Pengajaran polemik Melayu 1939 - Utusan Malaysia

Pengajaran polemik Melayu 1939

TERDAPAT pendapat menyatakan orang berketurunan Arab tidak layak mengisytihar dirinya ‘Melayu’. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK 1957, sebarang pertikaian dan kekeliruan mengenai definisi ‘Melayu’ boleh diselesaikan secara mudah dengan merujuk Perkara 160 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, tidak salah jika kita cuba meneliti kontroversi dan polemik yang muncul pada 1939. Pada waktu itu, Singapura, Pulau Pinang dan Melaka dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat, manakala Negeri-Negeri Melayu Bersekutu terdiri daripada Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang.

Kontroversi timbul susulan mesyuarat penubuhan Persatuan Melayu Singapura (Singapore Malay Association) pada Jun 1939. Sebelum itu, sudah ada Persatuan Melayu Pulau Pinang sejak 1927. Kesatuan Melayu (Malay Union) pula diasaskan di Singapura pada 1926 bagi menjaga kebajikan masyarakat Melayu.

Dalam ucapannya pada mesyuarat penubuhan Persatuan Melayu Singapura, N.M. Hashim selaku penaung menyatakan, persatuan serupa akan diusahakan di Melaka dan Labuan. Pada masa sama, sudah ada cawangan Kesatuan Melayu di Melaka dan Pulau Pinang.

Persatuan Melayu Perak diasaskan pada 1937, manakala persatuan serupa ditubuhkan di Pahang dan Selangor pada 1938. Persatuan Melayu Singapura mendapat kritikan pelbagai pihak apabila ia mengeluarkan kenyataan membidas Kesatuan Melayu yang dituduh tidak bersifat inklusif.

INDO-MALAYA

Beberapa individu mula membahaskan topik itu di akhbar The Straits Times dan Malaya Tribune. Pada mulanya, dipersoalkan mengapa perlu ada persatuan baharu sedangkan sudah ada Kesatuan Melayu bagi menjaga kepentingan Melayu.

Apabila polemik ini diteliti, isu sebenar semakin jelas dan nyata. Kesatuan Melayu mensyaratkan ahli mestilah orang Melayu dan beragama Islam. Keturunan bapa individu yang mahu menjadi ahli mestilah orang Melayu.

Secara mudah, Kesatuan Melayu mewakili golongan Melayu jati (pure Malay) dan golongan ‘anak dagang’ iaitu keturunan Aceh, Banjar, Boyan, Bugis, Jawa, Mandailing, Minangkabau, dan sebagainya dari Gugusan Kepulauan Melayu.

Syarat di atas menyebabkan permohonan sekelompok individu India Muslim tidak diluluskan. Hal ini dikatakan menjadi asas kepada penubuhan Persatuan Melayu Singapura. Persatuan Indo-Malaya bagi orang India yang lahir di Malaya pula hanya diasaskan pada Oktober 1939.

Omar Mohamed Salleh selaku Setiausaha Kehormat Persatuan Melayu Singapura tampil memberi penjelasan. Katanya, Kesatuan Melayu bersikap terlalu eksklusif dalam mendefinisi ‘Melayu’ sehingga menyebabkan individu yang lahir di Singapura, beragama Islam dan mengamalkan budaya Melayu tidak diterima menjadi ahli.

Hal ini berbeza dengan Persatuan Melayu Pulau Pinang yang dipimpin golongan India Muslim. Menurut Omar, Persatuan Melayu di negeri-negeri lain bersikap terbuka dalam definisi ‘Melayu’ serta tidak sependapat dengan definisi sempit Kesatuan Melayu.

ARAB

Bagi Persatuan Melayu Singapura, sesiapa yang beragama Islam dan mengamalkan budaya Melayu layak dianggap sebagai ‘Melayu’. Pandangan ini tidak diterima seorang pembaca The Straits Times yang mengaku dipelawa menjadi ahli persatuan itu. Katanya, beliau berketurunan Arab dan merupakan generasi kelima di Singapura. Akan tetapi, beliau tetap tidak layak mengisytihar dirinya ‘Melayu’.

Seorang lagi pembaca, A.A. Khan mengaku mengenali Omar sejak zaman sekolah, malah mengenali ibu bapa, datuk dan neneknya. Khan mencadangkan Omar menubuhkan Persatuan India Muslim kerana lebih tepat dengan identiti dirinya. Khan menasihati Omar agar tidak ‘mengejar’ status yang menjadi milik orang Melayu.

Amat Abdullah, seorang mualaf menyindir dengan bertanya, apakah beliau juga layak menjadi ahli Persatuan Melayu Singapura kerana beragama Islam, menggunakan bahasa Melayu, dan mengamalkan budaya Melayu? Pada masa sama, Amat juga layak menjadi ahli persatuan Cina kerana keturunannya tetap Cina.

Seorang lagi pembaca India Muslim yang tidak mahu menuntut hak ‘Melayu’ membidas sikap Omar yang disamakan dengan umang-umang, iaitu ketam laut yang menumpang sarang kulit siput, lalu dikatakan miliknya. Katanya, Omar sebagai orang India Muslim tidak berhak menuntut hak orang Melayu.

Ada pula pembaca yang mengirim surat dan meminta Omar menyatakan definisi ‘Melayu’ yang diguna pakai Persatuan Melayu Singapura. Apa yang dibimbangkan adalah kemungkinan definisi dan syarat keahlian terlalu longgar sehingga persatuan itu tidak lagi mewakili orang Melayu seperti diharapkan.

PENGHULU

Sha-Di-Man dalam mengutarakan pandangannya di The Straits Times menggunakan istilah pure Malays bagi Melayu jati dan declared Malays bagi orang Melayu mengikut takrif undang-undang.

Katanya, Kesatuan Melayu dengan keahlian lebih 2,000 orang sudah cukup kukuh dan tidak mengharapkan sokongan daripada golongan yang tidak dapat disahkan sebagai Melayu.

Ada pula pembaca memberikan contoh, jika orang Afrika atau Rusia yang nenek moyangnya lahir di Malaya, beragama Islam dan mengamalkan budaya Melayu, mereka masih tidak boleh diiktiraf sebagai orang Melayu.

Penjelasan Ahlan Wasahlan (The Straits Times, 11 Ogos 1939) menunjukkan, terdapat definisi ‘Melayu’ yang berbeza mengikut negeri. Seorang individu yang mengaku ahli Kesatuan Melayu dan penganjur (promoter) Persatuan Melayu Singapura cuba mempersoalkan status ‘kemelayuan’ Raja-raja Melayu, pemimpin Melayu, ahli majlis pada peringkat Persekutuan dan negeri, pegawai Melayu dalam perkhidmatan awam dan para penghulu di Tanah Melayu.

Mujurlah menjelang Ogos 1957, definisi ‘Melayu’ sudah jelas termaktub dalam Perlembagaan, sekali gus menutup sebarang kritikan dan tafsiran berbeza. Namun begitu, polemik yang berlaku pada 1939 wajar diambil sebagai pengajaran berguna.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN