Isu cetak rompak bila nak selesai? - Utusan Malaysia

Isu cetak rompak bila nak selesai?

MASYARAKAT dan pihak industri perlu melaporkan mana-mana kegiatan cetak rompak kepada pihak berkuasa. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

isu cetak rompak dari dulu sehingga sekarang menimbulkan keresahan dalam kalangan pencipta karya. Maka tidak hairanlah baru-baru ini pengarah filem aksi, KL Gangster, Syamsul Yusof menyuarakan kebimbangan terhadap isu cetak rompak yang dianggap tiada berpenghujung.

Persoalannya, wujudkah undang-undang dan jalan keluar bagi mengatasi masalah cetak rompak? Jawapan yang sebenar ada dalam masyarakat sendiri.

Ini kerana undang-undang hak cipta telah wujud di Malaysia bagi tujuan membendung cetak rompak. Melalui Akta Hak Cipta 1987, filem adalah salah satu karya yang dilindungi oleh undang-undang sekiranya memenuhi syarat-syarat yang terkandung dalam akta berkenaan.

Apabila sesuatu karya mendapat perlindungan undang-undang hak cipta contohnya filem, maka aktiviti melibatkan pengeluaran semula karya tersebut dalam apa jua bentuk, penyampaian, tayangan, pengedaran salinan melalui jualan dan penyewaan secara komersial kepada orang awam perlu mendapat keizinan daripada pemunya hak cipta.

Ini jelas diperuntukkan dalam Seksyen 13(1)(a) hingga (f) akta terbabit. Aktiviti cetak rompak yang secara jelas melibatkan aktiviti pengeluaran semula dan pengedaran salinan karya kepada orang awam melalui jualan tanpa keizinan daripada pemunya hak cipta adalah pelanggaran terhadap hak cipta dan boleh diambil tindakan undang-undang.

Jika ditinjau dari segi kecukupan undang-undang, jawapannya ialah ya. Undang-undang telah siap sedia untuk digunakan. Namun, jika diteliti melalui aspek lain, iaitu adakah isu cetak rompak ini boleh dihapuskan terus dari muka bumi, jawapannya, mungkin tidak.

Pembendungan aktiviti cetak rompak memerlukan kesedaran disemai dalam kalangan masyarakat terhadap penting menghormati karya orang lain. Bagi tujuan tersebut, kempen kesedaran memerlukan tempoh masa dan harus dibuat berterusan agar masyarakat sentiasa peka dengan kesan buruk yang bakal timbul akibat daripada kegiatan cetak rompak.

Antara kesannya ialah kemunduran industri filem tanah air kerana penggiat filem tidak dapat memperoleh hasil keuntungan setimpal kerana pasaran cetak rompak menjual filem-filem mereka dan mengaut keuntungan yang tidak sepatutnya mereka peroleh.

Lama-kelamaan, masyarakat tidak lagi disajikan dengan filem-filem bermutu kerana penggiat seni berasa tidak lagi berbaloi untuk menghasilkan filem berikutan kos mengeluarkan filem agak tinggi, namun keuntungan diperoleh sedikit.

Justeru, bagi tujuan membanteras aktiviti cetak rompak, ia memerlukan usaha kolektif daripada masyarakat, industri dan pihak berkuasa. Masyarakat perlu peka supaya tidak melibatkan diri dengan jualan dan membeli filem cetak rompak.

Masyarakat dan pihak industri perlu melaporkan mana-mana kegiatan cetak rompak kepada pihak berkuasa. Melalui cara ini, kegiatan cetak rompak dapat dikurangkan sedikit demi sedikit dengan harapan satu hari nanti, ia tidak wujud lagi. Bersama-samalah kita menyokong karya asli dan bukan cetak rompak!

HALIZA A. SHUKOR
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.