Wujud kerajaan perpaduan - Utusan Malaysia

Wujud kerajaan perpaduan

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

JIKA awal-awal dahulu semasa Covid-19 menyerang, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah meneruskan dasar-dasar yang diper­kenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkaitan pandemik itu dan ia seolah-olah hasil pemikirannya.

Begitu juga dengan pemberian wang bantuan kepada rakyat. Amat terang bahawa sudah pasti kerajaan PN tidak berupaya mengumpul dana sebanyak itu dalam tempoh sebulan dua memerintah.

Pasti duit itu sudah terkumpul dalam tempoh 22 bulan pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan PH.

Kini terbukti bahawa kerajaan PN tiada idea mahupun keupayaan kepimpinan. Apabila serangan pandemik Covid-19 hadir pusingan ketiga, kerajaan PN seolah-olah buntu dan tiada strategi untuk menanganinya. Hari demi hari jumlah jangkitan diiringi kematian bertambah.

Mujurlah ada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noorhisham Abdullah yang masih mampu memberi hala tuju untuk menangani pandemik ini.

Yang lebih merisaukan ialah kedudukan kerajaan PN yang ibarat telur di hujung tanduk. Setiap hari diugut oleh UMNO sekiranya PN mahu kekal sebagai kerajaan.

Pada ketika ini, isu perjuangan Melayu-Islam tidak lagi kedengaran. Isu anggota bomba yang terbunuh ketika rusuhan, Buy Muslim First, tulisan Jawi, bantuan kepada sekolah Cina dan lain-lain yang menimbul kemarahan orang Melayu kepada kerajaan PH senyap.

Kerajaan PN pula tidak mahu mengaku tersilap langkah kerana telah membentuk kerajaan bersama UMNO yang mempunyai ramai ahli Parlimen.

Kleptokrat-kleptokrat sedang berleluasa untuk merencana hala tuju politik negara, bukan untuk kebaikan rakyat tetapi bagi kepentingan diri dan bagaimana mengelak dari dikenakan hukuman oleh mahkamah.

Kerajaan PN dan penyokongnya menyeru ahli politik lain supaya kurangkan berpolitik tetapi mereka sendiri tidak berhenti berpolitik. Hasilnya, selain dari kerajaan Johor, Melaka, Perak dan Kedah bertukar, tekanan kepada kerajaan Sabah memaksa pilihan raya negeri (PRN) diadakan hingga menyebabkan peningkatan kes Covid-19.

Dalam keadaan getir ini, muncul Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diberitakan mendapat sokongan ramai ahli Parlimen UMNO termasuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kedua-duanya berhadapan puluhan kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

Terdapat dakwaan apabila melihat tidak banyak peluang untuk bebas di bawah pemerintahan PN, maka mereka beralih menyokong Anwar. Persoalannya, apakah yang boleh Anwar lakukan atau janjikan kepada mereka untuk menyokongnya menjadi Perdana Menteri?

Jika kerajaan itu terbentuk sedikit masa lagi, segala usaha rakyat untuk menyekat kehadiran kleptokrat dalam kerajaan menjadi sia-sia. Tanpa kleptokrat pula, kerajaan baharu tidak akan terbentuk dan jika berjaya dibentuk tidak akan kukuh kerana majoriti yang tipis.

Jika kleptokrat dan UMNO diterima secara en bloc, Anwar akan menghadapi masalah yang sama seperti Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin – boleh diugut dan digertak jika kemahuan mereka tidak dituruti.

Namun bagi Anwar, kepentingan menjadi Perdana Menteri didahulukan dan baru memikirkan kekangan-kekangan sedia ada.

Di dalam menghadapi dilema ini, idea untuk menubuhkan kerajaan perpaduan lebih rasional sebagai satu penyelesaian.

MALIK ADAM
Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya