PANDEMIK Covid-19 telah meningkatkan Islamofobia apabila umat Islam bukan sahaja dikaitkan dengan pengganas Daesh malah dituduh sebagai penyebar virus berkenaan.
Peningkatan Islamofobia sebenarnya berlaku di seluruh dunia. Di India, pandemik berkenaan digelar sebagai ‘jihad korona’ oleh penyokong parti pemerintah, Bharatiya Janata Party (BJP) dengan dakwaan ia ialah konspirasi umat Islam untuk menjangkiti penganut Hindu.
Sebabnya, kerana mereka mendakwa kebanyakan jangkitan di negara itu berpunca daripada satu perjumpaan tabligh di markas Tabligh-e-Jamaat di Nizamuddin Barat, satu wilayah padat di New Delhi pada Mac lalu yang disertai 8,000 umat Islam termasuk 2,000 warga asing.
Akibatnya, banyak perniagaan orang Islam di India diboikot dan tempat tertentu di New Delhi, Karnataka, Telangana dan Madhya Pradesh diletak papan kenyataan melarang orang Islam yang berjumlah 200 juta di India memasuki kawasan terbabit.
Kemuncak Islamofobia adalah apabila akhbar berhaluan kiri, The Hindu menyiarkan kartun dunia dijadikan tebusan oleh koronavirus yang berpakaian tradisi Muslim India.
KENDUR
Bagaimanapun, Islamofobia ini sedikit kendur pada 28 Ogos lalu, apabila persatuan yang menjaga warisan sejarah di United Kingdom, English Heritage meletakkan plak sebagai tanda penghormatan di rumah yang pernah didiami oleh anak sulung pengasas ajaran Sufi Sejagat, Noor Inayat Khan di Taviton Street, Bloomsbury, tengah London. Kisah beliau boleh dibaca dalam buku bertajuk Spy Princess: The Life of Noor Inayat Khan yang ditulis oleh wartawan, Shrabani Basu.
Beliau digelar wanita Muslim pertama Britain yang menjadi heroin di Eropah kerana peranan dimainkan sebagai ejen perisikan British ketika Perang Dunia Kedua. Berita mengenai penghormatan itu disiarkan oleh akhbar-akhbar di India.
Menurut English Heritage, wanita berketurunan India Muslim itu ialah ejen perisikan wanita pertama berkepakaran menghantar maklumat menggunakan radio wayarles yang dihantar ke satu wilayah Perancis yang dijajah Nazi.
Beliau telah ditangkap, diseksa oleh polis rahsia Jerman (Gestapo) dan kemudian ditembak mati pada usia 30 di kem tahanan Dachau, Bavaria pada 1944 setelah enggan mendedahkan maklumat rangkaian perisikan British yang beroperasi di wilayah berkenaan. Ia kemudiannya menjadi antara punca kejayaan pihak Bersekutu mengalahkan Nazi yang dipimpin oleh Adolf Hitler setahun selepas itu.
Satu persoalan yang bermain dalam fikiran kita kenapakah seorang wanita Islam sanggup mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan negara-negara yang majoriti didiami bukan Islam dengan ayat terakhir sebelum ditembak mati ialah liberte (kebebasan)?
SEJAGAT
Ia ada kaitan dengan fahaman Sufi Sejagat yang diasaskan ahli sufi, Inayat Khan (1882-1927) yang mempromosikan keharmonian antara agama.
Sufi Sejagat adakah satu ajaran kerohanian yang mempunyai elemen daripada semua agama yang ada di dunia ini. Sebab itu, fahaman tersebut dikenali sebagai ajaran perpaduan, kebebasan, kerohanian dan cinta.
Apabila ditanya kenapa menjadi anggota perisik, Noor yang berpegang kepada prinsip menolak keganasan menjawab: “Dalam peperangan ini saya ingin memberi sumbangan dengan terlibat dalam bidang paling berbahaya tetapi pada masa sama tidak mahu membunuh sesiapa.”
Langkah menyebut sumbangan Sufi Sejagat yang dianggap beberapa pihak sebagai bukan Islam tulen hanya bagi memberi motivasi kepada kumpulan yang mendakwa pejuang Islam sebenar supaya lebih terkehadapan ‘melawan’ Islamofobia dengan cara menonjolkan kasih sayang dan mengelak tindak balas ganas.
Desakan harus dibuat supaya kerajaan Perancis dan Austria menarik balik larangan wanita Islam memakai purdah dengan alasan menyukarkan komunikasi, sedangkan dakwaan tidak masuk akal itu ternyata tidak benar setelah kakitangan perubatan di negara itu yang memakai peralatan perlindungan diri (PPE) tidak pula menghadapi masalah sama.
Sedikit masa lagi, kita mungkin dapat mengalahkan virus Covid-19, tetapi nampaknya akan mengambil tempoh sangat panjang bagi menghapuskan virus Islamofobia.










