleh terus diamalkan tanpa sebarang perubahan. Bagaimanapun, pilihan raya umum juga boleh ditangguhkan sekiranya darurat diisytiharkan. Undang-undang yang dilaksanakan ketika darurat boleh mengatasi segala peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan Negeri.

Dalam situasi kes Covid-19 semakin meningkat, maka mengadakan pilihan raya umum bukanlah satu langkah yang tepat. Justeru, proklamasi darurat ini juga merupakan langkah paksaan yang baik bagi menghalang berlakunya pilihan raya umum secara mengejut. Dengan langkah paksaan tersebut, kerajaan boleh menumpukan untuk menguruskan ancaman pandemik Covid-19 dengan lebih baik.

RAKUS

Dalam tempoh darurat ini, semua ahli politik harus berjiwa besar demi kesejahteraan rakyat. Perdana Menteri menegaskan dalam ucapan perutusan khas, beliau sama sekali tidak berniat untuk menghalang diadakan pilihan raya umum. Beliau turut mengulangi komitmen, bila keadaan Covid-19 sudah reda. maka pilihlah kerajaan yang rakyat inginkan. Pilihan raya umum akan diadakan sekiranya jawatan kuasa khas bebas memperakukan negara sudah pulih sepenuhnya daripada ancaman pandemik Covid-19.

Tindakan beberapa pemimpin politik yang mendesak untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan penarikan semula darurat adalah satu langkah ke belakang. Hal ini menunjukkan sikap sebenar pemimpin politik yang sentiasa rakus dengan pergelutan kuasa. Rakyat ketika ini tidak mahukan pilihan raya umum. Iktibar daripada Pilihan Raya Negeri Sabah menjadi bukti kerakusan ahli politik telah membawa kemudaratan yang lebih besar kepada kehidupan rakyat.

Bagi meredakan kekeliruan rakyat berkaitan proklamasi darurat, pihak berkepentingan juga harus membantu dalam membimbing rakyat supaya lebih tenang menghadapi realiti berkaitan isu kenegaraan yang sedang dilalui. Kefahaman yang baik berkenaan isu kenegaraan mampu membentuk masyarakat menjadi lebih rasional tanpa terpancing emosi dengan agenda parti politik tertentu yang penuh muslihat.

Justeru, proklamasi darurat sehingga 1 Ogos ini merupakan satu langkah paksaan yang proaktif bagi membendung penularan pandemik Covid-19. Dalam keadaan negara berada pada situasi kritikal, adalah amat penting bagi semua rakyat dan juga ahli politik untuk sama-sama bersoladiriti di samping mempraktikkan politik yang benar-benar matang.

Dr. Ilyas Abdullah ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN