‘Saya tidak putus asa’ - Utusan Malaysia

‘Saya tidak putus asa’

Mohd. Shafie Apdal diwawancara secara dalam talian oleh wartawan Utusan Malaysia, Mohd. Fadhli Mohd. Sulaiman, baru-baru ini. – FACEBOOK SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu menyaksikan kejatuhan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai kerajaan negeri setelah dua tahun mentadbir.

Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali gus meletakkan Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Hajiji, 65, menggantikan Presiden Warisan yang juga Ahli Parlimen Semporna dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, DATUK SERI MOHD. SHAFIE APDAL yang berkuasa cuma 29 bulan.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN menemu bual Mohd. Shafie, 63, berhubung isu-isu semasa termasuk perancangannya dalam meneruskan khidmat kepada rakyat khususnya di kawasan Parlimen Semporna dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang.

Berikut temu bual Utusan Malaysia bersama anak kelahiran Semporna itu menerusi aplikasi Zoom, baru-baru ini.

 

PRN SABAH

Utusan: Ada pihak mendakwa Datuk Seri dan Warisan punca kes Covid-19 di Sabah meningkat. Komen?
MOHD. SHAFIE: Bagaimana pula Warisan boleh menjadi punca? Jika menyorot pentadbiran kerajaan negeri di bawah Warisan, saya menangani masalah Covid-19 sebelum kes bertambah teruk.
Walaupun ramai pelancong dari Wuhan, China datang ke Sabah tetapi kita mengambil langkah drastik dalam mengawal wabak berkenaan. Malah, Sabah antara negeri yang baik dari segi pengurusan Covid-19 ketika itu. Sebahagian besar kawasan pedalaman Sabah adalah kawasan hijau dan ada sedikit sahaja kawasan merah.

Tetapi oleh kerana sikap ahli-ahli politik yang cuba mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri, cuba ‘membeli’ wakil rakyat dan memberikan imbuhan, lihatlah hasilnya sekarang.

Saya pernah beri nasihat, jangan ramai sangat datang ke Sabah semasa PRN tetapi mereka (ahli-ahli politik) nak juga menang. Tidak apalah, saya tidak boleh halang mereka walaupun sebenarnya saya ada kuasa untuk menghalang mereka kerana Jabatan Imigresen Sabah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri.

Kalau ikutkan, saya boleh sahaja halang pemimpin-pemimpin politik dari Semenanjung datang ke Sabah seperti mana pemimpin sebelum ini, Lim Kit Siang, Karpal Singh (mendiang), Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua. Tidak boleh masuk Sabah tetapi Warisan selaku kerajaan waktu itu, semua kita berikan sebab mereka juga warganegara.

Benarkah keputusan Datuk Seri menyebabkan ketidakstabilan politik di Sabah?
Siapa yang mulakan dahulu masalah ini? Mereka semua keluar di televisyen. Tan Sri Musa Aman (bekas ketua menteri) dan rakan-rakannya cuba mengatur rancangan di sana dan di sini.

Warisan mempunyai bukti sokongan wakil rakyat waktu itu. Tetapi disebabkan masalah politik, mereka campur adukkan untuk menumbangkan Warisan. Itu perkara tidak sihat. Sebagai pemerintah, daripada menyerahkan kuasa kepada mereka, baik kita serahkan semula kepada rakyat untuk putuskan siapa yang layak menjadi kerajaan.

Warisan dan penyokong Musa saling mempertahankan diri masing-masing. Jika isu tuduh-menuduh berterusan, sampai bila-bila pun tidak akan selesai. Respons?
Memanglah. Tapi kalau pun mereka menuduh kita, takkan Warisan hanya menerima bulat-bulat tuduhan itu? Kalaulah mereka dari awal lagi tidak menganggu-gugat pemerintahan di Sabah, PRN tidak berlaku. Itulah kebenarannya. Walau apa pun, perkara itu sudah berlaku dan masalah ini perlu ditangani.

Semasa Warisan mentadbir, saya menyatakan kepada kerajaan Pusat bahawa kita boleh bekerjasama dalam menangani Covid-19 dan ekonomi. Kalau politik, itu lain cerita.

