‘Salah kita sendiri cakap Inggeris’ - Utusan Malaysia

‘Salah kita sendiri cakap Inggeris’

Olga bersama suaminya, Shahabudeen Jalil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA Melayu merupakan bahasa rasmi di Malaysia, Brunei dan Singapura. Sementara di Indonesia dan selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan secara meluas. Kajian juga menunjukkan bahasa Melayu turut dipertuturkan di beberapa kawasan di Filipina, Kemboja, Sri Lanka bahkan Afrika Selatan. Namun jangan lupa, bahasa Melayu juga wujud di Kepulauan Kokos dan Christmas yang turut didominasi oleh orang-orang Melayu.

Sekali pun bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi di Malaysia, masih terdapat begitu ramai mereka yang memegang kad pengenalan dan kerakyatan Malaysia yang kurang fasih atau tidak tahu langsung bertutur dalam bahasa kebangsaan. Sebaliknya, bahasa Inggeris pula digunakan secara meluas sehingga penulis sendiri berasa negara ini mempunyai kecelaruan identiti.

Apa yang lebih menarik, kecelaruan ini turut dikongsikan oleh ramai warga asing yang menetap di Malaysia. Apabila saya bertanya kepada mereka, mengapa tidak tahu atau tidak belajar bahasa Melayu sekali pun sudah menetap di sini lebih dari lima tahun, jawab mereka mudah sahaja: “Rata-rata orang Malaysia boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, jadi buat apa belajar bahasa Melayu?”

REMEH

Bagi kebanyakan orang sudah tentu hal ini nampak remeh, tetapi tidak kepada saya dan mereka yang mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi. Sebahagian warga asing yang bijak pula, mereka akan mengambil peluang mempelajari bahasa Melayu dan menggunakannya untuk menjadi terkenal dan menaikkan nama masing-masing.

Saya sempat menemuramah beberapa warga Rusia yang petah berbahasa Melayu. Kecintaan mereka terhadap bahasa Melayu membuatkan kita sendiri pun berasa malu.

“Bahasa Melayu sangat mudah, mungkin bagi orang Rusia! Banyak perkataan yang mudah disebut serta tatabahasa yang lebih senang dibandingkan dengan bahasa Rusia.

“Kelebihan menguasai bahasa Melayu adalah ia dipertuturkan di beberapa negara. Semasa saya melawat Indonesia dan Brunei, saya dapat berbual dengan masyarakat di situ menggunakan bahasa Melayu.

“Bagi saya, bahasa Melayu sebagai penghubung kepada persahabatan,” kata Irina Poplaukhina, 44. Irina mendirikan rumah tangga dengan lelaki tempatan dan menetap di Sabah.

“Sekali pun terdapat 80 dialek di Sabah tetapi apabila mereka ingin berbual dengan suku berbeza, mereka pasti akan bertutur dalam bahasa Melayu. Ternyata bahasa Melayu dapat menyatukan pelbagai masyarakat,” katanya lagi.

Irina turut menasihati warga asing yang datang ke negara ini: “Bagi mereka yang datang ke Malaysia dan memilih untuk menetap di sini bagi tempoh yang lama, mereka wajib mempelajari bahasa Melayu.”

Selain Irina, seorang lagi warga Rusia ialah Olga Vasilevskaya. Olga merupakan juara pertandingan pidato bahasa Melayu yang pertama kali dianjurkan pada 2007. Dia menewaskan peserta-peserta dari Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia, Jerman dan Australia.

JODOH

Apa yang menarik tentang Olga ialah dia mengambil jurusan sejarah dan bahasa Melayu di Institute of Oriental Studies di Moscow sewaktu berumur 17 tahun. Olga juga bertemu jodoh dengan seorang jejaka Melayu.

Baginya, warga asing yang mem­pelajari bahasa Melayu dapat mem­beri ba­nyak manfaat dan memudahkan urusan mereka di negara ini. Apatah lagi ia dapat menembusi halangan-halangan yang menyekat kefahaman, hubungan dan kepercayaan penduduk tempatan.

Jelas Olga lagi, warga asing yang menguasai bahasa Melayu boleh menjadi lebih dekat dan akrab dengan penduduk tempatan, berfikir seperti mereka dan hidup seperti orang Malaysia.

Pada pandangan saya, orang Melayu dan kebanyakan masyarakat India fasih bertutur bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan orang Cina agak rendah dan tidak memuaskan kerana kemungkinan lebih banyak bertutur dalam bahasa ibunda mereka dan bahasa Inggeris.

Saya pernah menulis sebelum ini tentang kecintaan sarjana Rusia terhadap bahasa Melayu sejak berabad lalu tetapi nama mereka tidak pernah disebut manakala kajian mereka tidak pernah dibentangkan.

BANGKIT

Saya merasakan jasa mereka ini perlu dikenang untuk menjadi pemangkin semangat kepada anak bangsa kita yang semakin hilang identiti supaya bangkit dan mula melihat sesuatu yang berharga tentang bahasa kita.

Dalam buku Wajah Sarjana Pengajian Melayu Rusia yang ditulis oleh Dr. Victor Pogadaev, pengkajian bahasa Melayu kali pertama muncul di Rusia ialah pada abad ke-18 atas arahan Ratu Empayar Rusia, Katerina Yang Agung dari 1792 hingga 1796. Kemudian pengkajian bahasa Melayu yang lebih mendalam bermula pada abad ke-20. Antara sarjana-sarjana Rusia yang mengkaji bahasa Melayu ialah Alieva Natlia Fyodorovna, Bandilenko Gennady Georgievich, Gusev Mikhail Nikolaevich dan Ionova Alla Ivanovna.

Saya tidak berniat untuk menulis dengan terperinci mengenai mereka. Cukuplah mukadimahnya sahaja. Saya pasti akan menulis dengan lebih terperinci tentang perkara ini dalam artikel akan datang.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia-Rusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN