Berdebar! Perasaan bercampur baur apabila editor mengarahkan saya membuat liputan misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Aceh, Indonesia selepas seminggu dilanda tsunami pada 26 Disember 2004. Apatah lagi keadaan ngeri di sana akibat kemusnahan terpampang dalam media massa setiap hari.
Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di Pelabuhan Krueng Geukueh di Lhokseumawe dengan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Mahawangsa, tidak nampak pula sebarang kesan bencana.
Rasa kecewa, sebab selepas menempuh pelayaran selama tiga hari, semua itu tidak dapat dilihat di depan mata. Namun terfikir juga, mungkin kedudukannya yang jauh dari Banda Aceh, iaitu kira-kira 300 kilometer (km) membuatkan kawasan tersebut terselamat.
Misi penghantaran barangan keperluan berjumlah 550 tan sumbangan rakyat Malaysia daripada segenap lapisan itu kemudian diteruskan menerusi jalan darat dengan trak tentera. Konvoi kami diiringi kereta perisai Tentera Nasional Indonesia (TNI) berikutan terpaksa menempuh beberapa kawasan kubu kuat Gerakan Aceh Merdeka (GAM).
Tiada apa yang menarik untuk dilihat sepanjang perjalanan kerana sudah lewat malam, lalu saya melelapkan mata.
Tiba-tiba saya terjaga. Terjaga bukan sahaja kerana hari sudah siang dan menghampiri Banda Aceh, tapi bau yang sangat meloyakan. Saya menjenguk ke luar, nampak jentolak sedang menolak mayat-mayat mangsa tsunami ke dalam sebuah lubang besar dan panjang,
Di dalam kubur itu sudah ada ratusan, mungkin ribuan mayat lain. Dicatatkan, 46,718 mayat ditanam di situ.
Kami kemudian menyusuri ibu kota wilayah Aceh itu. Waktu itu, kerja-kerja pembersihan sedang giat dilakukan oleh pihak berkuasa, orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan. Nampak kesan lumpur yang mengering pada bangunan dan jalan raya. Juga sisa-sisa runtuhan dan sampah sarap. Keadaannya tak ubah seperti sebuah kota yang musnah akibat peperangan.
Di kawasan-kawasan yang ditakungi air, masih ada mayat-mayat terapung. Lori-lori pula sibuk berulang-alik mengangkut mayat. Sayu melihat semua itu. Dan bau mayat-mayat mangsa tsunami itulah yang dihidu sepanjang dua hari saya di Banda Aceh. Saya sendiri sudah lali dengan bau tersebut hinggakan tidak perlu lagi menekup hidung seperti hari pertama tiba.
Meskipun sudah 16 tahun berlalu, pengalaman tersebut masih segar dalam ingatan saya.
POKOK KELAPA
Wilayah Aceh terletak di utara Sumatera merupakan kawasan paling teruk dilanda tsunami pada 26 Disember 2004. Lebih 130,000 penduduknya disahkan terbunuh manakala 37,063 lagi hilang.
Hanya antara 15 dan 20 minit selepas gempa bumi bersaiz 9.1 pada skala Richter, ombak raksasa setinggi 30 meter atau sama paras dengan pokok kelapa seperti diceritakan saksi-saksi yang dicetuskan oleh gegaran melanda kawasan pesisir pantai Indonesia khususnya Banda Aceh. Ombak tsunami yang mempunyai kelajuan seperti sebuah pesawat bergerak sehingga 5,000 km menyebabkan kerosakan serta kematian sehingga pesisir timur Afrika.
Ia merupakan tsunami paling ganas pernah direkodkan. Ia dikatakan menghasilkan tenaga menyamai 23,000 butir bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun pada Perang Dunia Kedua.
Tsunami tersebut merupakan antara bencana alam terburuk dalam sejarah manusia. Ia mengorbankan lebih 230,000 orang dari 14 negara termasuk Malaysia. Indonesia mencatatkan angka korban tertinggi, kira-kira 170,000 orang, diikuti Sri Lanka (35,322 orang), India (18,045 orang) dan Thailand (8,212 orang) manakala kematian di negara-negara lain di bawah 100 orang.
Di Malaysia, sebanyak 68 orang disahkan terbunuh manakala enam lagi dilaporkan hilang dan lebih 5,000 hilang tempat tinggal. Empat negeri menerima kesan iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Pulau Pinang mencatatkan kematian tertinggi iaitu 52 orang, Kedah (12 orang), Perak (2 orang) dan Selangor seorang.
Tragedi ini meninggalkan kesan amat mendalam kepada kita. Ia menjadikan kita lebih berwaspada. Setiap kali berlaku gempa bumi di negara-negara jiran, pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan untuk memaklumkan kita tentang situasi semasa.
Saya mahu menyentuh kata-kata hikmat pada tugu di kubur panjang yang saya ceritakan tadi. Ia boleh dilihat hari ini: Bencana kita sabari, nikmati kita syukuri, banyaklah orang akan bahagia.
Begitulah digambarkan betapa pilunya mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam tragedi tersebut. Namun, yang masih bernyawa perlu bangkit untuk meneruskan kehidupan meskipun tiada insan tersayang di sisi.
Moga sejarah hitam ini tidak berulang.










