Cikgu Siti cetus inspirasi luar biasa - Utusan Malaysia

Cikgu Siti cetus inspirasi luar biasa

Siti Faridah Matt mengambil inisiatif mewujudkan sebuah studio di rumahnya di Taman Bukit Kubu Fasa 2, Kuala Perlis, Perlis untuk tujuan pembelajaran secara dalam talian. – UTUSAN/ MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH Cikgu Siti dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Kangar, Perlis yang tidak kisah berhabisan ribuan ringgit menyediakan sebuah studio di rumah bagi tujuan pengajaran secara dalam talian memberi inspirasi kepada banyak pihak khususnya guru-guru di negara ini.

Banyak pihak khususnya guru-guru mula buka mata mengenai kepentingan menguasai teknologi dan digital sebagai inisiatif terbaik untuk mendidik pelajar dalam zaman serba moden ini. Malah, dalam tempoh pandemik Covid-19, pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian sudah menjadi keperluan.

Bagi ibu kepada dua orang anak itu, proses tersebut memang memenatkan, namun apabila melihat anak didiknya mula menerima dan memahami dengan baik pembelajaran secara dalam talian, ia cukup bermakna.

Malah kreativiti Siti Faridah Matt, 34, mengajar turut menarik minat para pelajar dari seluruh negara mengikuti kelasnya selain menonton melalui saluran YouTube, Cikgu Siti Share.

Tidak ada apa yang mustahil jika kita terus berusaha, tidak pernah mengenal erti putus untuk belajar atau mencuba perkara baharu dan paling penting, keikhlasan dalam melakukan sesuatu tindakan itu.

Bagi Siti Faridah, kepuasan sebenar itu hadir apabila melihat para pelajarnya mu­la menerima, berminat dan memahami dengan baik pem­belajaran secara online dan mahu tidak mahu, semua pihak perlu menerima perubahan ke arah penggunaan teknologi dan digital.

Ketika pandemik Covid-19 dilihat masih belum ada tanda-tanda untuk berakhir, banyak perkara terpaksa dilakukan melibatkan penggunaan teknologi ini khususnya dalam bidang pendidikan.

NORMA BAHARU

Guru-guru bolehlah mula belajar menguasai norma baharu pengajaran secara dalam talian itu yang tidak menuntut belanja yang mahal pun melainkan sedikit usaha. Memang sedikit sukar, tapi itu pilihan terbaik ketika ini.

Apabila guru-guru menyer­lahkan inisiatif dan kreativiti dalam pengajaran secara dalam talian sebegini, secara tidak langsung mampu menarik minat para pelajar untuk belajar melalui kaedah sama.

Medium seperti Facebook atau Youtube pula bolehlah digunakan sebaik mungkin dalam menyalurkan ilmu pendidikan ini.

Bagi guru-guru yang mahir dalam penggunaan teknologi ini, bantulah rakan-rakan anda agar dapat sama-sama mendidik para pelajar dengan lebih baik melalui kaedah dalam talian ini.

Cikgu Siti adalah insan biasa sama dengan guru-guru yang lain, namun semangatnya yang cukup tinggi untuk terus belajar menguasai teknologi membuatkan anak nelayan dari Kuala Perlis itu berada pada tahap yang sangat membanggakan kini.

Jadi, tidak ada sebab bagi guru-guru lain khususnya yang muda-muda ini tidak mahu mencuba menerokai dunia digital ini.

INTERNET

Penggunaan teknologi digital ini juga mungkin tidak mampu berjalan dengan lancar jika capaian internet masih pada tahap lemah. Jadi, kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan menyediakan lebih banyak kemudahan tersebut khususnya di kawasan-kawasan luar bandar.

Hakikatnya, kadar capaian internet dan liputan telekomunikasi di Malaysia masih lemah dan terkebelakang berbanding negara-negara jiran lain. Berdasarkan laporan dalam buletin bulanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) edisi Ogos lalu, bagi jalur lebar mudah alih, Malaysia berada di kedudukan keenam dalam kalangan negara ASEAN dengan kelajuan 24.44 Mbps dan tangga ke-85 pada peringkat global.

Untuk purata kelajuan muat turun bagi internet mudah alih pula, Malaysia berada di belakang Singapura, Thailand, Vietnam, Laos dan Myanmar.

Dalam usaha ke arah perubahan penggunaan teknologi dan digital, perkembangan liputan telekomunikasi juga perlu bergerak seiring.

Kalau boleh, kita tidak mahu lagi melihat ada pelajar terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menyertai kelas secara dalam talian.

Kita sudah berada pada 2020 yang jika dahulu ketika kecil, terbayang-bayang kereta terbang memenuhi ruang udara. Secara asasnya, masalah seperti capaian internet lemah khususnya di kawasan bandar tidak sepatutnya berlaku.

Bila internet laju, guru-guru dan pelajar juga gembira mengikuti proses pembelajaran online ini.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN