SIBUK menghitung jumlah klik dalam media sosial apabila ciapan bunyi telefon bimbit menceroboh lamunan. Notifikasi bagi pesanan baharu yang diterima daripada nombor telefon yang tidak dikenali itu menyebut, “Awak nampak menarik hari ini. Cuba lihat belakang.” Degupan jantung berdebar-debar apabila menyedari, pihak yang memberi pesanan itu adalah bekas kekasih yang sering mengganggu dan menghantar pesanan-pesanan tidak diundang. Dia juga sering mengugut untuk menghebahkan segala gambar dan informasi yang memalukan di laman internet.
Bagaimana dia boleh berada di tempat yang sama?
Ini adalah antara senario sebenar yang berlaku kepada mangsa jenayah siber. Dianggarkan terdapat 16.5 juta rakyat Malaysia menggunakan internet, sementara pengguna aplikasi seperti Facebook melebihi dua juta orang dan berada di tangga ke-18 di dunia sebagai pengguna yang aktif memperbaharui status masing-masing di laman media sosial tersebut. Secara purata, pengguna meluangkan masa hampir 20 jam seminggu untuk mengakses internet. Penerobosan digital yang tinggi turut mendedahkan pengguna rangkaian internet kepada jenayah siber. Antara jenayah siber yang semakin menular adalah cyber stalking, yakni pengintipan secara siber dan doxing, iaitu penyiaran dokumen atau maklumat peribadi seseorang di alam maya.
Sehingga hari ini, tiada ada satu pun takrifan sejagat yang terpakai bagi menerangkan apa yang dimaksudkan sebagai intipan siber. Namun asasnya. intipan atau hendapan siber bermaksud perbuatan mengintip yang dilakukan melalui alat teknologi komunikasi dan elektronik untuk mencari, mengenal pasti dan akhirnya bersemuka dengan seseorang. Intipan ini berkemungkinan untuk mengganggu, mengancam atau menakut-nakutkan mangsanya.
Doxing pula adalah kegiatan membongkarkan maklumat peribadi seseorang tanpa wenang atau izin. Kebiasaannya, maklumat ini disebarkan di laman internet dengan niat untuk mengugut atau memalukan individu tersebut. Malah, takrifan doxing juga merangkumi perkongsian maklumat yang dimuatnaik oleh pemilik sendiri tetapi kemudian disalahgunakan dengan penyebaran maklumat oleh pihak ketiga tanpa izin pemilik asal.
PENGGODAM
Sebagai contoh, pada 2011 seorang pemberita menjadi mangsa kepada sebuah kumpulan hacktivist (aktivis penggodam) yang menuduh kononnya dia menghina Yang di-Pertuan Agong.
Kumpulan tersebut menyebarkan maklumat peribadinya, mengakibatkan dia terdedah kepada ugutan orang ramai dan hampir kehilangan jawatan. Berdasarkan pengalaman saya sendiri sewaktu menjadi pelajar universiti, terdapat insiden di mana gambar salah seorang rakan sekelas yang dimuat naik dalam media sosial disebarkan dan dihantar kepada pengurusan universiti hingga dia hampir dibuang universiti.
Akta Jenayah Komputer Malaysia 1997 (Akta 563) diluluskan di Parlimen pada Mac 1997 dan berkuat kuasa 30 Jun 2000. Bagaimanapun, sebahagian besar Akta 563 berkaitan jenayah melibatkan penyalahgunaan akses tanpa kebenaran kepada data dalam komputer.
Memandangkan cyber stalking dan doxing mempunyai unsur jenayah, maka wajarlah Kanun Keseksaan (Akta 574) dirujuk dalam perkara ini. Malangnya, buat masa ini, tiada peruntukan khusus menjadikan kedua-dua perlakuan ini sebagai suatu kesalahan. Namun, itu tidak bererti tindakan cyber stalking dan doxing tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas pelaku. Bagi pesalah, masih boleh didakwa di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan jenayah intimidasi, ugutan atau ancaman.
Syarat utama yang perlu dibuktikan adalah ancaman yang menyebabkan ketakutan kepada mangsa sama ada terhadap badan, harta atau maruah termasuk melalui dalam talian. Malangnya perlu juga difikirkan, agak sukar membuktikan bagaimana ancaman dalam talian boleh menyebabkan ketakutan kepada mangsa menyamai ancaman dalam keadaan konfrontasi secara fizikal. Amatlah wajar dan mustahak untuk kerajaan mempertimbangkan segera pindaan kepada Kanun Keseksaan agar kelompongan ini dapat dipenuhi dan pembelaan ke atas mangsa-mangsa cyber stalking dapat diberikan.
Begitu juga dengan kesalahan melakukan doxing. Walaupun boleh dikategorikan sebagai kesalahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), sekiranya maklumat disebarkan diperolehi tanpa izin, namun peruntukan ini tidak terpakai bagi kegiatan doxing yang menggunakan maklumat-maklumat awam seperti gambar di media sosial.
Setelah meniliti perundangan sedia ada, jelas Malaysia tidak mempunyai mekanisme perundangan yang mampan untuk mengatasi masalah-masalah ini. Malaysia masih lagi memanfaatkan peruntukan-peruntukan yang berselerakan dalam pelbagai akta bagi membanteras jenayah siber. Lebih teruk lagi, takrifan bagi kesalahan Kanun Keseksaan adalah terlalu rapuh untuk diguna pakai bagi menangani isu ini. Sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah bagi meminda sekyen-seksyen tersebut untuk melindungi hak pengguna internet secara menyeluruh.
PENULIS ialah peguam litigasi.