Semasa berkempen dalam PRN baru-baru ini, Datuk Seri dikatakan memainkan sentimen anti-Malaya. Boleh jelaskan?
Itu tanggapan yang salah. Bukannya saya ingin menanam sentimen seperti itu. Apa yang saya nyatakan cuma pentadbiran Sabah haruslah ada autonominya. Tidak boleh ada sebarang pengaruh daripada mana-mana pihak di Semenanjung.

Sebab itu sejak awal lagi ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, Warisan tidak menyertai PH tetapi bekerjasama membentuk kerajaan. Lihatlah pembangunan di Sabah hari ini. Kenapa boleh jadi seperti ini? Hasil minyak dan gasnya yang saya katakan perlu diurus dengan baik dan perlu ada perkongsian yang adil dan saksama dengan kerajaan Pusat.

Takkanlah hasil bumi ini datang dari Sabah, kita hanya dapat lima peratus sedangkan kerajaan (Pusat) pula dapat 59 peratus. Kenapa ia tidak boleh diagih-agihkan sama rata?

Apa pendapat Datuk Seri tentang budaya jual beli wakil rakyat?
Pendirian Warisan jelas, kita bukannya barangan atau menjual atau membeli mana-mana pihak. Kita melihat pemerintahan yang selaras dengan apa yang dikehendaki rakyat.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Tapi kalau ada yang nak bergabung atau nak masuk dalam pemerintahan kita, contohnya bila kita berada di tampuk pemerintahan, Warisan menerimanya dengan hati terbuka. Sesen pun saya tidak belanjakan untuk Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) masuk dalam pakatan kita.

BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT

Apa peranan Warisan sebagai pembangkang di Sabah?
Banyak yang kita perlukan. Contohnya, ada sekolah yang terpaksa menumpang satu bangunan sama. Sebelah pagi sekolah rendah manakala sebelah petang sekolah menengah.

Kedua, hospital tidak mencukupi, bekalan air perlu kita atasi, masalah jalan raya, keselamatan di Semporna.

Saya ada suarakan kepada pihak berwajib seperti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOMM) agar mengetatkan kawalan sempadan daripada anasir jahat tetapi malangnya, alasan yang diberikan adalah sempadan terlalu luas.

Kita akan lihat bagaimana kerajaan hari ini menjalankan tugas dan kita tahu dalam jangka masa panjang dan pendek, banyak perkara yang telah kita susun atur.

Tetapi, saya tidak putus asa untuk mendapatkan apa yang kita perlukan. Hari ini, kita menghantar makanan ke kawasan-kawasan pulau di Semporna seperti Pulau Bum Bum. Memang kerajaan Pusat ada berikan bantuan tetapi saya sebagai wakil rakyat juga memberikan bantuan kepada mereka.

Setiap kali pilihan raya, manifesto pembinaan Jambatan Pulau Bum Bum-Semporna timbul. Ia seolah-olah ‘umpan’ meraih undi, walhal hakikatnya hingga kini projek tersebut belum terlaksana. Komen?
Sebenarnya saya ada masukkan projek ini dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Tidak tahu sama ada ia masuk ataupun tidak. Waktu itu, projek ini sudah pun diumumkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri) di Parlimen. Sudah ada dana diluluskan untuk melaksanakannya. Kalau tidak silap saya RM18 juta dibelanjakan untuk rekaan dan sebagainya malah bukunya juga ada daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Tetapi malangnya semasa di bawah pentadbiran Musa, beliau menolak atas alasan tidak sesuai dan tiada keperluan untuk dibina di Semporna. Saya suarakan isu ini berkali-kali agar ia dilaksanakan. Bukan bermaksud manifesto itu tidak boleh ditunaikan, cuma tak terlaksana kerana pada ketika itu ada bantahan daripada pihak tertentu.

Macam mana hubungan Warisan, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekarang?
Kita lihat mereka jadi pemerintah dan Warisan jadi pembangkang. Kita akan lihat kalau ada keperluan untuk kita membantu rakyat dan negara. Kita tetap akan bantu. Kalau bab politik itu lain. Pendirian kita dari dulu bebas. Tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan. Kepentingan kita ialah negeri dan rakyat Sabah.

Apa langkah yang diambil Warisan terhadap projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu tetapi belum selesai?
Semasa Warisan memegang tampuk kepimpinan, kita tidak mengubah, menukar atau menamatkan mana-mana struktur sama ada dalam perkhidmatan awam atau pegawai kerajaan. Kadang kadang ada projek yang sedang berjalan 40 peratus dilakukan oleh kontraktor yang telah dilantik oleh Barisan Nasional (BN).

Saya tidak tamatkan mereka, malah saya teruskan. Apa yang penting, ia adalah prasarana yang diperlukan oleh rakyat. Contohnya, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). Waktu itu cuma 40 peratus sahaja siap tetapi Warisan teruskan hingga selesai. Siapa kontraktor dan juruteranya, sama ada orang BN atau orang lain, kita tetap teruskan.

Apa harapan Warisan?
Kita adalah parti tempatan yang berdaftar dan mempunyai jumlah ADUN yang besar di Sabah. Dari segi jumlah pengundi juga lebih besar daripada UMNO dan Bersatu.

Saya yakin semangat rakyat Sabah masih bersama Warisan. Yang penting adalah apa yang kami perjuangkan. Apa yang menjadi hak rakyat di Sabah akan dipastikan dapat dicapai dan dipertahankan.

POTONG GAJI AHLI PARLIMEN KURANGKAN BEBAN KERAJAAN

Datuk Seri pernah mencadangkan pemotongan gaji 30 peratus ahli Parlimen. Boleh terangkan?
Saya dapati ahli-ahli Parlimen sudah lama dapat pelbagai keistimewaan. Jumlah menteri dan timbalan menteri dalam PN sangat besar.

Mereka bukan sahaja mempunyai jumlah pendapatan yang tinggi setiap bulan, bahkan mereka menerima pelbagai jenis imbuhan serta elaun termasuk percutian ke luar negara sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Saya kira perkara ini perlu dipertimbangkan dan dikorbankan bagi membantu mengurangkan beban ditanggung kerajaan.

Perbelanjaan pengurusan di negara ini adalah antara yang terbesar di rantau Asia, walhal Indonesia dan Singapura tidaklah sebesar ini meskipun populasi penduduknya jauh lebih ramai.

Apa pendirian dan penerimaan kerajaan?
Saya hanya mencadangkan. Sama ada kerajaan menerimanya ataupun tidak itu terserah.

Cuba bayangkan kalau kerajaan membelanjakan lebih kurang RM10 juta sebulan untuk gaji ahli Parlimen yang sebenarnya sudah boleh digunakan untuk perkara-perkara lain yang lebih mustahak.

Kita banyak bergantung kepada hasil cukai sekitar RM140 hingga RM150 bilion bagi menampung operasi perbelanjaan negara. Ini tidak termasuk kos-kos pembangunan yang jika gunakan hasil cukai sahaja tidak mencukupi.

Apa maklum balas diterima setakat ini?
Saya masih belum menerima sebarang maklum balas berkenaan cadangan yang saya kemukakan. Bagaimanapun, saya mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa kita semua seharusnya mengambil pendekatan dengan memberikan kerjasama yang baik bagi menangani wabak Covid-19 dan membantu memulihkan ekonomi negara.

Sebab itu bila saya mentadbir negeri, saya wujudkan Kementerian Kesihatan negeri untuk membantu Persekutuan kerana ada beberapa perkara yang mungkin mereka tidak mampu lihat bagaimana cara mengatasi masalah kesihatan di Sabah yang tidak cukup ambulans dan doktor.

Contohnya, di Lahad Datu dan Kunak tiada pengangkutan mencukupi. Jadi, saya sewakan van dan saya berikan kepada para doktor bagi mereka gunakan untuk kemudahan pesakit. Nak tunggu Pusat ambil tindakan sudah pasti akan mengambil masa yang lama dengan invoisnya, sebut harganya dan macam-macam lagi sedangkan pesakit tidak boleh menunggu lama. Dalam masa dua, tiga bulan sudah meninggal dunia.

Kenapa baru cadang sekarang?
Sebelum ini pun saya pernah cadangkan perkara sama. Bagaimanapun, jika kerajaan mempunyai kewangan mencukupi maka tidak perlu potong gaji mereka. Tetapi saya difahamkan, kerajaan membelanjakan hampir RM200 bilion untuk menangani pandemik Covid-19. Jadi, apa cara bagi mengurangkan bebanan yang ada? Berbalik kepada hal pemotongan gaji ahli Parlimen inilah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN