Musim demi musim, dari tahun ke tahun, pesawah sering resah dan gusar kerana nilai hasil jualan dipotong tinggi oleh pengilang kerana padi yang tidak bermutu. Potongan tinggi mengurangkan nilai jualan mereka, lantas menjejaskan keuntungan bersih mereka setelah ditolak kos pengeluaran.
Mengikut petani, jeda potongan harga mencapai antara 20 hingga 70 peratus daripada hasil jualan padi. Kini, petani mengadu purata potongan adalah lebih 30 peratus iaitu hampir sepertiga daripada untung kasar mereka.
Walaupun penjenteraan dalam persawahan padi meningkat, tetapi purata potongan adalah lebih 20 peratus berbanding 14 hingga 17 peratus pada 1970-an dan 1980-an. Huraian berikut memberi beberapa pencerahan ke atas gejala ini.
Masalah yang dihadapi petani adalah ‘ketepatan’ ukuran potongan dan ‘kejujuran’ pengilang dalam meletakkan kadar potongan.
‘Ketepatan’ kiraan kadar potongan merujuk kepada aspek kualiti padi seperti kandungan kelembapan, padi rosak, padi muda dan kandungan butiran bukan padi. Kerajaan ada menyediakan jadual panduan potongan untuk penggunaan pembeli dan petani.
‘Ketepatan’ ukuran kualiti adalah isu saintifik. Ketepatan penentuan kualiti bergantung kepada kaedah pengukuran sama ada menggunakan alat sensor tertentu dan juga secara optikal. Nyata peralatan yang digunakan sekarang tidak begitu meyakinkan kerana ia memberi bacaan berbeza-beza ke atas satu sampel yang sama. Pengilang menggunakan peralatan ini bersama penilaian optikal dan pengalaman.
Masalah ‘kewajaran’ atau ‘kejujuran’ kiraan kadar potongan yang dianggarkan oleh pengilang swasta dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) adalah isu kegusaran petani sekian lama. Petani berpandangan, kebanyakan masa pengilang mengenakan potongan berlebihan daripada yang sepatutnya.
Faktor yang menentukan kualiti padi petani dan anggaran kualiti oleh pembeli adalah berbeza. Kualiti padi petani ditentukan oleh pelbagai dimensi. Pertama, cuaca. Kedua, amalan persawahan. Ketiga, mesin penuaian dan keempat, ketersediaan insentif untuk mengering. Impak faktor cuaca adalah di luar kawalan petani seperti hujan, banjir, kemarau, serangan penyakit dan perosak.
Amalan persawahan merangkumi kualiti benih, pengurusan air, penggunaan baja. Amalan pertanian lapuk menyebabkan tuaian muda, tuaian basah dan pengasingan hampa tidak cekap.
Penggunaan mesin tuai gandum yang sangat besar ke atas sawah kecil memberi pelbagai kesan. Selain merosakkan tanah, kadar tumpahan atau kehilangan padi sebanyak 20 peratus di sawah. Ini mengurangkan kuantiti jualan padi mereka kepada pengilang. Juga, oleh kerana bilangan mesin tuai terhad, petani terpaksa membayar kepada penyedia khidmat mesin tuai sama ada mengikut berat padi atau mengikut jam. Oleh kerana padi harus dituai dengan cepat, maka petani terdesak menuai padi dalam jangka waktu yang pantas untuk mengelakkan hujan dan penurunan kualiti.
Lantas, kegiatan menuai tergesa-gesa ini bukan satu proses yang terancang dan cekap.
TERDESAK
Petani tidak memiliki insentif untuk mengering padi kerana kos mesin pengeringan tinggi dan keterdesakan wang untuk membayar hutang. Peranan Bernas sebagai pembeli terakhir padi yang bermutu rendah adalah polisi yang menggalakkan petani mengabaikan keperluan pengeringan di tahap sawah. Ini kerana Bernas akan membeli padi yang tidak berkualiti pada apa jua tahap.
Lazimnya, kos padi yang tidak bermutu dipindahkan kepada pengguna melalui kegiatan mencampurkan beras hancur dengan beras bermutu untuk mempertahankan margin.
Sebaliknya, anggaran kadar potongan padi oleh pengilang bergantung kepada faktor berikut:
Pertama, situasi pasaran beras dan kesannya ke atas margin. Jika inventori beras dalam pasaran adalah tinggi (termasuk beras import, ini akan mengurangkan margin mereka). Dalam situasi sebegini, pengilang akan mengenakan kadar potongan yang tinggi untuk memelihara margin mereka. Ketidaktepatan kaedah mengira kualiti padi hanya memudahkan pengilang untuk manipulasi kadar potongan.
Kedua, kadar potongan juga ditentukan oleh harga runcit. Semenjak kenaikan Harga Minimum Terjamin (HMT) daripada RM750 kepada RM1,200 setan pada 2014, margin pengilang menguncup kerana harga runcit beras tidak berubah.Iaitu harga cukai jualan dan perkhidmatan (SST) lima peratus adalah RM2.60 sekilogram (sekg.) dan SST 10 peratus, RM2.40 sekg. Maka pengilang menggunakan kadar potongan paadi untuk menjaga margin keuntungan mereka. Ambil maklum juga, kenaikan HMT telah menutup kebanyakan kilang kecil beras. Dalam kata ringkas, polisi harga juga menyumbang kepada masalah isu potongan padi ini.
Ketiga, kuasa pasaran pengilang. Berbeza dengan sektor kilang beras pada 1970-an di mana terdapat banyak kilang koperasi kecil (berjumlah hampir 1,000 buah). Sebaliknya, sektor kilang semasa adalah sangat berpusat atau concentrated iaitu sekitar 200 kilang, iaitu lazimnya petani tidak memiliki pilihan yang banyak untuk menjual padi. Dengan kuantiti padi yang kecil, petani tidak setaraf dengan kilang besar untuk berunding atau menentang keputusan muktamad pengilang kerana tiada pilihan lain.
Malangnya, isu dan keresahan penting ini tidak berlapikkan data yang jitu. Tiada rumusan data berterusan mengenai potongan padi bulanan atau tahunan dan trend, ikut kawasan, varieti padi, pengilang swasta dan Bernas. Data hanya dikeluarkan apabila petani membuat aduan di media. Data ini perlu dianalisis dari semasa ke semasa dan telus kepada kesemua pihak termasuk petani, pengilang dan kerajaan untuk mendapat gambaran jelas isu ini dan memantau situasi.
KOPERASI
Bernas yang bertanggungjawab dalam mengagihkan subsidi harga padi kepada petani memiliki data ini. Maka adalah wajar supaya analisis yang dicadangkan di atas dibuat demi ketelusan untuk semua. Jalan penyelesaian terletak kepada perkara berikut:
Pertama, petani perlu digalakkan mengering padi sendiri sama ada menggunakan mesin kering kecil melalui koperasi atau Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Kedua, perkenalkan semula kilang beras kecil untuk kegunaan petani sama ada secara persendirian atau koperasi, kumpulan petani dan PPK. Ini untuk meningkatkan persaingan dan memberi peluang kepada petani menambahkan pendapatan dalam kegiatan nilai tambah. Apabila persaingan wujud, kadar potongan akan menjadi ‘kompetitif’ dan tidak mudah dimanipulasikan kerana ramai pesaing. Pada masa sama, lebih ramai pengilang, keuntungan dikongsikan oleh ramai peserta dan tidak terbatas kepada pegilang besar sahaja.
Dicadangkan supaya insentif diberi kepada kumpulan untuk membeli mesin pengering kecil dan/atau mesin beras. Insentif dan latihan diberi supaya koperasi petani menjadi lebih efektif untuk menggalakkan petani bersepadu tenaga dan sumber untuk menceburi kegiatan nilai tambah.
Ketiga, dicadangkan supaya mesin tuai padi yang kecil dan sederhana diuji dan digunakan, bukan lagi mesin gandum besar-besar dan usang. Ini akan membolehkan petani merancang dan mengawal kualiti.
Keempat, kawalan kuantiti perlu dipantau supaya tidak menyebabkan lambakan sehingga mendorong pengilang meninggikan potongan kerana beras import lebih murah untuk dibungkus dan dijual.
Keempat, aplikasi block chain adalah penyelesaian terbaik untuk mewujudkan ketelusan dan kecekapan sistem. Oleh kerana teknologi ini masih jauh untuk difahami oleh peserta pasaran, dicadangkan supaya satu applikasi dibina iatu Aplikasi Potongan Padi untuk merekodkan kadar potongan yang dijangkakan oleh petani, dikira oleh alat pengesan mutu padi dan kadar potongan ditetapkan oleh semua pengilang.
Faedah aplikasi ini adalah:
i) mengetahui perbezaan anggaran potongan padi oleh petani yang dicaj oleh pengilang.
ii) meneliti pola dan variasi potongan padi ikut lokasi, masa, varieti padi dan kilang.
iii) memantau amalan potongan yang tinggi dalam kalangan pengilang.
Nyata, isu pemutuan padi bukan bererti menyediakan jadual potongan dan kawalan tetapi melibatkan perubahan struktur seperti keperluan persaingan, memperbaiki amalan persawahan, penggunaan mesin atau jentera yang sesuai dengan saiz sawah dan insentif untuk petani untuk mengering dan mengilang beras.
Profesor Datin Fatimah Mohamed Arshad ialah Ketua Kluster Sekuriti dan Keselamatan Makanan, Akademi Profesor Malaysia (APM).










