Puok Kito Pulok Berkurung - Utusan Malaysia

Puok Kito Pulok Berkurung

Penjaja masih meneruskan perniagaan masing-masing semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASANYA bukan saya seorang. Ramai yang menggaru kepala yang tidak gatal. Pelik dan hairan bukan sedikit. Banyak sebenarnya persoalan berlegar di fikiran apabila bercakap tentang situasi pandemik Covid-19 di negeri ini.

Kurang lebih dua minggu lalu, kami di Kelantan lega kerana menjadi antara tiga negeri yang tidak termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Semenanjung selama empat minggu.

Digabungkan bersama dua lagi negeri terkecuali iaitu Pahang dan Perlis, warganet yang kreatif mencipta troll kononnya PKPB itu akronim kepada Perlis, Kelantan, Pahang Bebas.

Sebagai negeri yang ‘bebas’, maka bebaslah rakyat Kelantan bergerak tanpa batas. Kami berkenduri-kendara, berhimpun sanak-saudara dan berziarah merapatkan ukhuwah.
Itu belum campur sekeluarga keluar membeli-belah. Belum juga ditambah fenomena kaum wanita sanggup bersesak-sesak demi membeli emas pada harga murah.

Pendek kata, negeri berstatus zon hijau ini meriah dengan pelbagai aktiviti yang dilakukan secara berjemaah.

Padahnya, dalam tempoh tiga minggu, empat kluster baharu dikesan di Kelantan. Kluster Kube diisytihar pada 7 November lalu, Kluster Mengketil (13 November) Kluster Cengal (26 November) dan terbaharu, Kluster Hilir (29 November).

Kebebasan diberi, akhirnya ditarik balik. Kelantan dikenakan PKPB selama dua minggu bermula 21 November lalu dan timbullah troll terkini yang berbunyi, PKPB – Puok Kita Pulok Berkurung.

OPTIMUM

Bagaimanapun, penularan pandemik tidak juga berhenti. Setakat kelmarin, Kota Bharu mencatatkan 43 kes positif, manakala Machang dan Tanah Merah masing-masing merekodkan 29 dan 32 kes positif. Peningkatan mendadak kes menjadikan Kota Bharu kini zon merah manakala Machang dan Tanah Merah zon jingga dan lima daerah lain iaitu Kuala Krai, Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh, zon kuning.

Siapa-siapa pun pasti akan menggaru kepala yang tidak gatal. Ketika Perlis dan Pahang berjaya mengekalkan statusnya sebagai negeri zon hijau, jangkitan Covid-19 di Kelantan pula terus meningkat saban hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Hussin dalam wawancara bersama Kelantan TV berkata, tahap pematuhan rakyat Kelantan terhadap prosedur operasi standard (SOP) belum optimum.

Malah katanya, masyarakat menunjukkan dua sikap berbeza dalam aspek pematuhan SOP menerusi Kluster Mengketil dan Kluster Kube.

“Kementerian Kesihatan mengesan berlaku banyak pergerakan antara daerah dan itu menjadi antara penyebab jangkitan Covid-19 dalam Kluster Mengketil merebak lebih cepat.

“Kluster Kube pula berjaya diputuskan dalam masa singkat kerana keluarga yang terlibat dengannya mengambil inisiatif kuarantin kendiri dan mengurangkan pergerakan masing-masing,” kata beliau.

Untuk rekod, Kluster Mengketil menular pantas di lapan daerah sebelum turut merebak ke Besut, Terengganu. Seramai 41 individu dijangkiti hanya dalam tempoh lima hari selepas kluster itu dikesan.

Kluster Cengal pula dikatakan sama naik dengan Kluster Mengketil. Kluster melibatkan Kota Bharu dan Machang itu merekodkan 15 kes positif dalam tempoh dua hari.
Kluster Hilir yang baru sahaja diisytiharkan pula merekodkan 21 kes positif dalam tempoh lima hari ia dikesan. Kawasan terlibat dengan kluster ini adalah Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.

Ramai bertanya, berbanding PKPB yang masih longgar dari segi kebenaran pergerakan, kenapa tidak dikuatkuasakan sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih tegas dan keras?

“Ketika di peringkat awal serangan Covid-19 dulu, negara kita buat PKP. Ada dua perkara berlaku. Kita berjaya putuskan rantaian Covid-19, namun ekonomi kita pula runtuh.

HAMBAT

“Oleh sebab itu, kerajaan buat PKPB supaya ekonomi kita terus bergerak dan pada masa sama, masyarakat kawal pergerakan masing-masing bagi mencegah penularan Covid-19,” ujar Izani.

Daripada penjelasan beliau, boleh disimpulkan, selagi tidak ada kesedaran untuk mengubah cara hidup dan mengamalkan norma baharu, selagi itu Covid-19 menghambat kita.

Jadi tidak perlulah tunggu kerajaan untuk kuatkuasakan PKP. Apa kata kita sebaliknya, laksanakan sendiri PKP itu bersama keluarga masing-masing. Hadkan pergerakan, tidak usah keluar jika tiada keperluan. Itu lebih molek.

Lagipun, sampai bila kita mahu dihambat Covid-19?

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN