MUKADIMAH
KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) walaupun ada pihak melabelkan penubuhannya mengikut pintu belakang tetapi dari sudut undang-undang, kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu adalah sah.
Namun bagi Ketua Pemuda DAP Johor, SHEIKH ‘UMAR BAGHARIB ALI, keadaan itu menyebabkan kerajaan PN tidak stabil apabila terpaksa menjaga hati pemimpin tertentu dengan tawaran pangkat dan jawatan sehingga timbul ura-ura berlaku pertukaran kerajaan ekoran peralihan sokongan.
Sebaliknya, bekas pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) itu menegaskan, semua pemimpin dan parti perlu memberi fokus kepada fasa pandemik Covid-19 apabila rakyat kini merana dan sengsara ekoran masalah kewangan dihadapi.
“Kalau kerajaan tukar sekali lagi sekalipun, belum tentu boleh menguntungkan rakyat. Rakyat masih sengsara dengan situasi pada hari ini, pandemik, ekonomi dan sebagainya,” katanya yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Usuludin, Universiti Malaya.
Dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR kelmarin, Sheikh ‘Umar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh turut menyentuh soal kerjasama antara DAP dan UMNO, masalah pengangguran dan sejarah pembabitannya dalam DAP.
UTUSAN: Kenapa Yang Berhormat (YB) sertai DAP?
SHEIKH ‘UMAR: Semua bermula sejak zaman universiti, bila menyertai persatuan dan gerak kerja PMIUM serta menjadi antara badan pimpinan. Dari situ, pendedahan dan pengalaman mula berkembang terhadap isu-isu mahasiswa dan semasa yang berada di luar khususnya kerangka mahasiswa.
Dari segi kepartian, sudah tentu saya terlibat dengan Pas sebab budak PMIUM ini kalau terlibat dengan Pas, perkara biasa. Tetapi pada 2013, Liew Chin Tong (Pengerusi DAP) menang kerusi Parlimen Kluang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan saya pula orang Kluang. Akhirnya dia ajak tolong dia sebagai pembantunya di Kluang.
Dipendekkan cerita, pada 2015 ada krisis kepimpinan dalam Pas antara golongan dilabelkan ulama dan profesional. Jadi, waktu itu saya ambil keputusan keluar Pas dan menyertai DAP. Mungkin sebab reaksi dan kesan daripada berada dalam Pas ini, saya tidak mahu agama digunakan untuk kepentingan politik.
Malah saya masuk DAP di Johor dan pada waktu itu, Pengerusi DAP Johor ialah Chin Tong. Beliau seorang yang memberi ruang dan peluang kepada anak-anak muda untuk terlibat, menjana dan menyumbang idea.Sebab itu, peluang kepada anak muda seperti untuk kembangkan potensi dalam politik tanah air amat terbuka dalam DAP.
Saya mengambil peluang pada waktu untuk bersama DAP dengan satu hasrat, boleh mainkan peranan signifikan dan menyumbang kepada dasar dan polisi negara. Sampailah sekarang menjadi ADUN dan juga pernah menjadi Exco kerajaan negeri, sehingga kini terlibat dalam DAP.
Kita terlalu bergantung kepada ekonomi Singapura, sampai Johor Bahru kosong. Komen YB?
Kalau lihat 10 tahun kebelakangan ini dan lebih awal dari itu, Johor sangat bergantung kepada Singapura. Jadi, sebab itu kita baca dalam seminggu lalu ada tular di media sosial, usahawan muda cakap mereka terpaksa tutup kedai. Sebabnya, bila pandemik Covid-19, bila keluar masuk Singapura diperketatkan dan sukar untuk orang Malaysia bekerja di Singapura untuk balik, dan sukar orang Singapura masuk berbelanja, maka perniagaan jatuh.
Johor akan membentangkan Belanjawan Negeri 2021 akhir November ini. Jadi, fokus utama yang perlu diberikan adalah bagaimana pelan pemulihan untuk bantu pendapatan rakyat Johor. Selain usahawan, isu penduduk kehilangan pekerjaan di Singapura dan terpaksa mencari kerja alternatif untuk mencari peluang pendapatan baharu.
Isu pekerjaan perlu dititikberatkan dan perlu menjadi perkara utama dalam belanjawan yang bakal dibentangkan. Malah saya pernah mencadangkan untuk pelan jangka pendek, iaitu Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk warga Malaysia bekerja di Singapura boleh dikeluarkan. Ini dapat memberi kelegaan untuk sementara waktu. Namun perkara ini mestilah dapat perbincangan dua hala antara kerajaan negeri dan Pusat juga dengan kerajaan Singapura.
