Teka Kosong - Utusan Malaysia

Teka Kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CERPEN

KARYA GHAZALI LATEH

Orang Sik akan kaya raya!”
Ser­gahan mendadak itu menjadikan mereka yang sedang bermain dam haji tersentak. Usup Sik terlopong melihat kelibat anak muda yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Mat Raya terhenti menolak buah damnya yang difikirkan sekian lama. Semua mata terbelalak ke arah anak muda itu.
“Saya Syed Mukri…!” Anak muda itu memperkenalkan diri. Seraya tangannya pantas sahaja dihulurkan untuk bersalaman. Seorang demi seorang. Man Pak Ya, Mail Tongkat Ali, Senapi Petai, Chot Kelubi, Doman Madu Lebah, semuanya menghulurkan tangan.
“Saya anak saudara Syed Mustafa,” tambahnya setelah dihulurkan kerusi papan oleh Chot Kelubi. Permainan dam haji terhenti sejenak. Mat Raya masih memegang buah dam yang akan ditolak. Dalam perlawanan dengan Senapi, dia sudah hampir-hampir menang. Dia sedang mengumpan Senapi untuk makan dua. Selepas itu Mat Raja menggunakan buah hajinya untuk melahap semua buah dam Senapi. Ternyata Mat Raya adalah antara juara dam haji bawah pokok di gerai Usup Sik Dalam. Kini langkahnya terbantut oleh sapaan Syed Mukri itu.
“Usup, bagi ais manis satu! Ni ada tamu kita dahaga ni,” laung Doman Madu Lebah, sambil mengalihkan pandangan ke arah Syed Mukri.
“Allah, susah-susah sajalah,” balas Syed seperti terlalu yakin Doman Madu Lebah memesan air untuknya.
“Alah, ais manis saja!” jawab Doman Madu Lebah merendah diri.
“Tak sangka ya, hebat betul Sik sekarang, Sik akan menjadi daerah yang sangat kaya tidak lama lagi,” Syed Mukri memulakan wacana yang selama ini sudah jadi buah mulut.
Chot Kelubi tersenyum. Mat raya mengangkat jarinya dari buah dam. Senapi Petai juga tersenyum. Kebanyakan mereka sudah tahu perkara tersebut. Sejak beberapa hari lalu, itulah isu yang diperkatakan setiap petang di gerai Usup Sik Dalam.
Perniagaan Usup bertambah rancak sejak tersebar berita tersebut. Usup sendiri telah menambah beberapa papan dam untuk menarik lebih ramai pengunjung.
“Tuan Syed dari mana?” Mail Tongkat Ali memecah kesunyian, ketika yang lain ternanti-nanti percakapan Syed Mukri selanjutnya.
“Saya asal orang sini juga. Sekarang duduk di Sungai Patani. Dulu saya duduk di Jalan Sik Dalam, lepas sekolah menengah,” lancar sekali jawapan Syed Mukri. “Lepas sekolah saya ikut Syed Mustafa ke Kuala Lumpur, jadi pembantu dia. Tuan-tuan tahu siapa Syed Mustafa?” tanya Syed Mukri tiba-tiba.
“Ohh… orang kaya Sik dulu tu,” Mat Raya menjawab spontan.
“Tahu juga ye?” pintas Syed Mukri sambil tertawa.
“Memang Tuan Syed. Sik akan jadi kaya raya. Ada orang buat kajian, terdapat bahan galian berjuta-juta ringgit tersimpan di perut Bukit Enggang,” Mail Tongkat Ali mencelah pantas. Dia tahu benar akan kedudukan Bukit Enggang.
Sejak kecil di Bukit Engganglah dia mencari rezeki. Dia mencari pelbagai herba hutan. Bukit Enggang merupakan taman herba semula jadi yang sangat luas. Sebut sahaja herba hutan, semuanya ada di sana.
Di bahagian kaki bukit pula, pokok kelubinya subur benar. Di situlah Chot Kelubi mencari rezeki. Buah asam paya yang masam itu dituainya sepanjang masa. Tidak ramai yang gigih seperti Chot. Dia hanya bersekolah sampai darjah enam. Dengan hasil kelubi kaki Bukit Engganglah dia menyara anak-anak dan isterinya. Kelubi yang dikumpulkan akan dijual kepada peraih Cina di Pekan Sik. Buah kelubi itu akan dijadikan jeruk kelubi. Makanan ringan jeruk kelubi itu hasil dari kaki Bukit Enggang. Chot bangga apabila melihat susunan botol jeruk kelubi itu di kebanyakan kedai di Pekan Sik.
“Sebab itulah saya datang ini,” Syed Mukri mencelah. Dia melihat wajah polos penduduk kampung di warung Usup Sik Dalam. Walaupun mereka terdedah pada kemajuan teknologi internet, nasib mereka tidak terbela.
“Bukit Engganglah yang menarik saya datang. Tuan-tuan tahu tak, berapa nilai galian yang ada dalam perut Bukit Enggang itu? Sudah heboh satu Malaysia tentang nilai galian itu. Bukan agak-agak, tetapi pemimpin kita sudah umumkan dengan jelas!” tegas Syed Mukri dengan bersemangat. Mat Raya ikut bersemangat. Mail Tongkat Ali juga bersemangat. Tambahan pula di kaki Bukit Enggang itu ada sebidang tanah pusaka warisan gemulah bapanya. Terlintas dalam fikirannya nilai tanah itu tentu meningkat.
“Tuan Syed nak beli tanah kami ke?” Mail Tongkat Ali bertanya segera.
“Tidak! Saya hanya balik kampung. Kebetulan saya tengok ramai di gerai ini saya berhenti,” jawab Syed Mukri.
“Ohhh, macam tu!” balas Mat Raya
“Tadi saya tanya, tahukah berapa nilai galian yang ada di Bukit Enggang?” Syed Mukri mengulang soalannya.
“Dua, dua juta,” Chot Kelubi menjawab, tergagap-gagap. Jawapannya disambut oleh rakan-rakan dengan derai ketawa. Bagi Chot Kelubi jumlah wang yang paling banyak baginya hanya ribu-ribu sahaja. Berapalah sangat harga kelubi yang dipikulnya keluar setiap hari. Dikumpulkan semua pendapatnya setahun belum tentu mencecah RM1,000.
“Kalau tak silap RM40 bilion!” Senapi Petai pula mengambil giliran. Seumur hidupnya angka bilion itu jarang benar dilafazkan. Kerjanya hanya mengumpul petai di kaki Bukit Enggang. Pokok petai yang tinggi melangit itulah yang menjadi punca rezekinya.
“Salah tu…!” kata Syed Mukri. “Abang pula, tahu tak berapa?” tanyanya kepada Doman Madu Lebah yang mendiamkan diri sejak tadi. Doman tidak banyak ambil tahu hal luar, dunianya hanyalah pohon tualang di Bukit Enggang. Di situlah dia bergadai nyawa mencari madu lebah hutan.
“Eh, saya tak tahu!” jawab Doman Madu Lebah tersipu-sipu. Doman Madu Lebah datang ke Pekan Sik untuk menghantar madu di gerai sekitar Pekan Sik. Setiap hari dia akan singgah bermain dam di warung Usup Sik Dalam.
“Sebenarnya RM43 trilion! Trilion!” Tegas Syed Mukri beberapa kali. Mat Raya dan rakan-rakannya berpandangan antara satu sama lain. Mereka menunjukkan wajah yang tidak pasti, walaupun berpura-pura faham akan nilai yang diujarkan Syed Mukri.
“Banyak tu,” kata Mail Tongkat Ali sambil menganggukkan kepala.
“Memang banyak. Baiklah Tuan-tuan. Apa kata kita bermain teka-teki. Siapa yang tepat tekaannya saya akan bagi hadiah. Lumayan tau hadiahnya! Saya bagi motosikal kepada peneka paling tepat. Hadiah kedua RM1,000 untuk dua orang,” kata Syed Mukri.
“Wah, menarik juga!” Kata Chot Kelubi. Dia terbayang dapat mengangkut kelubi menggunakan motosikal. Selama ini dia menunggang basikal buruk setiap hari.
“Tapi ada syaratnya,” terang Syed kemudian.
“Apa syaratnya Tuan,” Mat Raya seolah-olah tidak sabar dengan permainan yang dicadangkan oleh anak muda yang baik hati itu.
“Mudah sahaja syaratnya. Tuan-tuan mesti membayar RM100 sebagai bayaran pendaftaran. Saya akan daftar nama tuan-tuan dalam komputer saya. Syed mengeluarkan sebuah komputer kecil dari begnya.
Mail Tongkat Ali tersenyum mendengar syarat tersebut. Perniagaan Tongkat Alinya sekarang maju. Banyak permintaan akar Tongkat Ali oleh pengusaha ubat-ubatan herba, khususnya untuk lelaki. Apalah sangat RM100 itu. Jika dia menang hadiah pertama dia akan mendapat motosikal. Dia membayangkan dirinya menunggang motosikal baharu minggu depan hasil kemenangannya.
“Mail, kamu ada RM100 tak. Bagi aku pinjam, minggu depan aku bayar,” Chot Kelubi berbisik di telinga Mail. Sejak hujan beberapa hari lalu Chot Kelubi tidak dapat ke kaki Bukit Enggang untuk memetik tandan kelubi. Musim-musim begini agak bahaya untuk memetik kelubi kerana beruang madu berkeliaran mencari makanan.
