SEJAK kecil saya suka melukis. Asal sahaja terjumpa alat tulis dan kertas, saya lakarkan apa yang tergambar dalam minda ke dunia nyata. Dinding bilik tempat kami bermain juga beberapa kali menjadi kanvas saya.
Apabila ditanya ibu mengapa menconteng dinding, saya keliru. Saya rasakan sedang menulis seperti kakak-kakak. “Ahmad tak conteng, Ahmad toles (tulis),” itulah jawapan ikhlas saya. Lantas saya bacakan kepada ibu apa yang telah saya toles.
Ibu dan arwah ayah sentiasa menyokong minat kami. Setiap kali kami keluar, ibu akan membawa sebuah beg hitam yang kami panggil the magic bag. Apabila kami bosan, ibu akan keluarkan krayon dan buku untuk kami melukis atau membaca.
Melukis adalah antara hobi masa kecil saya yang kekal sehingga kini. Kebetulan, ibu dan kakak-kakak juga suka melukis.
Masih jelas betapa terujanya saya setiap kali melihat ibu mengalas meja sebelum kami semua melakarkan imaginasi menggunakan cat air. Ibu turut menyimpan lukisan serta tulisan yang kami hasilkan sejak kecil. Kini ia menjadi kenangan berharga buat kami.
Arwah ayah memperkenalkan saya kepada lukisan digital melalui Microsoft Paint. Kali pertama saya menggunakan perisian ini, ia memberi pengalaman yang luar biasa dan menyeronokkan.Selepas itu, saya mencuba Microsoft PowerPoint selepas memerhati arwah ayah menggunakannya. Sehingga hari ini, ia menjadi antara perisian kegemaran saya untuk mencipta grafik vektor.
Pada usia dua tahun, melukis objek secara digital agak sukar buat saya. Susah untuk mengawal tetikus dengan saiz tangan yang kecil. Namun, saya tetap mencuba. Lukisan digital pertama saya merupakan seekor labah-labah.
Seterusnya, arwah ayah mengajar saya menggunakan perisian lebih canggih seperti Adobe Illustrator, Adobe Photoshop dan Autodesk Sketchbook.
Saya juga meminati lukisan pensel. Bagi saya, mencapai sebatang pensel dan melakarkan apa yang berada dalam minda adalah sangat menyeronokkan. Ia ibarat satu terapi minda yang berkesan.
PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).










