Penggunaan kata ganti nama diri sudah menjadi kelaziman apabila kita berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan, sama ada lisan atau bertulis. Setiap bahasa mempunyai cara dan panduan yang berbeza termasuk dari segi kesantunan berbahasa.
Misalnya, penggunaan you dalam bahasa Inggeris mampu menggantikan kata ganti nama diri dan kata panggilan seperti awak, kamu, anda, tuan, saudara, puan, dan encik. Ramai juga murid sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) ketara menggunakan awak apabila bercakap kepada guru atau orang dewasa.
Penggunaan kata ganti nama diri kedua saudara, tuan dan puan di negara kita telah melalui proses perkembangan dan penyesuaian yang menarik juga untuk ditelusuri. Perbincangan mengenai cara penggunaan yang betul berlaku di akhbar tempatan sejak 1930-an.
Pada waktu dahulu di Sarawak, misalnya, memang menjadi amalan menggunakan gelaran tuan besar kepada pengurus syarikat, ladang, lombong arang atau ketua jabatan.
Akan tetapi, Sarawak Gazette pada Februari 1914 memetik arahan Charles Brooke (Raja Putih) bahawa gelaran itu merupakan hak eksklusif raja-raja Melayu, khususnya putera sulung. Maka, penggunaan di luar konteks perlu dihentikan serta merta.
Surat pembaca di Malay Tribune pada Mei 1931 menjelaskan penggunaan tuan hanya digunakan bagi “orang putih” berdasarkan warna kulit dan kedudukan mereka. Tuan dikatakan kata sopan setaraf sir dan turut digunakan sesama orang Melayu.
Penulis surat itu berkata, sekiranya dia menggunakan tuan kepada kaum India, maka rakan-rakan Melayu akan mentertawakannya kerana dianggap tidak tahu menggunakan bahasa ibunda dengan betul.
AYYA
Menurutnya lagi, kakitangan awam juga tidak layak digelar tuan. Orang Melayu dan Cina dewasa perlu dipanggil encik, orang Arab dipanggil habib, peniaga Cina dipanggil towkay (tauke), orang Tamil dipanggil iah (ayya), anak muda India patut digelar tambi dan lelaki India dewasa pula mama (pak cik).
Panduan gelaran, panggilan dan kata ganti nama diri ini mungkin dianggap tidak sesuai sekarang tetapi sangat menarik untuk kita mengetahui dan memahami budaya pemikiran masyarakat majmuk di negara ini pada masa silam.
Pada pandangan Daud bin Kassim (Malay Tribune, Jun 1935), gelaran tuan boleh digunakan untuk sesiapa yang dirasakan sesuai; tidak semestinya orang berkedudukan tinggi. Goh Hood Keng (The Straits Times, Mac 1958) pula melihat encik (mister) lebih sesuai berbanding tuan (master) yang dianggap pengaruh kolonial.
Penggunaan kata ganti nama diri tuan dan encik digunakan pengacara radio pada 1959 apabila merujuk kepada orang awam. Para pemimpin negara dan tokoh dihormati pula digelar saudara.
Tidak hairanlah seorang pembaca mencadangkan istilah tuan bagi pemimpin negara kerana saudara dikatakan merujuk kepada komrad dalam parti atau pertubuhan.
JEPUN
Rashad Baharoom dari Port Swettenham (Pelabuhan Klang) menjelaskan, saudara digunakan di Indonesia untuk turut merujuk kepada menteri dan pegawai berpangkat tinggi. Dalam suratnya di akhbar pada Disember 1959, Rashad menjelaskan, saudara (Indonesia) sama makna dengan inche dan tuan (Tanah Melayu). Penggunaan saudara (brother) juga menjadikan hubungan lebih rapat dan mesra.
Kita mungkin tidak sedar bahawa semasa penjajahan Jepun (1942-45), gelaran tuan digunakan bagi lelaki Melayu, tetapi selepas itu istilah inche (encik) kembali popular. Semasa persidangan kesatuan guru pada Ogos 1949, dicadangkan supaya lelaki Melayu kembali digelar tuan dan wanita Melayu digelar puan.
Pembaca bernama Kulop Risang (The Straits Times, Oktober 1953) berpendapat, frasa “tuan-tuan dan puan-puan” dalam ucapan tidak sesuai bagi khalayak Melayu. Katanya, tuan sesuai bagi Haji, Syed dan orang Melayu berstatus tinggi. Tuan membawa makna “pemilik” (owner) dan sesuai juga bagi wanita Melayu yang berkedudukan dalam masyarakat.
Terdahulu, seorang pembaca berkongsi pandangan di akhbar sama (Oktober 1949) bahawa inche tidak mengenal jantina. Maka, dicadangkan penggunaan inchepuan atau chepuan bagi wanita dan inche bagi lelaki.
Menjelang 1980-an, pemilihan kata ganti nama diri yang sesuai sudah semakin jelas. Yaakub Rashid menghuraikan bahawa encik dan saudara selamat digunakan kepada mana-mana lelaki. Cik dan saudari pula sesuai bagi wanita. Penggunaan pak cik dan mak cik perlu dilakukan secara lebih teliti kerana ia bukan sahaja tidak formal, malah boleh menyinggung perasaan pihak tertentu.
Yaakub mengingatkan, penggunaan awak, engkau dan aku hanya boleh digunakan dalam kalangan rakan rapat. Hukum ini masih terpakai sehingga kini, walaupun kita sering mendengar dan membaca penggunaan secara kurang sopan oleh individu yang tidak memahami aspek penggunaan bahasa yang betul.
Penggunaan kata ganti nama diri yang betul, tepat dan sesuai bukan hanya penting dalam penulisan karangan di sekolah tetapi perlu juga diberi perhatian dalam komunikasi seharian, termasuk di media sosial.
Bagi paparan di media sosial seperti Facebook, kata ganti nama diri yang paling selamat dan neutral ialah saya dan anda.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