“Apa soalannya?” Senapi Petai memotong perbincangan rakan-rakannya. Dia bimbang teka-teki itu hanya pembohongan. Jika teka-teki itu hanya rekaan dan mereka tidak dapat menjawab, hangus saja wang pertaruhan mereka.
“Ya tak ya! Soalannya berbunyi begini. Ada berapakah bilangan kosong dalam nilai RM43 trilion?” Syed Mukri terus sahaja mengemukakan soalan dengan jelas. “Tak sukar bukan?!” tambahnya. Sepantas kilat otak penduduk kampung berputar ligat untuk mencari jawapan.
“Senang betul soalan ni,” Doman Madu Lebah bersuara tiba-tiba. Dia seolah-olah ada jawapan bagi soalan tersebut dalam kotak fikirannya.
“Jangan bagi tahu jawapan. Tulis sahaja pada borang yang akan saya edarkan. Kemudian tulis nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon. Kami akan hubungi pemenang melalui telefon,” jawab Syed Mukri dengan agak panjang. Dia berdiri untuk mengedarkan borang penyertaan.
Tanpa bertanya banyak, penduduk kampung mula membayar wang untuk mendapatkan borang tekaan. Bukit Enggang benar-benar membawa rezeki. Bukan sahaja kerajaan yang memerintah mendapat berbilion ringgit, rakyat kebanyakan juga dapat berkat.
“Saya akan buka penyertaan ini dua hari sahaja. Esok saya datang lagi. Tolong edarkan borang ini kepada semua penduduk kampung. Tolong ajak kawan-kawan sekali,” Syed memberikan semangat.
Setelah mengisi borang mereka pun menulis bilangan angka kosong yang terdapat pada nilai 43 trilion itu. Ada yang jawab lima, ada yang jawab 10. Masing-masing yakin jawapan mereka betul. Setelah membuat bayaran, mereka memasukkan borang penyertaan di dalam kotak yang disediakan. Nama mereka didaftarkan dalam sistem komputer.
“Esok saya akan datang lagi. Kalau boleh ajak kawan-kawan lain ikut serta. Bukannya apa, Sik akan jadi kawasan yang maju dan kaya raya tidak lama lagi. Elok juga kita raikan dengan aktiviti-aktiviti yang dapat mengeratkan silaturrahim,” Syed Mukri menarik perhatian penduduk.
Benar. Esoknya Syed Mukri datang lagi. Kali ini ramai juga orang kampung yang hadir untuk meneka bilangan kosong yang terdapat angka 43 trilion itu. Ada yang bertanya anak-anak, ada yang melayari laman Google untuk mencari jawapan. Mereka yakin untuk mendapat motosikal idaman.
“Saya akan bawa balik semua borang penyertaan. Saya akan cari pemenang yang menjawab teka-teki dengan tepat. Saya akan datang balik dalam masa dua hari, membawa sekali hadiah yang saya janjikan. Kita akan berjumpa di sini juga,” kata-kata penutup Syed Mukri sebelum bertolak meninggalkan gerai Usup Sik Dalam.
Hari yang ditunggu tiba. Gerai Usup Sik Dalam penuh pengunjung. Mail Tongkat Ali membawa topi keledar walaupun menunggang basikal. Chot Kelubi datang awal dan duduk di meja dam haji. Doman Madu Lebah berpeluh mengayuh basikalnya agar tidak terlewat mendapat keputusan.
Dalam menanti itu, mereka cuba berbincang tentang bilangan kosong yang terdapat dalam angka 43 trilion. Perbincangan itu mencetuskan suasana panik. Ada yang kata lima kosong, ada yang kata lapan kosong, 10 kosong dan lain-lain lagi. Semua jawapan berbeza antara satu sama lain. Semuanya mengharap jawapan pesaing mereka salah. Yang telah meminta anak melayari laman Google berasa yakin akan menang.
Tanpa sedar waktu berlalu dengan lambat sekali petang itu. Mereka ternanti-nanti keputusan teka-teki kosong itu. Mereka tak sabar untuk memenangi hadiah.
Tunggu punya tunggu, kelibat Syed Mukri tidak kelihatan. Petang bertukar menjadi malam. Warung Usup Sik Dalam semakin gelap kerana bekalan elektrik dipotong semalam akibat tidak membayar bil sejak beberapa bulan.
“Aku agak kita dah kena tipu!” kata Usup Sik dengan nada suara lemah. Kata-kata Usup tidak bersambut. Riak wajah masing-masing juga tidak dapat dilihat kerana suasana malam sangat gelap. Yang pasti, seorang demi seorang melangkah gontai meninggalkan warung pinggir jalan itu.
Mereka masih tidak tahu berapakah bilangan kosong pada angka 43 trilion. Masih meneka-neka jawapannya walaupun tahu mereka tidak akan mendapat hadiah. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya