Bahasa jelik tanda tiada adab - Utusan Malaysia

Bahasa jelik tanda tiada adab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bentuk bahasa yang kita gunakan sesungguhnya sebahagian daripada diri, malah bahagian penting kerana ia cara berbahasa dipelajari atau diajar yang ada kaitan pula dengan latar sosial kita. Ini jelas tercermin dalam kehidupan kita.

Sehubungan itu, perkataan yang digunakan adalah paparan kepada kehidupan kita, yakni banyak perkara tentang cara hidup boleh dikenali pasti dan disahihkan daripada perkataan yang digunakan. Antaranya termasuklah bagaimana kita membesar serta apakah nilai yang dipegang.

Oleh itu, penting sekali kita mendidik anak-anak untuk berlaku sopan semasa menggunakan bahasa untuk kebaikan semua pihak, khususnya berhemah kepada yang diajak bercakap selain memperlihat kehemahan pada diri sendiri. Ini kerana dengan berlaku sopan, kita sebenarnya bukan sahaja sedar, kita juga menghormati perasaan pihak lain.

Melalui kesopanan, hubungan kita dengan pihak lain juga dapat dipertingkat. Lebih penting lagi, kesopanan dapat menaikkan harga diri serta keyakinan kita selain memperbaiki kemahiran berkomunikasi kita.

Dengan kata lain, kesopanan sebagai penerapan kelakuan baik dan etika untuk tidak menyinggung perasaan pihak lain, sama ada melalui bahasa atau tingkah laku adalah sikap penting yang perlu dipupuk. Oleh itu, amat mustahak untuk kita berlaku sopan pada setiap masa untuk pelbagai kebaikannya. Antaranya yang terpenting ialah merendah diri, yakni tidak sombong dan angkuh.

Dengan ini, kita akan bertimbang rasa dan berlaku adil kepada pihak lain.

Tanpa kelakuan baik dan juga etika, kita dilihat sebagai tidak ada kesopanan. Sehubungan itu, cara hidup mendedahkan perangai kita sebagai haiwan dan tidak lagi selaku manusia. Hal ini benar sekali kerana bukan sahaja kesopanan itu membezakan manusia dengan haiwan, ia ikut memperlihat penaakulan munasabah manusia dalam menangani masalah sesama manusia dan juga dengan yang lainnya, termasuklah terhadap haiwan.

ANJING TERSEPIT

Beberapa kejadian di Parlimen bersabit penggunaan bentuk bahasa yang sengaja mengenepikan kesopanan, sesungguhnya memperlihat bukan sahaja tiadanya adab dalam kalangan anggota Parlimen. Lebih mudarat lagi, ia menunjukkan sisi haiwan pada sesetengah mereka kerana langsung tidak berakal panjang.

Menyerang barisan hadapan bertarung nyawa bagi memerangi krisis kesihatan dahsyat melanda negara melalui penggunaan bentuk bahasa yang bukan sahaja kesat tetapi menghina pula, pertama-tamanya ibarat melepas anjing tersepit, yakni tidak tahu membalas jasa orang yang menolong kita.

Sebarang masalah yang wujud dalam krisis ini sepatutnya dibincangkan dengan baik. Sebaliknya, bentuk bahasa kasar lagi hina yang dilemparkan. Ini sebenarnya boleh memburukkan lagi keadaan dengan merumitkan krisis itu dan menjadikannya konflik yang sukar untuk ditangani bagi kebaikan kedua-dua pihak selain untuk rakyat jelata.

Bukan sahaja mujur, tetapi sebab pihak yang diserang itu berhemah dan tinggi pula budi pekertinya, maka konflik itu tidak berlaku. Ini kerana kesopanan yang dimiliki dan diperlihat pihak diserang itu bukan sahaja bersifat penuh manusiawi dengan kewarasan ummah tinggi, ia mulia sekali dengan diiringi pula segala sikap merendah diri. Ini berlaku antaranya kerana pembawaan diri.

Oleh itu, kita hendaklah selalu menjaga tutur kata selain tingkah laku untuk memperlihat pembawaan diri yang baik. Ini kerana bentuk bahasa sopan yang kita gunakan dapat memperlihat sikap sosial dan lebih penting lagi resam moral kita terhadap pihak lain dan juga pada diri kita sendiri.

Perkara paling mudarat tentang penggunaan bentuk bahasa tidak sopan, sama ada untuk tujuan menyinggung, mengancam atau menyerang, ialah ia boleh membawa kepada konflik terbuka yang boleh pula mencetuskan keganasan. Ini kerana individu atau kelompok disasarkan itu mempunyai sanak dan kenalan serta ahli kabilah yang akan ikut terasa emosinya untuk bangkit bertindak agresif.

KENDIRI

Mungkin yang berlaku di Parlimen itu adalah strategi anggota Parlimen untuk mendapat perhatian kerana akan disiarkan dalam media, namun ia memperlihatkan kelemahan diri sendiri! Oleh itu, jauhilah bentuk bahasa tidak sopan yang boleh mendedahkan banyak kelemahan kendiri, khususnya tertib yang penting dalam adab kita.

Kadangkala kita tidak menyedari jeliknya bentuk bahasa yang kita gunakan itu sehingga diberitahu. Apabila ini berlaku, kita hendaklah berjiwa besar untuk cepat-cepat mengakuinya dan bersedia memohon maaf. Inilah semulia-mulianya adab untuk memperlihat kehemahan kendiri yang tinggi, selain untuk ikut menjaga kesantunan dan moraliti awam yang sangat penting untuk kelestarian ketenteraman awam.

Sebenarnya, penggunaan bentuk bahasa tidak sopan adalah ancaman bukan sahaja kepada masyarakat dan negara tetapi juga kepada peradaban kita. Ini kerana ia bukan sahaja tidak selari dengan prinsip kelima Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Ia juga akan ditirukan oleh generasi muda setelah melihatnya dilakukan secara sekehendak hati oleh golongan dewasa, lebih-lebih lagi oleh kalangan kepimpinan negara dan di Parlimen pula.

PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN