Ramai yang tidak memahami, sekularisasi atau pensekularan adalah satu ancaman dan bahaya sebagaimana mereka memahami bahayanya terorisme dan dadah terhadap keselamatan negara.
Sebabnya, ancaman terorisme dan dadah lebih mudah untuk ditunjukkan kesan dan akibatnya. Sekularisasi berlaku secara halus tanpa disedari dan kesan yang terbesar adalah pada akal fikiran.
Sering kali sekularisasi dikelirukan dengan pembangunan dan kemajuan, seolah-olah ia sesuatu yang pasti tidak dapat dielakkan. Inilah yang dialami oleh Barat, iaitu mereka menjadi ‘maju’ dan ‘membangun’ setelah mereka berubah menjadi ‘sekular’. Yang mereka korbankan demi mencapai kemajuan itu adalah agama dan akhlak.
Kini agama tidak lagi dianggap penting dalam kehidupan, manakala akhlak pula sudah kehilangan asas dan matlamatnya. Kini segala-galanya berpaksikan kepada kehidupan duniawi semata-mata.
Melalui pengaruhnya, kebudayaan Barat telah mengangkat sekularisasi menjadi agenda kemanusiaan. Sekularisasi tidaklah bermakna usaha untuk menghapuskan agama sama sekali. Bahkan Barat tidak pernah menganjurkan penghapusan agama, sebaliknya sering mendakwa merekalah pejuang kebebasan beragama.
COVID-19
Apa yang mereka anjur adalah perubahan dan pindaan terhadap agama. Agama pada anggapan mereka adalah hasil daripada kebudayaan manusia. Kebudayaan manusia menurut mereka tidak boleh mengelak daripada berubah mengikut sejarah. Inilah andaian yang mendasari konsep ‘agama berkebudayaan’ yang cuba dipaksakan ke atas kaum Muslimin di Indonesia, sebagai contoh.
Sama ada percubaan ini akan ditentang atau tidak, bergantung kepada sejauh mana kefahaman masyarakat terhadap bahaya atau ancamannya kepada mereka.
Contohnya, dalam masalah pandemik Covid-19, kita boleh lihat bagaimana berbeza reaksi sesuatu negara dengan negara lain. Bahkan ada negara yang pada mulanya bersikap acuh tak acuh terhadap bahayanya sehinggalah keadaan mencapai tahap krisis dan amat sukar untuk diuruskan.
Reaksi terhadap bahaya dan ancaman berbentuk pemikiran juga bergantung kepada tahap kefahaman dan kesedaran masyarakat. Inilah sebenarnya lebih sukar kerana pemikiran yang salah tidak selalunya menyebabkan kemudaratan yang dapat dilihat dengan mata kasar seperti kematian atau kecederaan.
Sekiranya ramai kaum Muslimin tidak memahami dengan baik perbezaan di antara agama yang benar dengan kebudayaan, tidak mungkin mereka akan melihat bahaya di sebalik agenda sedemikian.
Agama yang berpunca daripada kebudayaan manusia sememangnya tidak akan dapat mengelak menempuh perubahan demi perubahan sehinggalah hilang rupa asalnya. Ini adalah hakikatnya apa yang berlaku kepada agama orang Barat sehingga akhirnya menjadi sekular. Itulah juga yang mereka mahu kaum Muslimin lakukan terhadap agama Islam.
Bagaimanapun, selagi mana kaum Muslimin tetap berpegang dengan yakin terhadap kebenaran Islam, mereka takkan mengizinkan perubahan dilakukan terhadapnya. Ini kerana apabila sesuatu kebenaran itu diubah, maka ia bukan lagi kebenaran.
Sekularisasi diasaskan kepada penafian terhadap hakikat rohaniah yang menjadi sandaran agama. Ia sekali gus menafikan peranan agama dalam politik dan kehidupan akhlakiah. Dalam rangka pemikiran, sekular agama hanyalah ‘alat’ negara yang boleh digunakan apabila diperlukan dengan tujuan untuk mengawal manusia. Sebagai alat agama, ia boleh dipinda, ditokok-tambah dan disesuaikan mengikut kegunaan. Justeru, kebebasan beragama hanyalah semata-mata bermaksud kebebasan untuk memilih cara hidup yang disukai. Itu termasuk cara hidup diasaskan kepada kepercayaan yang tidak diakui kebenarannya.
Bagaimanapun, bagi seorang Muslim, kebenaran itu lebih utama daripada kebebasan. Bahkan kebenaran itulah kemuncak kebebasan kerana seseorang yang masih dibelenggu oleh kejahilan dan syak wasangka terhadap kebenaran tidaklah boleh disifatkan sebagai seorang yang bebas, apatah lagi untuk dikatakan telah maju dan berjaya.
Selagi mana akal fikirannya masih dibelenggu oleh kejahilan dan keraguan, maka dia belum bebas. Dia hanya boleh dikatakan bebas apabila dia benar-benar menyedari tujuan dan tanggungjawabnya sebagai manusia dan berupaya melaksanakan segala tugas-tugasnya sebagai hamba Allah.
PEMBEBAS
Justeru, tugas sebenar para ilmuwan adalah sebagai ‘pembebas’ manusia daripada belenggu kejahilan dan kekeliruan makna diri itu. Sehubungan itu, sekularisme adalah suatu ideologi yang telah mengelirukan ramai manusia sehingga mereka tidak lagi mengenali makna diri sendiri dan terikut-ikut dengan cara hidup orang. Maka tugas para ilmuwan adalah menghalang manusia daripada terjerumus ke dalam lembah kekeliruan itu.
Oleh itu mereka berkewajiban menghalang segala percubaan untuk menyelewengkan pemikiran umat Islam melalui slogan-slogan yang berupa istilah-istilah agama yang telah dipinda pengertiannya sesuai dengan pemikiran sekular. Mereka juga tidak sepatutnya membiarkan diri diperalatkan oleh pihak berkepentingan, sebaliknya terus tegas dan istiqamah memerangi segala bentuk penyelewengan yang menyesatkan umat.
PENULIS ialah Felo Kanan, Pusat Syariah Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