Untuk jangka panjang pula, kita cadang diwujudkan satu pusat sehenti yang berfungsi untuk mencari pekerjaan atau peluang kosong sedia ada.
Mengapa Johor Bahru lebih sepi berbanding bandar lain seperti Melaka, Muar dan Ipoh?
Seperti saya sebutkan tadi, kita tidak sama dengan bandar-bandar itu sebab bergantung kepada Singapura. Keadaan ini menyebabkan Johor Bahru lebih hambar dalam situasi Covid-19. Dalam soal ini, kita tiada formula untuk pulihkan dalam jangka panjang tetapi sekurang-kurangnya jangka pendek.Kerajaan mesti memikirkan bagaimana pengangguran di Johor Bahru boleh diselesaikan.
Cuma saya berpandangan, bukan semua sektor yang terjejas. Seperti pelancongan, memang terjejas apabila orang tidak boleh keluar dari Malaysia malah sekarang orang Selangor tidak boleh keluar, tetapi pada masa sama, inilah peluang untuk bercuti dalam Malaysia. Dalam keperitan ini, ada juga hikmahnya.
Ekoran situasi politik terkini, adakah DAP bersedia bekerjasama dengan UMNO?
Saya tiada hak untuk menyatakan pendirian bagi pihak parti cuma saya boleh bagi adalah pandangan peribadi. Selepas PRU-14, Malaysia sedang menjalani penjajaran semula dalam politik.
Pada pandangan saya, antara penjajaran besar adalah rakyat tahu kerajaan sekarang boleh ditukar selain Barisan Nasional (BN). Dahulu tanggapan kita seolah-olah tiada BN, rakyat akan makan pasir. Rupanya tidak dan kerajaan boleh tukar, tiada masalah pun.
Kemudian yang kedua, penjajaran terbesar adalah tiada satu parti yang boleh mendakwa mempunyai jumlah dominasi untuk membentuk kerajaan dan sebagainya. UMNO pun tidak dominan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun sama, termasuk parti lain seperti PKR dan DAP. Jadi, politik di Malaysia memerlukan kerjasama. Tiada satu parti kuat untuk bentuk kerajaan.
Ya, kita perlu satu sama lain. DAP perlukan PKR, PKR perlukan Parti Amanah Negara (Amanah) dan sebagainya untuk membentuk satu perikatan. Justeru, tiada parti dominan dan perlunya ada kolaborasi untuk mentadbir Malaysia, namun apa yang tinggal? Yang tinggal adalah prinsip. Siapa yang boleh berpegang kepada prinsip betul dan telus, boleh bekerjasama. Antara parti yang ada prinsip sama, maka boleh mentadbir secara bersama, itu penjajaran paling utama.
Memang perlu ada kerjasama bukan sahaja DAP malah UMNO tetapi dengan mana-mana parti sekali pun, prinsip tidak boleh digadaikan. Oleh sebab itu, bila ada ura-ura berita tular menyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup nombor, selepas sehari itu Lim Guan Eng ada menyatakan dia agak terkejut kalaulah sokongan kepada Anwar itu termasuklah daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Hal ini kerana kedua-duanya terpalit dengan isu rasuah dan disabitkan salah walaupun sekarang tengah buat rayuan. Ini prinsip bila nama kedua-dua dikaitkan dan kita harus fikir balik, bagaimana kita hendak lihat balik perkara ini sebab ia bercanggah dengan prinsip kita iaitu integriti dan salah guna kuasa tidak boleh diterima. Jadi yang tinggal adalah prinsip.
Kita boleh bekerjasama, tetapi prinsip itu tidak boleh digadaikan.
Relevankah dakwaan DAP ganti MCA apabila melihat ramai pengundi Cina lebih memilih parti itu?
Saya berpengalaman dari 2015 sehingga sekarang serta memahami sebagai orang yang banyak menyertai program parti, kita tidak mahu jadi MCA 2.0 walaupun dalam politik sebelum PRU-14 lagi, naratif pihak lawan DAP ialah meletakkan parti ini sebagai cauvinis dan parti Cina.
Tetapi DAP tidak mahu jadi parti yang mengantikan MCA dan parti orang Cina. Bahkan dalam perlembagaan parti ada sebut, kita bukan parti berteraskan warna kulit, kita berteraskan kepada prinsip sosial demokrasi. Sesiapa sahaja boleh terima pakai prinsip ini, tidak kira apa jua agama atau bangsa.
Cuma 60 tahun BN mentadbir dan menjadi lawan dalam persaingan politik, BN meletakkan kita sebagai parti Cina atau cauvinis. Secara peribadi, tidak pernah menganggap kami sebagai parti Cina atau mengantikan MCA malah perlembagaan kami tidak sebut menjadi parti orang Cina.
Berkaitan Pilihan Raya Negeri Sabah, enam daripada tujuh kerusi dimenangi DAP. Sesetengah orang cakap ini kerusi Cina tetapi bagi kita, ia bukan kerusi Cina tetapi kerusi bandar.
Signifikannya, orang terbuka kepada maklumat lebih banyak, terdedah dan boleh terima DAP. Di Paloh sendiri, kita ada 47 peratus Melayu, 37 peratus Cina, 15 peratus India dan satu peratus orang Asli, ini majoriti Melayu. Bukan nak cakap Paloh pinggir bandar, tetapi terletak di kawasan mudah mendapat informasi berbanding kawasan lain, terima DAP.
Saya berpandangan dalam 10 hingga 15 tahun akan datang, jika DAP didominasi orang Melayu dan India, satu perkara tidak mustahil dan akan terpadam persepsi DAP sebagai parti Cina. Sekarang DAP bergerak ke arah itu, kita tidak mahu jadi MCA 2.0.
Sah tapi moralnya salah
Apakah langkah terbaik untuk kemelut politik hari ini?
Pada masa ini, berikan fokus kepada rakyat. Kita tahu, kerajaan pada hari ini orang gelar kerajaan pintu belakang, tebuk atap dan sebagainya tetapi pada masa sama, ada orang cakap kerajaan pada hari ini adalah sah. Namun saya berpandangan, kerajaan pada hari ini dari segi undang-undang adalah sah tetapi moral adalah salah.
Cuma kita pada fasa pandemik ini, yang paling baik adalah semua jentera kerajaan dan ahli politik serta wakil-wakil rakyat tidak kira kerajaan atau pembangkang, beri fokus kepada kebajikan rakyat. Sebab saya yakin, kalau kerajaan tukar sekali lagi sekalipun, belum tentu boleh menguntungkan rakyat. Rakyat masih sengsara dengan situasi pada hari ini, pandemik, ekonomi dan sebagainya.
Kita mula akan teruk pada bulan ini, orang dah mula bayar balik pinjaman ekoran moratorium ditamatkan. Dalam sebulan dua, mungkin keadaan menjadi teruk bila orang tidak boleh nak bayar pinjaman. Perkara ini berlaku secara global, negara lain berlaku. Bukan kita sahaja, negara lain juga. Hendak minta tolong negara lain, negara lain pun sedang bergelut alami masalah pandemik Covid-19.
Selain itu, kerajaan negeri dan Pusat harus memberikan layanan seadilnya kepada mana-mana wakil rakyat tidak kira kerajaan atau pembangkang. Saya ingat, zaman wakil rakyat pembangkang tiada peruntukan. Selepas PRU-14 apabila PH ambil alih, kita berikan peruntukan walaupun kepada pembangkang. Ini amalan demokrasi matang. Walaupun kita pembangkang, tidak boleh dianaktirikan sebab kami dipilih oleh rakyat.
Jika ditanya saya apakah langkah terbaik? Letak dahulu. Ketepi perseteruan politik hingga menawarkan pangkat atau jawatan. Perkara ini mesti dihentikan segera dengan fokus kepada rakyat dengan bantuan-bantuan daripada kerajaan yang boleh disalurkan kepada wakil rakyat.
Oleh yang demikian, ketika mesyuarat PH Johor baru-baru ini, kita fokus rakyat dan tolak tepi politik.
Jika tidak boleh elak krisis politik, adakah PH akan terima balik bekas wakil-wakil rakyatnya untuk bersama-sama bentuk kerajaan?
Pertama, saya rasa pilihan raya bukan jalan terbaik untuk masa ini, macam di Sabah telah berlaku peningkatan kes yang ketara. Tetapi jika berlaku peralihan juga kerajaan daripada PN kepada lain, ia mestilah berlaku ikut Perlembagaan dan undang-undang. Namun bagi saya, pilihan raya bukan jalan terbaik, kerana ia boleh meningkatkan kes.
Soal terima atau tidak, tiada benda yang mustahil sebab dahulu kita pernah terima Tun Dr. Mahathir Mohamad. Namun, kita tetap berpegang kepada prinsip, selagi mana pegang kepada prinsip itu betul, kita boleh fikir untuk bentuk kerajaan.
Prinsip menjadi keutamaan walaupun dengan siapa hendak kita bekerjasama dengan beberapa syarat. Rakyat dahulu memilih PH sebab tidak mahu berulang kes 1MDB, jadi macam mana hendak terima balik orang-orang terpalit dengan kes, bukan satu perkara senang sebab ini berpegang kepada prinsip.










