Isu perpaduan – di mana penghujung? - Utusan Malaysia

Isu perpaduan – di mana penghujung?

Sekiranya kita berjaya menerima perbezaan dan persamaan antara kaum dan etnik, maka kita akan mampu bergerak ke hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ERPADUAN merupakan isu yang tidak mungkin akan habis dibincangkan. Cabaran besar bagi semua rakyat selain isu ekonomi, tentulah isu perpaduan antara kaum yang semakin terhakis.

Menguruskan isu perpaduan di negara majmuk seperti Malaysia bukan sahaja perlukan formula tetapi memerlukan satu mantera.

Lantaran itu, perbahasan Belanjawan 2021 berkenaan peruntukan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di Parlimen pada 26 November lalu adalah sesuatu yang menarik untuk diamati. Masakan tidak, peruntukan yang dibahaskan untuk program di bawah KPN adalah berjumlah RM423 juta daripada jumlah keseluruhan bernilai RM69 bilion dalam Belanjawan 2021.

Dalam perbahasan peringkat jawatan kuasa ini terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen. Antaranya, berkisar tentang Dasar Perpaduan Negara, Pelan Tindakan Perpaduan Negara dan Indeks Perpaduan Negara. Isu-isu ini dijawab sendiri oleh Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Perbahasan mengenai perpaduan juga selalu akan dibahaskan seiiring isu hak asasi manusia. Cabaran mengimbangi kebebasan untuk bersuara dan kebebasan untuk menerima keunikan masyarakat lain. Ini juga menyebabkan rakyat terlupa untuk membaca dan menerima naratif dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang seiiring dengan sejarah asal negara ini.

Lalu bagaimanakah cara kita menangani isu perpaduan setelah enam dekad kita bebas daripada penjajahan? Adakah pendekatan secara undang-undang keras (hard law) berkesan dalam memupuk perpaduan? Ataupun pendekatan undang-undang secara tersirat (soft law) dilihat lebih efektif dalam menangani isu perpaduan? Oleh itu, tidak dapat dinafikan peranan KPN amat signifikan dalam keadaan semasa.

Masalah perpaduan melangkaui toleransi antara kaum dan agama. Ia meliputi penerimaan masyarakat terhadap sesuatu yang berbeza. Sekiranya kita berjaya menerima perbezaan dan persamaan antara kaum dan etnik, maka kita akan mampu bergerak ke hadapan. Formula ini bukanlah sesuatu yang rahsia. Ia sudah diketahui umum, cuma persoalannya adalah mengapa masih tidak berjaya? Negara ini memiliki pelbagai peruntukan perundangan untuk menjaga ketenteraman awam. Namun, semua dilihat masih belum mampu mengekang penularan virus perkauman ini.

COVID-19

Isu Islamofobia di negara ini misalnya, masih lagi berlaku dan berleluasa. Diskriminasi atas faktor agama dan kaum tetap terus berlaku dalam masyarakat. Malah sebagaimana yang pernah dilaporkan dalam akhbar, di tempat kerja masih terdapat pekerja beragama Islam yang dinafikan hak untuk mengamalkan agama. Ini merupakan isu yang perlu ditangani oleh kerajaan dengan baik. Sekiranya gagal, rakyat akan berada dalam keadaan prejudis antara satu sama lain.

Pengamal media juga bertanggung jawab dalam mempromosikan isu perpaduan dengan lebih berhemat. Mungkin pengamal media boleh hadir dan melibatkan diri dalam proses mengenal kaum, agama dan sensitiviti sebelum beramal sebagai wartawan berwibawa. Tidaklah timbul isu padanan imej yang mewakili orang Islam dalam mana-mana berita negatif terus berlaku.

Isu Covid-19 menyerlahkan sisi sebenar tahap perpaduan di negara ini. Secara jujurnya, kebanyakan rakyat boleh sahaja bersatu dan berpadu dalam berhadapan pandemik ini. Bantuan diberikan tanpa mengira warna kulit, etnik dan kaum oleh sesiapa sahaja. Lalu persoalan yang perlu dijawab, siapakah yang bertanggungjawab menyemarakkan isu perkauman dan Islamofobia di Malaysia?

Apapun, rakyat menantikan pelaksanaan dasar dan tindakan daripada KPN bagi memanfaatkan peruntukan jutaan ringgit yang sudah dikhususkan dalam Belanjawan 2021. Dengan peruntukkan diberikan, rakyat umumnya mengharapkan satu keadaan harmoni, selesa dan tenang diwujudkan di negara ini. Rakyat sebenarnya lelah dengan keadaan semasa negara. Dibebankan dengan kos sara hidup, diancam kehilangan pekerjaan atau pendapatan, dirunsingkan dengan percaturan angka-angka politik dan pelbagai lagi masalah yang memberikan kesan kepada kehidupan seharian rakyat. Justeru, janganlah ditambah lagi beban rakyat untuk berhadapan isu perkauman pula.

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (Wilayah Persekutuan) dan Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN