PENULISAN kali ini memfokuskan tentang warga Rusia pertama menjejakkan kaki ke Tanah Melayu, iaitu Miklouho-Maclay Nikolai Nikolaevich (1846-1888). Ia berdasarkan pengkajian cicit saudara kepada Maclay, Nickolay Nikolaevich Miklouho-Maclay. Menarik bukan apabila kita disajikan dengan pengkajian daripada ahli keluarganya sendiri?
Cicit saudara penjejak Rusia pertama di Tanah Melayu ini lahir pada 1973 di Leningrad (kini Saint-Petersburg). Pada hujung 2016, beliau mengasaskan Yayasan Miklouho-Maclay bagi menjaga warisan etnobudaya. Misi persatuan ini ialah melindungi tradisi dan memupuk rasa hormat terhadap nilai dan budaya masyarakat dunia. Mereka juga menjalankan kajian saintifik dan mempromosi idea kemanusiaan Maclay.
Menurut Nickolay, hubungan antara rakyat Malaysia dan Rusia bermula sejak akhir abad ke-20, iaitu sebelum hubungan Malaysia dan Rusia terjalin secara rasmi pada 3 April 1967. Maclay yang merupakan seorang saintis kemanusiaan dan pengembara menetap di Tanah Melayu selama enam bulan antara 1874 hingga 1875. Beliau tinggal mengikut prinsip masyarakat dan menghormati budaya serta tradisi penduduk tempatan. Maclay turut melindungi keunikan tradisi dan budaya di samping berjuang mempertahankan hak-hak Orang Asli di Asia Tenggara dan Oceania. Beliau menjalankan penyelidikan etnografi dan antropologi di Asia Tenggara dan Oceania (Melanesia, Polynesia, Micronesia) selama lebih 15 tahun.
PERHAMBAAN
Namun, kebanyakan kerja-kerjanya menumpukan kepada penduduk di New Guinea yang mana beliau menetap di sana lebih dua tahun. Beliau juga melawat kawasan tersebut sebanyak tiga kali (1871-1872, 1876-1877 dan 1883). Maclay berjaya menjalinkan talian persahabatan dan menjaga hubungan baik dengan penduduk di sana termasuk mempelajari bahasa mereka. Disebabkan kebaikan dan sikap hormat Maclay, maka beliau memenangi kepercayaan dan disukai penduduk tempatan.
Sewaktu zamannya, para saintis Barat bertungkus lumus cuba membuktikan manusia tidak setaraf hanya semata-mata untuk menghalalkan konsep perhambaan bagi tujuan penjajahan. Idea yang menyimpang ini sama sekali tidak dapat diterima oleh Maclay. Beliau mendakwa mental dan fizik masyarakat tempatan di sana sama sekali tidak berbeza dengan orang-orang Eropah.
Maclay membuktikan kepada dunia bahawa tidak ada mana-mana bangsa yang lebih hebat atau berkuasa, semua sama rata.
Sejarah Maclay berkelana di Tanah Melayu bermula pada 1874 apabila beliau tiba di Johor. Sultan Johor waktu itu, Sultan Abu Bakar menjemput Maclay untuk tinggal di istananya yang terletak di Johor Bahru.
HUTAN
Sebelum beliau memulakan ekspedisi ke seluruh Tanah Melayu, Sultan Johor memberikan Maclay sekeping dokuman keselamatan bagi membolehkannya dibantu oleh para pegawai dan ketua kampung untuk menerokai hutan dan apa sahaja bentuk pengkajian yang ingin dijalankan.
Pada 15 Disember 1874, Maclay mengembara ke seluruh Tanah Melayu bermula dari Melaka. Dalam pengembaraan tersebut, Maclay mengkaji secara terperinci tentang cara hidup, budaya dan tradisi orang Melayu. Dengan penuh berhati-hati, beliau menyusun sebuah kamus yang mencatatkan perkataan-perkataan utama dialek tempatan. Maclay mempelajari bahasa Melayu sewaktu berada di Melaka.
Dua bulan kemudian (Februari 1875), Maclay kembali ke Johor Bahru. Akhbar tempatan menemu ramah Maclay bagi mengetahui tentang pengembaraannya.
Disebabkan masalah kesihatan, Maclay terpaksa menangguh pengembaraan keduanya ke Tanah Melayu untuk beberapa bulan. Bagaimanapun, sewaktu berada di Johor Bahru, Maclay tidak membuang masanya, sebaliknya sibuk menyusun rekod-rekod pengembaraan sebelum ini dan meneruskan penulisan manuskrip Etnologi masyarakat Papua di New Guinea yang menjadi sebuah rujukan penting kepada dunia.
Saya pernah menulis dalam artikel sebelum ini bahawa Maclay menghabiskan masa selama 165 hari menjelajah Tanah Melayu.
Pada 2017, Kedutaan Besar Persekutuan Rusia di Malaysia menghadiahkan sebuah patung ukiran wajah Maclay kepada kerajaan Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan kedua-dua negara. Orang ramai boleh melihatnya di Balai Seni Visual Negara.
ASEAN
Pada 5 November lalu, Yayasan Maclay dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Persekutuan Rusia melancarkan sebuah projek, Budaya Rusia dan legasi mereka di seluruh dunia. Projek ini dilancarkan secara dalam talian kepada warga Rusia dan masyarakat ASEAN. Pada 29 November lalu pula, Kedutaan Besar Persekutuan Rusia di Malaysia dan Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia di Kuala Lumpur (RCSC Malaysia) mengadakan persidangan dalam talian mengenai Maclay yang disertai lebih 200 orang.
Saya berharap para pengkaji sejarah di Malaysia dapat membuat pengkajian lebih terperinci tentang Maclay kerana ia merupakan ilmu yang sangat penting dan begitu berharga untuk sejarah negara.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia-Rusia.










