Si kitul, persepsi senada - Utusan Malaysia

Si kitul, persepsi senada

Ketua panglima Portugis, Alfonso di Alburqueque sendiri menukilkan: “Setelah Kota Melaka dikalahkan, Portugis telah merampas 3,000 pucuk meriam dan senapang lantak atau senapang patah. Dipercayai, itu baru separuh daripada senjata api yang ada di Melaka”. Kalau orang Melaka sudah bertamadun lebih tinggi daripada Portugis, kenapa pula ia boleh jatuh dengan mudah ke tangan Barat?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI sekelumit pengalaman saya dalam tempoh sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), persepsi negatif terhadap kerajaan banyak berpunca daripada `orang sekeliling’ mereka sendiri.
Kadangkala bukannya sangat pasal ketua jabatan tetapi dek stail dan perangai ‘orang kepercayaan’. Hal positif yang turun dari atasan menjadi rosak dek `kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’.

Maka eloklah mana-mana menteri hari ini yang mengetuai kementerian-kementerian utama bersiap-siaga dengan bahana persepsi.

`Jerangkap samar’ persepsi ini harus bijak dilepasi memandangkan kebelakangan sebulan dua ini dan minggu-minggu mendatang nanti macam-macam kedengaran perkara `kurang molek’ tentang hal-hal semasa – lantas merisaukan rakyat.

Diakui faktor paling besar merentasi pemikiran rakyat adalah persepsi. Persepsi tidak semestinya benar. Tidak juga semestinya salah. Tetapi apa yang dipercayai oleh rakyat.

Apa yang dilihat, didengar

Penulis, Stan Moore menukilkan: “Hanya kerana kebenaran tidak kelihatan, tidak bermakna hal itu palsu. Hanya kerana kenyataan tidak dirasai, tidak bermakna perkara itu tidak wujud”. Itu maknanya persepsi. Tetapi apa yang rakyat melihat dan mendengar itulah yang dicakapkan.

Antaranya hal-hal yang trending di laman sosial waktu ini – berkisar Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium dan peruntukan lebih RM80 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Persepsi harus ditangani dengan pantas, cermat dan bijaksana oleh mana-mana pihak bermula hari ini andai ada tekad mana-mana parti mahu menang PRU-15. Atau yang terdekat pilihan raya negeri (PRN) Sarawak. Rakyat akan membuat kesimpulan sendiri apa yang mereka lihat.

Seingat saya sebelum 2018, isu `jual Malaysia kepada China’ acap kali membingitkan telinga. Banyak ditanya oleh mereka dari luar Johor waktu itu isu kedaulatan tergadai dari projek Forest City.

Antaranya, benarkah semua kontraktor dibawa dari China sehinggakan paku sebatang pun dibawa dari sana? Padahal itu semua tidak benar. Pelaburan asing termasuklah dari China di Johor ini dipantau ketat dan diletakkan di zon antarabangsa supaya ada perbezaan antara pelaburan baharu dan pelaburan dari China. Seluruh Forest City di bawah kawalan negara.

“Ada anda nampak polis dari China di Johor?,” kata seorang rakan politik yang masih tergiang-giang di kepala saya. Namun malangnya isu `jual Malaysia kepada China berlegar lama dalam fikiran kalangan pengundi.

Kita turut terkenang kisah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid pada 2005 yang diperintahkan oleh kerajaan supaya memohon maaf kepada kerajaan China kerana kemunculan satu klip video.

Klip video itu menunjukkan seorang pegawai polis wanita kita sedang mengarahkan seorang perempuan yang kelihatan seperti warga Cina membuat ketuk ketampi.

Tapi rupa-rupanya wanita yang kena ketuk ketampi itu warganegara Malaysia. Itulah bahananya bila persepsi melangkaui kebenaran sehingga Azmi pula diarahkan minta maaf.

Boleh tumbang

Mari kita imbau kembali sejarah Melaka. Mungkin ramai tidak tahu ada kemungkinan Portugis sentiasa berasa cuak ketika berdepan dengan Kesultananan Melayu Melaka pada 1511.

Mungkin ramai yang ketawa bila mengatakan Portugis berasa cuak untuk menyerang Melaka. Barangkali ada masih beranggapan bahawa empayar Melaka bukanlah hebat sangat. Orang Melaka hanya berperang melawan soldadu Portugis yang lengkap dengan kapal perang, senapang dan meriam, hanya dengan menggunakan keris, parang dan tombak sahaja.

Sejarah, baik dari mulut ke mulut atau yang dipelajari di institusi pendidikan negara selama ini mengajar kita, Melaka adalah sebuah empayar. Sudah tentu jika Melaka sebuah empayar, ia menggambarkan penguasaan bangsa Melayu di atas satu tanah jajahan yang luas. Sudah pastinya empayar tersebut tidak hanya sebesar negeri Melaka hari ini atau sebesar Semenanjung Malaysia ini sahaja. Jika tidak, masakan Raja empayar China yang begitu hebat ketika itu sudi untuk menjadikan Sultan Melaka sebagai menantunya.

Amat malang, kita tidak dicanangkan beberapa fakta bahawa kapal perang kerajaan Melaka yang digelar Jong, dua kali ganda besarnya dari kapal perang penjajah Portugis. Kita tidak dicanangkan kerajaan Melaka sudah memiliki meriam-meriam besar dan kecil yang diberi nama Lela Rentaka, yang bentuknya seperti bazooka di zaman moden ini.

Itu belum lagi disebut tentang senjata api Melayu Melaka yang diberi nama seperti pemuras, istinggar dan lain-lain lagi. Melayu juga sudah mengenal baju besi dan mahir menempa baju besi untuk kegunaan ketenteraan. Dan artifak purba seperti alat pelebur besi yang ditemui di tapak tamadun Sungai Batu, Kedah menguatkan lagi fakta ini.

Kalau tidak benar ini semua, mengapa Melaka memiliki tamadun tinggi. Masakan catatan ketua panglima Portugis, Alfonso di Alburqueque sendiri menukilkan: “Setelah Kota Melaka dikalahkan, Portugis telah merampas 3,000 pucuk meriam dan senapang lantak atau senapang patah. Dipercayai, itu baru separuh daripada senjata api yang ada di Melaka.”

Kalau orang Melaka sudah bertamadun lebih tinggi daripada Portugis, kenapa pula ia boleh jatuh dengan mudah ke tangan Barat? Kerajaan yang begini hebat di Nusantara hanya boleh ditewaskan oleh gabungan tentera-tentera Portugis, kerajaan-kerajaan kecil di Sumatera dan Jawa, askar-askar upahan dari Goa, Jawa dan Siam.

Si Kitul

Di sinilah munculnya watak Si Kitul. Ada dakwaan dari pengkaji sejarah yang menyatakan Melaka tewas di tangan Portugis bukan kerana kalah perang. Kerajaan Melaka dikatakan telah berperang dan bertempur dengan tentera Portugis lebih 100 kali.

Tetapi tewasnya Melaka kerana berlakunya konflik dalaman. Yang ada kemungkinannya dicetuskan oleh Si Kitul dengan menyebarkan persepsi dari mulut ke mulut dan melanjutkan lagi pengkhianatannya dengan membuka pintu kota Melaka.

Hakikatnya, fakta seumpama ini jelas memberitahu bahawa konflik dalamanlah yang menyebabkan empayar hebat dan besar seperti Empayar Melaka ini tumbang.

Ini ditambah lagi dengan pembelot dan pengkhianat daripada para pedagang asing dan orang-orang Melayu itu sendiri. Melaka jatuh bukan kerana orang Melayu kuno dan tidak ada teknologi dalam peperangan, tetapi akibat krisis kepimpinan dan pengkhinatan yang berlaku.

Hakikatnya, watak Si Kitul ini benar-benar menghantui perjalanan dan jalur-jalur politik dan kekuasaan bangsa Melayu di Nusantara ini.

Dibimbang, bukan setakat bahana persepsi, tetapi kewujudan watak Si Kitul di zaman moden ini muncul lagi.

Kerja-kerja Si Kitul moden lebih mudah apabila mereka mampu menyebarkan persepsi dan khabar angin yang memporak perandakan pemikiran rakyat.

Yakni, hanya dengan menekan butang melalui teknologi media sosial hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN