
SALAH satu bab dalam novel Langit Petang berlatarkan bisik angin dan riuh ombak pantai berpasir putih di Terengganu. Watak utamanya Hafiz mengisi hari-hari terakhir hidupnya menikmati keindahan tanah airnya dan Terengganu menjadi pilihan.
Pelukisan Sasterawan Negara, A. Samad Said tentang damai yang indah di Kuala Terengganu, terutama sekali pantainya sangat memujuk pembaca. Menjadikan pembaca teruja ke sana. Alam laut dan darat itu menjadi sepasang keindahan yang siap menunggu untuk diziarahi.
Dalam novel Badai Semalam karya Khadijah Hashim, saya terpesona dengan Tanjung Puteri yang menjadi latar tempat disinggahi Maznah, gadis anak orang gaji yang bercita-cita tinggi. Kekuatan penulis novel ini melukis Tanjung Puteri sekitar awal tahun 1960-an sangat memikat dan ini membuatkan sesetengah pembaca pasti mahu berada di tempat itu.
Saya percaya siapa yang membaca kedua-dua novel ini, selain mengutip wacana pemikiran pengarang, latar alam pada bab-bab tertentu secara tidak langsung mengajak menghayati keindahan tanah pusaka yang diwariskan oleh nenek moyang. Inilah tanah air kita, tidak ada yang lain selain yang satu ini.
Sebenarnya terpesona pada alam di tanah air sendiri adalah sebahagian dari rasa bangga menjadi rakyat negara ini. Ekspresi patriotik tidak semuanya dipancarkan dengan kata-kata yang didaktik. Patriotik juga tumbuh dengan penghayatan tinggi terhadap alam tanah air.
ENGLAND
Cuma dalam beberapa sudut, keindahan alam yang dimiliki tidak diapung dan ada yang terlepas pandang kerana ledakan promosi alam orang lain di luar negara lebih hebat. Kecintaan pada alam tanah air menjadi sedikit kecil dengan keterujaan pada tanah air orang lain.
Bagaimanapun dalam keterpesonaan saya untuk melawat alam persekitaran di Stratford-upon-Avon, England tempat lahirnya sasterawan Inggeris, William Shakespeare, tetapi lebih teruja hendak ke Kuala Sedili yang menatang kelahiran Sasterawan Negara, Usman Awang.
Ini kerana secara peribadi hanya sedikit sahaja keindahan tanah air ini yang saya susuri, hinggap dan menikmatinya. Saya fikir orang juga begitu. Maknanya sebahagian daripada kita belum bermesra selayaknya dengan negara ini di mana keasliannya makin tercemar dan pudar kerana tuntutan kehidupan moden yang materialistik.
Bilakah kali terakhir kita menikmati keindahan tanah air ini selain rutin pulang ke kampung atau urusan tugas di luar kota? Sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari Johor Bahru ke Padang Besar di Perlis, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan LPT2 dari Karak ke Kuala Terengganu membentang keindahan tanah air yang tidak terkira nilainya.
Tetapi dalam kesibukan, alam di kiri dan kanan lebuh raya atau jalan biasa tertinggal di belakang. Kehijauan yang berlapis dan berbalam sukar ditemui di negara lain. Bagaimanapun semua kelebihan itu pasti tidak terapung kalau tidak ada usaha berganda ke arah itu.
Terlanjur kita berada dalam kepungan wabak Covid-19 yang memaksa pintu masuk keluar sempadan negara terus ditutup, pelancongan domestik perlu diangkat supaya menjadi pilihan kepada mereka yang tidak dapat ke luar negara. Prasarana pelancongan domestik sudah lama tersedia – pengangkutan dan penginapan misalnya.
Walaupun pelancongan domestik sebenarnya bukan budaya tetapi kita terpaksa menuju ke arah itu. Makna melancong bukan sahaja pergi ke luar sempadan negara, di tempat-tempat yang menjadi bualan dan tersedia kemudahan membeli-belah.
Tetapi agak getir kerana melancong dalam negara hampir tidak ada dalam senarai kehidupan kita. Cuma yang ada, balik kampung atau menghantar anak atau sanak saudara ke pusat pengajian di luar kota yang jauh dari tempat asal.
Maka yang perlu ditekankan adalah tujuan khusus untuk melancong dalam negara yang bukan acara balik kampung. Usaha ini sangat perlu diberatkan supaya dapat mendekatkan anak-anak yang masih remaja dengan negara sendiri.
SEMPADAN
Dalam keadaan sekarang, kalau pintu sempadan dibuka sekalipun, wabak di luar negara masih di tahap bahaya. Malah dalam masa dua tahun pun belum tentu keadaan di seluruh dunia kembali seperti sediakala. Maknanya pelancongan ke luar negara akan terhenti hingga keadaan benar-benar pulih.
Inilah masanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menggerakkan kempen pelancongan domestik. Banyak yang mempunyai perancangan melancong ke luar negara tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana wabak.
Sektor pelancongan boleh melipatgandakan daya usaha untuk membantu bidang perhotelan, industri kecil dan sederhana (IKS) di tempat-tempat tarikan pelancong dengan menghidupkan kembali pelancongan domestik yang terhenti beberapa tahun lalu. Sudah lama tidak mendengar atau melihat kempen pelancongan domestik.
Banyak promosi dibuat kepada pelancong luar untuk datang menikmati keindahan alam di negara ini. Tetapi tidak banyak pula rakyat negara ini yang telah menikmati dan menghayati keindahan alam yang menjadi buah mulut orang luar. Bukankah itu ironi namanya?
Untuk menyemaikan rasa kasih kepada negara, melancong atau lebih tepat lagi mengenali tanah air sendiri adalah kaedah yang boleh dilaksanakan. Tanpa merasa dipropagandakan untuk kelihatan patriotik, melancong dalam negara lebih santai mampu menyingkap keunikan, sejarah dan kecemerlangan budaya masyarakat.
Kerana itu melancong dalam konteks tempatan adalah satu proses menghayati dan memesrai alam. Apabila terpesona dengan alam yang mesra dan cantik, rasa kekaguman pasti mencetus kebanggaan menjadi rakyat negara ini.
Sambil melancong kita mempelajari sesuatu yang baharu tentang budaya yang berbeza-beza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Misalnya, faktor geografi yang memberi kesan secara menyeluruh terhadap cara hidup sesebuah masyarakat di sesuatu tempat.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya diharap tidak mengambil masa yang lama untuk menggiatkan semula kempen pelancongan domestik, bukan sahaja semasa wabak malah sepanjang masa.
Tambahan pula ekosistem pelancongan domestik sudah lama tersedia –inap desa ada di mana-mana. Inilah masa untuk bertindak. Marilah kita ke luar kota – ke kampung dan pedalaman yang banyak menyimpan makna keindahan tanah air ini.
PENULIS ialah Editor portal Kuseman.com.










