Amerika Syarikat yang lama dikenali - Utusan Malaysia

Amerika Syarikat yang lama dikenali

PARA penyokong Donald Trump menyerbu dan merusuh di bangunan Capitol, Washington, Amerika Syarikat pada 6 Januari lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) minggu lalu apabila rakyatnya merusuh dan menceroboh di Capitol Hill, bukannya suatu peristiwa yang menghairankan. Malah, segala peristiwa sebelum itu merupakan bibit-bibit yang sering berlaku sepanjang sejarah negara tersebut dalam pelbagai bentuk dan cara. Paling jelas, rusuhan tersebut dirancang dan dilakukan hampir keseluruhannya oleh kaum kulit putih dan didalangi oleh seorang presiden yang juga berkulit putih. Presiden Donald Trump, presiden ke-45 terkenal sebagai penyokong kumpulan pelampau kulit putih AS.

Tindak-tanduknya selama ini, hatta semasa menjadi Presiden AS sejak 2016 sering menunjukkan gelagat sedemikian.

Tambahan pula dengan kegiatan media sosial yang berleluasa membolehkan maklumat palsu dan kata-kata hasutan disebar dengan cepat dan tidak terhalang. Malah, ia menjadi lebih kencang dalam meminda keadaan kepada kemelut kerana ketakutan serta syak wasangka yang muncul akibatnya. Kumpulan minoriti etnik dan agama sekali lagi menjadi mangsa ketakutan yang tersebar luas dan pantas. Semua ini disebabkan kegagalan kumpulan elit dan pemerintah AS menangani ketidaksamaan dalam masyarakat yang telah berakar umbi begitu lama. Ramai pekerja kulit hitam berasa tercicir tatkala pemimpin lebih asyik mencari kuasa dan bermain politik untuk tujuan sedemikian tanpa menghiraukan nasib mereka.

Keadaan bertambah kusut apabila serentak berlaku krisis pelarian khususnya dari negara-negara maju. Pelarian dari Asia Barat dan Afrika Utara serta Amerika Latin khususnya Mexico menunjukkan lagi keresahan kepada kaum kulit putih yang memandang hina kepada kumpulan tersebut. Trump jelas menunjukkan sifat sedemikian sejak awal lagi dan ini mencetuskan pelbagai dasar berat sebelah berasaskan kebencian perkauman dan anutan agama.

Hal-hal seumpama ini sering disenyapkan begitu sahaja selama ini kerana taksub dengan ‘kepimpinan’ dan pembangunan negara tersebut yang sering diuar-uarkan sebagai terbaik seadanya.

Malah ramai yang tunduk dan akur kerana ‘takut’ (bukan sangat setuju) membuta tuli.

Namun, wabak Covid-19 telah menelanjangkan segala-galanya terutama selepas AS dan kepemimpinannya menonjolkan kelemahan sistem di negara itu dan diatasi pula dengan kepimpinan yang dangkal lagi bersifat perkauman. Bukti ini jelas nyata apabila serangan Covid-19 melanda dengan hebatnya sehinggakan AS merupakan contoh terburuk dari segi kesihatan berbanding negara-negara maju lain.

Sekali gus AS kehilangan kedudukan sebagai negara contoh yang wajar diteladani. Apatah lagi apabila rakyat berkulit hitam dan yang bukan berkulit putih amnya, tersisih daripada arus perdana sistem kesihatan negara itu. Bilangan yang terjangkit dan mati adalah yang paling banyak melibatkan kaum kulit hitam berbanding keseluruhannya. Ini terus-menerus berlaku tanpa apa-apa pembelaan saksama.

Maka timbullah slogan Black Lives Matter – yakni rintihan kumpulan kulit hitam, seolah-olah mereka umpama melukut di tepi gamtang di sebuah negara kaya lagi demokratik kononnya. Jelas semua ini hanya topeng yang digembar-gemburkan untuk melindungi wajah yang lebih hodoh di belakangnya. Lantas, kaca mata dunia terus dikaburi. Bak perpatah Melayu, indah khabar daripada rupa!

ADEGAN SETEMPAT

Oleh yang demikian, tidak salah jika dikatakan apa yang berlaku di Capitol Hill minggu lalu merupakan adegan setempat yang telah lama dialami oleh dunia berulang-ulang kali. Misalnya, apabila Trump enggan mengaku kalah dalam pertandingan presiden 2020 pada 3 November lalu, pelbagai perilaku jelek menyusul. Pelbagai cerita dan maklumat palsu disebarkan untuk mempertahankan kekalahannya termasuklah menggunakan media sosial sewenang-wenangnya, membenarkan campur tangan luar dan akhirnya menperalatkan kumpulan pelampau untuk merusuh di Capitol Hill buat pertama kali. Berselindung di belakangnya bertujuan meraih dan mengekalkan kuasa politik.

Apapun bagi dunia luar, adegan ini sudah dilakonkan beberapa kali tanpa belas kasihan. Lihat sahaja apa yang pernah berlaku di Iraq semasa pemerintahan Presiden Saddam Hussein yang masih segar dalam ingatan ramai. Jalan ceritanya sama sahaja. Bermula dengan cerita-cerita serta fakta dongengan yang kononnya Iraq mempunyai senjata pemusnah melata (WMD) yang disasarkan ke arah AS dan sekutunya. Dikatakan serangan boleh dilancarkan dalam beberapa minit sahaja. Apalagi kononnya Iraq juga mempunyai kelengkapan ketenteraan keempat terkuat di dunia. Ini diikuti pelbagai dakyah lain yang mencemaskan.

Semua ini disokong oleh sekutu kuatnya, Perdana Menteri Britain, Tony Blair yang merupakan pengampu kata-kata dusta George Bush, iaitu Presiden AS ketika itu. Beberapa negara Eropah termasuk Australia bersekongkol dan diperalatkan. Mereka menyerang Iraq tanpa mendapat restu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mengingkari undang-undang antarabangsa. Ada yang menganggap langkah ini sebagai tindakan pengganas sepertimana beberapa pihak yang mengenali peristiwa di Capitol Hill sebagai domestic terror. Tujuannya tidak lain untuk mengekalkan kuasa AS dan Barat di Timur Tengah dengan apa juga cara.

Jika dahulu, Blair berlagak sebagai pendukung setia George Bush, kini Boris Johnson bertindak sedemikian untuk Trump. Boris mempunyai masalahnya sendiri sebagai negara kedua terburuk dalam menangani Covid-19 di seluruh dunia selepas AS. Kini dihantui pula oleh sejenis virus yang berlainan. Oleh itu, untuk memahami apa yang sebenar sedang berlaku, kita tidak perlu pergi jauh.

Sekadar menoleh ke belakang dan mengenal pasti pengalaman ngeri penjajahan yang pernah dialami tidak lama dahulu. Kezaliman, pemerasan serta kepura-puraan yang disulami demokrasi ratusan tahun lamanya. Rupa-rupanya, walaupun rakus tetapi rapuh dan cetek dalam membawa nilai-nilai sejagat yang tidak berasaskan keadilan dan kesaksamaan tulen lagi ikhlas. Inilah dia AS sebenarnya yang telah lama dikenali. Maka masanya sudah sampai untuk kita menginsafi hakikat ini buat masa hadapan.

Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN