Baru-baru ini, saya terbaca dua rencana oleh Saudara Faisal (Muhammad Faisal Abdul Aziz), Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Dr. Rozhan Othman, bekas profesor dan kini orang kuat LeadUS. Kedua-dua rencana ini sudah 20 tahun saya tunggu dan sebelum ini tak timbul-timbul. Saya dulu bolehlah mengaku anak Islam reformis gelombang pertama walaupun tak pernah masuk ABIM atau Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).
Tetapi saya pernah jadi ahli Malaysian Islamic Study Group (MISG) di Amerika Syarikat dulu dan sewaktu bekerja di sebuah universiti awam selama 27 tahun. Saya mengikuti usrah kawan-kawan Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang kini digelar Ikram. Selalu juga saya bersama puak-puak tabligh, Pas dan JIM dalam pelbagai aktiviti, bayan dan merayu undi.
Semua itu kisah lama. Kini saya bergerak solo. Saya menulis tentang isu-isu Islam yang menjadi bahan persoalan dalam kalangan rakyat.
Sewaktu saya menyokong 100 peratus Islam reformis gelombang pertama yang dikumandangkan oleh personaliti-personaliti seperti Anwar Ibrahim, Dr. Badrul Amin, Dr. Hassan Ali, Abu Urwah (Shaari Sungib), Mohamad Sabu, Hadi Awang dan ramai lagi. Yang saya faham, Islam tak kenal kaum atau warna kulit. Saya juga tak pernah dengar dalam usrah-usrah mesti gelar semua orang bukan Islam sebagai kafir dan perlu kita semua mempunyai naratif permusuhan. Tak pernah saya dengar, baca dan tonton.
Yang saya dengar adalah umat Islam seorang yang profesional, efisien atau cekap menjalankan tugas, adil saksama, tak minta rasuah sebab kerja itu ibadat. Dan pemimpin semua takut kepada Allah sebab mereka pertama sekali akan dipanggil untuk penghisaban. Cukup cantik dan mulia.
TERUJA
Jadi, apabila Saudara Faisal menulis dalam The Star tentang arah tuju ABIM memperjuangkan Islam kosmopolitan sebagai tonggak perubahan dan pembangunan konsep Bangsa Malaysia, maka saya pun teruja sedikit.
Dua minggu lepas, saya bincangkan ucapan Dr. Siddiq Fadzil (bekas Presiden ABIM) panjang lebar. Selepas berucap di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau terus membisu. Kalau saya tak tulis di dada-dada media, orang semua pun tak tahu tentang ucapan penting itu. Sebenarnya mesej dan nada kedua-dua ucapan dan rencana atau tulisan daripada dua generasi ABIM itu adalah sama. Islam perlu hidup dalam menerima dan berkongsi kekayaan kepelbagaian budaya.
Rencana Dr. Rozhan lagi best dan banyak umph. Tajuknya di Malaysiadateline adalah Paksaan, sengketa dan agenda Islam yang terpesong. Saudara Faisal banyak menulis dengan nada diplomatik dan tidak berani genggam bara habis-habis tetapi itu mungkin ada strateginya. Tetapi Dr. Rozhan did not pull his punches. Dia menegur aspek-aspek sosial, ekonomi dan politik Islam yang dibuat secara paksaan. Beliau kata, zaman Rasulullah, baginda tidak memaksa dan tidak menyukarkan penganut agama lain. Beliau menegur negara-negara seperti Sudan dan Iran yang menjaja Islam untuk merampas kuasa dan selepas itu menjadi pemeras utama keperitan rakyat.
DIKUNCI
Dulu, hanya rakan saya, Dr. Farouk Musa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Islamic Renaissance Front banyak berforum tetapi beliau kini telah ‘dikunci’ dengan mengguna orang dalam NGO itu sendiri. Saya amat berharap, dua orang hamba Allah ini yang satu memimpin ABIM dan yang lagi satu bekas pemimpin MISG boleh menjadi wadah gelombang Islam reformis kedua dan membawa kembali Islam sebagai agama, cara hidup dan sistem ekonomi-politik yang mempunyai martabat keinsanan dan kemanusiaan tertinggi, bukannya kejahilan dan ketakburan yang tidak terperi. Barulah saya boleh pencen daripada menulis tentang Islam dan berhenti berceramah kepada masyarakat tentang Islam sunnah rasul dan bukannya Islam ‘sunnah’ Melayu.
PROFESOR Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi ialah ahli akademik seni bina dan penganalisis kritis media sosial.










