Membaca coretan pelakon kanak-kanak terkenal Mia Sara atau nama sebenar Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 11, yang disuruh buka tudung sebagai syarat berlakon adalah biadab. Ia juga tidak sensitif kepada umat Islam dan juga Islam sebagai agama negara.
Bagaimanapun, syabas diucapkan kepada Mia yang tetap mempertahankan auratnya. Kata Mia: “Saya sangat tersinggung dengan permintaan untuk membuka tudung itu, ibaratnya macam syarat yang diberi itu sama seperti membuka baju.”
“Saya akui bila mula bertudung sejak darjah lima, tawaran berlakon semakin berkurang dan pada masa sama saya terpaksa menolak tawaran yang meminta saya membuka tudung.
“Jadi tahun-tahun sebelum ini memang dunia lakonan saya agak perlahan sehingga ada yang beranggapan saya sudah tidak minat berlakon,” katanya.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang suram ekoran pandemik Covid-19, sememangnya semua sektor turut terjejas. Rakyat pun ramai yang kehilangan mata pencarian sama ada kerana dibuang kerja atau pun akibat perniagaan yang terpaksa gulung tikar kerana kekurangan permintaan dan pembeli.
Mungkin ramai juga terpaksa melalui fasa sama dengan Mia Sara terutama bagi mereka yang terlibat dalam seni lakon. Amat malang apabila masih ada pihak yang mengukur kejayaan sesuatu watak itu pada penampilan semata-mata. Walhal, yang lebih penting adalah bakat dan tahap penghayatan pada watak itu.
Dalam masa sama, mungkin ada juga ahli perniagaan atau kontraktor yang bimbang tak ada kerja. Antara puncanya, ada unsur-unsur rasuah atau kena bagi ‘duit kopi’ atau kena ada ‘kabel’ sebelum boleh dapat mana-mana tender. Kalau ikut hukum akal, boleh pitam dibuatnya.
Namun, walau berdepan pelbagai cabaran demi mempertahankan diri tidak terjebak dengan rasuah, jangan bimbang dengan rezeki. Yakinlah, sebabnya rezeki itu datangnya daripada Allah. Allah jugalah yang mengatur rezeki setiap kita. Apa yang perlu kita buat adalah berusaha dan berikhtiar. Selebihnya berserah kepada Allah SWT.
Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: “…apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (ali-Imran: 159)
Kita juga menghargai dan yakin dengan usaha bersungguh-sungguh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras gejala rasuah. Statistik tahun 2020 menunjukkan terdapat 988 tangkapan kes rasuah.
Daripada jumlah itu, 467 orang atau 46.8 peratus melibatkan penjawat awam sama ada kategori pengurusan tertinggi, pengurusan dan profesional atau kategori sokongan.
Ketika kita diuji dengan kesulitan, kesempitan hidup dan tidak ada wang, janganlah hendaknya kita menggadaikan iman kita. Jangan kita ‘tewas’ dengan pujukan syaitan yang akan menyerang dari pelbagai sudut, tidak kira kiri, kanan, atas dan bawah.
Sebaliknya hendaklah kita kuatkan iktikad bahawa Allahlah pemberi rezeki. Manusia yang diberi tanggungjawab atau memegang sesuatu jawatan yang melulus atau menolak permohonan kita itu hanyalah perantara. Jika sudah tertulis ia rezeki kita, tidak akan ke mana.
Daripada Umar r.a., dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Andai kata kalian benar-benar bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan memberi kalian rezeki sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung, iaitu keluar dengan perut kosong di pagi hari dan kembali dengan perut kenyang pada waktu petang.” (Riwayat Tirmidzi).
Hadis ini mengingatkan pentingnya sikap tawakal. Dengan tawakal, hidup akan dihiasi ketenangan dan jauh daripada rasa cemas. Bukan sedikit manusia yang hari-harinya dipenuhi oleh rasa bimbang terhadap rezeki. Khuatir keperluannya tidak dapat dipenuhi.
Memang, sepanjang hidup, keinginan manusia tidak akan ada habis. Tugas manusia hanya berusaha dan berdoa, Allah yang berkuasa dan berkehendak untuk mencukupkan semua keperluan makhluknya.
Jangan bersedih saat rezeki terasa sempit. Sebabnya, Allah telah menjamin rezeki kita. Jika Allah menghendaki, tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalangi rezeki itu datang. Sebab, tidak ada sesuatu pun yang kita peroleh kecuali dengan izin-Nya.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Apa saja di antara rahmat Allah yang dianugerahkan kepada manusia, maka tidak ada yang dapat menahannya; dan apa saja yang ditahan-Nya maka tidak ada yang sanggup untuk melepaskannya setelah itu. Dan Dialah Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana. (Faatir: 2)
Sebagai orang yang beriman, yang lebih utama dalam mencari rezeki adalah daripada sumber yang halal lagi baik. Tidak guna dapat pendapatan lumayan jika ia datang daripada sumber yang haram. Sebabnya, bandingan hidup kita di dunia dengan akhirat adalah ibarat setengah hari sahaja.
TANDA REZEKI BERKAT
1. Sentiasa rasa cukup dengan apa yang kita ada. Kadang-kadang kita rasa macam lebih daripada cukup. Orang yang dapat rezeki tanpa keberkatan akan sentiasa dalam kekurangan dan tidak puas dengan apa yang dia ada.
2. Keluarga sentiasa aman dan bahagia. Masalah dalam keluarga kadang-kadang boleh dilihat kembali pada akarnya, iaitu sumber nafkah keluarga. Bila bercampur harta halal dan haram seperti rasuah maka wang tersebut ‘panas’, sentiasa rasa tidak cukup.
3. Mudah menjaga solat dan juga melakukan amal ibadah yang lain. Kenapa sebahagian kita liat nak solat barangkali sebab rezeki kita tak diberkati.
4. Orang sekeliling suka atau senang dengan kehadiran kita. Perkara seperti ini boleh dilihat apabila kita bersama rakan-rakan atau ahli keluarga yang lain. Kehadiran kita memberi manfaat kepada orang lain dan tidak menyusahkan.
5. Anak-anak cemerlang dalam pelajarannya. Ini antara sebab pentingnya mencari rezeki halal yang diberkati sebab duit yang kita guna membeli makanan dan barang-barang untuk anak-anak sebenarnya ada kesannya.
6. Rumah sering didatangi tetamu. Itu maknanya rezeki kita ada keberkatan. Kedatangan tetamu sebenarnya membawa rezeki dan keberkatan dalam rumah tangga.
7. Doa kita senang termakbul. Ini seperti mana sabda Nabi SAW, doa yang tak dimakbulkan antara sebabnya adalah makan daripada sumber yang haram.










